Thursday, December 4, 2008

Pembelaan Isu Perumahan Golongan Berpendapatan Rendah


Berikut adalah petikan daripada Hansard Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia bagi Sessi Soal Jawab 1 Disember 2008, yang membuktikan keperihatinan Saudara Khairy terhadap masalah dan isu perumahan golongan berpendapatan rendah di ibukota.

Isu yang diketengahkan ini dan jawapan dari pihak Kementerian telah dilaporkan oleh media seperti Bernama dan Utusan Malaysia.

"JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN


Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Bismillaahir Rahmaanir Rahiim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga mewakili seluruh rakyat Rembau dan Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini terutamanya Ahli-ahli Yang Berhormat daripada Barisan Nasional juga ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran dan juga Ahli Yang Berhormat daripada Kuala Terengganu yang telah kembali ke rahmatullah.

Sesungguhnya Dewan ini telah kehilangan seorang tokoh yang begitu komited terhadap masa hadapan negara melalui usaha beliau untuk memperkasakan sistem pendidikan kebangsaan. Semoga Allah SWT mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham.

1. Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan perangkaan bagi rumah pangsa kos rendah yang hanya mempunyai satu atau dua bilik di Kuala Lumpur dan apakah langkah-langkah kerajaan bagi mengatasi masalah kesempitan ruang dan ketidakselesaan penghuni-penghuni rumah pangsa tersebut yang juga boleh mengundang gejala sosial masyarakat.

Menteri Wilayah Persekutuan [Dato' Sri Zulhasnan Rafique]: Bismillaahir Rahmaanir
Rahiim. Untuk Maklumat Ahli Yang Berhormat Rembau, rumah pangsa kos rendah, terpanggil juga sebagai perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mula dibina pada tahun 1956 secara berperingkat-peringkat untuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada penduduk luar bandar yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan.

Pada masa itu, hanya perumahan jenis studio iaitu 31 unit, keluasan 207 kaki persegi di perumahan awam jalan Loke Yew serta perumahan yang berkapasiti satu dan dua bilik sahaja yang sesuai dibina kerana tujuan asalnya adalah untuk penempatan sementara dalam jangka masa lima tahun sebelum mereka mampu memiliki rumah. Mulai tahun 1959, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mula membangunkan Projek Perumahan Rakyat atau PPR M10 yang mempunyai tiga bilik berserta dua bilik air.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]

Bagi menjawab bahagian pertama soalan Yang Berhormat, perangkaan berkenaan
perumahan awam tersebut adalah seperti berikut:
(i) 1956-1981: 3,621 unit satu bilik tidur, 400 kaki persegi;
(ii) 1982-1996: 12,189 unit untuk dua bilik tidur, 530 kaki persegi;
(iii) 1997-1998: 5,515 unit untuk dua bilik tidur, 560 kaki persegi, jumlahnya 21,325
unit; dan
(iv) 1999: tiga bilik tidur 650 kaki persegi, jumlahnya 32,760 per unit.

Bagi Menjawab bahagian kedua dan ketiga soalan Yang Berhormat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sememangnya amat prihatin, mengambil berat berkenaan masalah kesempitan ruang dan ketidakselesaan yang dihadapi penghuni rumah pangsa yang berkapasiti satu bilik tidur dan dua bilik tidur. DBKL telah membuat pengubahsuaian untuk mencantumkan rumahrumah satu dan dua bilik kepada tiga bilik di Perumahan Awam Sri Selangor. Sehingga Mac 2007, hanya 15 unit daripada 384 unit yang berjaya disiapkan. Usaha ini tidak dapat diteruskan oleh DBKL disebabkan masalah-masalah berikut:

(i) Kesukaran untuk memindahkan penghuni yang terlibat untuk
mengosongkan unit rumah;
(ii) Kekurangan tempat sementara untuk memindahkan penghuni.
(iii) Penghuni enggan berpindah.
(iv) Pertukaran sekolah anak-anak penghuni.
(v) Melibatkan kos yang tinggi iaitu RM21,678 untuk setiap unit.

Bagi makluman Ahli Yang Berhormat, DBKL turut mengambil inisiatif untuk merancang bersama pihak swasta bagi melaksanakan penambahan bilik kepada setiap unit rumah yang berkapasiti dua bilik. Ini memerlukan peruntukan yang besar dan kenaikan harga bahan binaan seperti simen, besi, pasir dan tenaga buruh menyebabkan kos asal penambahan bilik seluas lapan meter persegi serta tambahan bilik air yang membabitkan kos 20 ribu unit telah meningkat kepada RM45,000 satu unit. Sebab itu hasrat ini telah dibatalkan kerana kos sudah hampir bersamaan dengan kos pembinaan seunit rumah PPR.


Bagi menghindarkan penghuni-penghuni PPR ini daripada gejala sosial, DBKL juga turut merancang dan telah menyediakan kemudahan awam seperti penyediaan surau, dewan serba guna, kedai, gerai, pusat warga emas dan tadika dan yang dahulunya tidak disediakan dan penghuni PPR akan dapat menikmati taraf kehidupan yang lebih selesa dan program-program komuniti juga dilaksanakan oleh pihak DBKL. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Sebentar Yang Berhormat. kita ada pelawat. Ahli-ahli Yang Berhormat sukacita saya maklumkan bahawa hadir bersama di dalam Dewan yang mulia ini ialah His Excellency Dr. Saleh Bin Abdullah Bin Humaid, Speaker Majlis Asy-Shura, Saudi Arabia dan delegasi. [Tepuk] Dewan yang mulia ini mengalu-alukan kehadiran His Excellency Dr. Saleh Bin Abdullah Bin Humaid, semoga hubungan dan kerjasama kedua-dua Dewan dan kerajaan Malaysia – Saudi Arabia terus berkekalan. [Tepuk] Sila Yang Berhormat Rembau.


Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]:
Terima kasih jawapan daripada Yang Berhormat Menteri, saya rasa menjadi impian setiap penghuni rumah perumahan rakyat ini untuk memiliki rumah yang didiami mereka dan isu pemilikan rumah ini perlu menjadi satu keutamaan bagi kerajaan khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Perumahan mampu dimiliki ataupun affordable housing ini perlu menjadi satu kemudahan asas yang perlu disediakan oleh kerajaan dan menjadi priority berbanding dengan konsep sewaan selama tiga tahun seperti mana yang diamalkan secara majoritinya di Wilayah Persekutuan.

Adakah kementerian bercadang untuk menyediakan lebih banyak lagi projek perumahan rakyat (PPR) dimiliki lebih daripada tambahan yang di umum dalam perbelanjaan baru-baru ini dan adakah kementerian bersedia untuk melonggarkan syarat pembelian termasuk melalui skim sewa dan beli yang selama ini dinafikan kepada penghuni-penghuni PPR? Terima kasih.

Dato’ Sri Zulhasnan Rafique: Terima kasih Yang Berhormat daripada Rembau. Adalah hasrat kerajaan untuk menentukan warga kota yang dahulunya datang daripada negeri-negeri yang lain dan juga sekarang ini bermastautin di Kuala Lumpur untuk mereka memiliki rumah.

Dengan itu kerajaan telah bersetuju dengan persetujuan Kabinet, satu dasar perumahan rakyat Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang melibatkan mekanisme untuk penjualan rumah PPR MTEN atau Majlis Tindakan Ekonomi Negara sebanyak 15 ribu unit yang dengan harga RM35,000 dengan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Dalam masa yang sama kerajaan juga telah meluluskan satu kajian oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tentang kaedah pembangunan semula PPR bandar di Wilayah Persekutuan iaitu saiz studio satu dan dua bilik dan juga kerajaan telah meneruskan satu kajian oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk pembangunan PPR yang baru iaitu di kawasan-kawasan Parlimen yang pada masa ini tidak ada PPR MTEN, contohnya di Seputeh dan juga di Segambut.

Dengan itu Tuan Yang di-Pertua, bagi melaksanakan keputusan Jemaah Menteri berkenaan, mekanisme pelaksanaan penjualan PPR mencadangkan melibati tiga tahap tindakan, yang pertama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah dilantikkan sebagai sekretariat dan satu unit khas telah ditubuh di bawah Jabatan Pengurusan Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan peringkat awal unit khas ini iaitu sekretariat akan berfungsi sebagai sekretariat dalam penjualan rumah PPR.

Pada masa yang sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan unit khas ini telah turun padang untuk bertemu dengan penghuni-penghuni iaitu mereka yang sedang menyewa rumah-rumah PPR ini dan mengadakan dialog dan juga sesi penerangan untuk menentukan DBKL mendapat feedback dengan izin, yang betul tentang hasrat mereka. Kajian ini telah pun sampai ke peringkat terakhir di peringkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kajian ini akan diangkatkan kepada kementerian saya, Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum kita berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan selepas itu akan dibawa kepada Kabinet untuk kelulusan yang seterusnya. Ini termasuklah skim-skim penjualan sebab mereka semua akan patutlah mematuhi syarat-syarat yang tertentu dan insya-Allah dalam masa dua, tiga bulan lagi keputusan yang muktamad akan diumumkan oleh kerajaan. Terima kasih."

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP