Peluang kedua buat Sathia
SULTAN Ahmad Shah (kiri) yang diiringi Khairy Jamaluddin tiba untuk mempengerusikan mesyuarat FAM di Kelana Jaya, semalam.
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi satu lagi peluang kepada B. Sathianathan untuk membimbing skuad nasional apabila menawarkan jurulatih itu kontrak lanjutan tidak lebih setahun dengan syarat-syarat yang ketat.
Di bawah tawaran itu, Sathia akan membimbing skuad nasional untuk mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia mulai bulan depan sehingga ke perlawanan terakhir menentang Uzbekistan pada November depan.
Namun, FAM menegaskan Sathia tidak akan terlibat dalam persediaan skuad nasional ke Sukan SEA di Laos tahun depan, sebaliknya tugas itu akan diisi oleh jurulatih lain.
Mengumumkan lanjutan kontrak itu, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin berkata, jika bersetuju, pencapaian Sathia akan dianalisis berdasarkan pencapaian skuad nasional di sepanjang perlawanan kelayakan Piala Asia.
Selain itu, katanya, kedudukan skuad nasional dalam rangking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan menjadi kayu ukur nasib Sathia sama ada akan terus bergelar jurulatih atau sebaliknya.
‘‘FAM menawarkan lanjutan kontrak kepada Sathia atas beberapa faktor, pertama kerana kita menaruh keyakinan terhadap skuad yang dibimbingnya.
‘‘Ia merupakan skuad yang masih muda, masih dalam pembikinan dengan purata umur pemain 24 tahun yang belum menyerlahkan potensi maksimumnya.
‘‘Selain itu FAM kesuntukan masa untuk mencari jurulatih lain memandangkan saingan kelayakan Piala Asia akan bermula bulan depan,’’ katanya selepas mesyuarat jawatankuasa pengurusan skuad nasional di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.
Sathia dikritik hebat ekoran kegagalan membawa skuad nasional melepasi peringkat kelayakan Piala Asia di Phuket dengan kekalahan paling diingati kepada Vietnam 2-3 akibat kesilapan penjaga gol Mohd. Helmi Eliza Elias.
Jelas Khairy, FAM tidak mahu menggugurkan jurulatih serta pembubaran skuad seperti sebelum ini setiap kali gagal di kejohanan antarabangsa.
‘‘Pelbagai kritikan dilempar termasuk pemain yang ada kini kononnya tidak bagus selepas kita kalah di Phuket tempoh hari.
‘‘Persoalannya di mana lagi kita hendak mahu cari pemain yang bagus?
‘‘Adakah mereka-mereka ini menyorok? Kita telah berusaha mencungkil pemain terbaik di seluruh negara menerusi program realiti televisyen MyTeam.
‘‘Kita perlu akui inilah kelompok pemain terbaik negara yang kita ada. Siapa dapat menafikan kemampuan Safee Sali sebagai penyerang terbaik negara?.
‘‘Dalam masa yang sama kita perlu akui skuad Sathia ada peningkatan terutama dalam rangking FIFA.
‘‘Jadi adalah adil untuk FAM memberi beliau peluang sekali lagi,’’ jelasnya.
Menurut Khairy, di sepanjang tempoh kontrak tersebut, satu kajian iaitu di separuh penggal akan dijalankan untuk menilai pencapaian skuad bimbingan Sathia dalam perlawanan kelayakan Piala Asia.