Monday, December 22, 2008

Dwiparti politik berikan peluang BN pulih imej


KOTA BHARU 21 Dis. — Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata dengan wujudnya dwiparti politik kuat iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat, telah memberikan peluang kepada BN memulihkan imejnya dan membawa perubahan lebih baik.

Beliau berkata dengan perubahan politik selepas pilihan raya umum Mac lalu, BN kini dilihat lebih telus dan komitmen yang diberikan untuk membawa perubahan ke arah kerajaan lebih telus telah dilaksanakan.

“Antara perubahan yang dibawa BN adalah (pembentangan) Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2008.

“Malahan BN juga menjalankan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1987 yang memberi lebih kuasa autonomi kepada pihak berkuasa universiti dalam menentukan pengurusan dan pentadbiran institusi masing-masing.

“Kesemua ini jelas memperlihatkan kekuatan kerajaan BN memperjuangkan kepentingan rakyat walaupun bilangan wakil rakyatnya tidak mencapai dua pertiga ahli Dewan Rakyat,” katanya pada Wacana Perdana bertajuk “Transformasi Politik Malaysia” di Balai Islam, di sini malam tadi.

Selain Khairy, anggota panel wacana itu ialah Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari manakala majlis itu dipengerusikan pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff .

Malahan Khairy beranggapan undi rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu merupakan undi protes kepada BN dan bukannya tranformasi politik untuk mengingatkan BN terutamanya Umno supaya menjalankan prinsip kerajaan yang lebih telus dan berjiwa rakyat.

Justeru, beliau mengingatkan kepada Pakatan Rakyat terutamanya PAS, supaya jangan terlalu yakin terhadap pencapaian mereka setelah menguasai lima negeri kerana undi rakyat itu akan berubah jika BN mula membuat pembaharuan kepada kerajaan yang lebih baik untuk rakyat.

“Malahan Pas yang sebelum ini merupakan parti pembangkang yang kuat, kini telah mengecil dari aspek pengaruhnya, antara buktinya pelantikan ketua pembangkang di Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah daripada Parti Keadilan Rakyat,” katanya.

Beliau melihat pakatan pembangkang itu sebagai “retak menanti belah” kerana kini telah timbul percanggahan idealogi di antara kepimpinan parti.

Husam bagaimanapun menegaskan Pas akan tetap laksanakan undang-undang Hudud dan Qisas sebaik saja Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pimpinan negara melalui pilihan raya umum.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengulangi janji parti itu setelah dicabar oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai pelaksanaan hudud berikutan isu itu dilihat tenggelam dan tidak lagi dilaungkan oleh pemimpin Pas selepas pilihan raya umum Mac lalu.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP