Tuesday, December 16, 2008

Pembangkang juga mesti ada iltizam banteras rasuah

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai pakatan pembangkang digesa turut mengambil langkah mempertingkatkan iltizam mereka untuk membanteras rasuah dan tidak hanya menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa mengamalkan rasuah.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin berkata, beliau terkilan kerana kerajaan pembangkang tidak serius dalam usaha tersebut seperti kerajaan negeri Perak yang belum mengambil tindakan terhadap anggota Exconya yang telah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Malah katanya, sehingga hari ini tidak ada perisytiharan harta di kalangan anggota Exco Kerajaan Negeri dibuat secara terbuka oleh kerajaan-kerajaan yang dikuasai pakatan pembangkang walaupun mereka telah berjanji untuk melakukannya sebelum ini.

‘‘Kita boleh tubuhkan institusi yang telus dan tegas untuk membanteras rasuah tetapi kalau kita tidak ada iltizam politik, kita tidak akan dapat mengatasi masalah ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurutnya, tanggungjawab membanteras rasuah tidak sepatutnya dipikul kerajaan BN sahaja kerana parti pembangkang juga boleh melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Beliau berkata, apabila berlaku kes rasuah melibatkan pemimpin BN walaupun belum dibuktikan bersalah, mereka yang terlibat akan diminta bercuti tetapi ia tidak berlaku dalam kerajaan negeri Perak.

Dalam pada itu, Khairy mencadangkan agar Lembaga Penasihat yang ditubuhkan dalam SPRM mendapatkan nasihat daripada pesalah rasuah yang telah dihukum dan bertaubat kerana mereka mengetahui tentang cara-cara untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

‘‘Jika boleh dapatkan pengalaman daripada mereka yang telah bertaubat untuk mencari bukti penyelewengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa kerana cara untuk mengelak ini semakin mencabar dan canggih,” katanya.

Khairy turut mencadangkan agar diwujudkan Akta Perlindungan Saksi bagi memberi perlindungan sepenuhnya terhadap identiti dan keselamatan pemberi maklumat dan saksi kes-kes rasuah.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP