Tuesday, December 2, 2008

DBKL bina 32,760 PPR

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Kementerian Wilayah Persekutuan telah berjaya membangunkan sebanyak 32,760 Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari tahun 1999 sehingga kini.

Menterinya, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, rumah tersebut mempunyai kemudahan tiga bilik dan dua bilik air bagi tujuan keselesaan kepada penghuni.

Sehubungan itu katanya, semua penghuni yang tinggal di kawasan setinggan dan rumah panjang telah dipindahkan berikutan penghuni sebelum ini mengalami masalah ketidakselesaan ekoran ruang kediaman yang kecil.

"Kementerian menerusi DBKL sentiasa berusaha memenuhi hasrat penyewa bagi memiliki kediaman yang lebih selesa," katanya menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Khairy ingin mengetahui langkah kerajaan untuk mengatasi masalah kesempitan ruang dan ketidakselesaan penghuni-penghuni rumah PPR yang boleh mengundang gejala sosial.

Zulhasnan berkata, usaha DBKL bagi menaik taraf rumah yang berusia lebih 30 tahun, bagaimanapun tidak dapat diteruskan ekoran kenaikan harga barang binaan dan kekurangan tempat sementara untuk memindahkan penghuni.

Katanya, kenaikan harga bahan binaan seperti simen, besi, pasir dan tenaga buruh menyebabkan kos asal penambahan bilik seluas lapan meter meningkat daripada RM20,000 seunit kepada RM45,000 seunit.

"Maka, hasrat tersebut telah dibatalkan kerana kos bagi penambahan bilik dan bilik air itu sahaja hampir sama dengan kos pembinaan seunit rumah PPR," jelas beliau.

Kepada soalan tambahan Khairy tentang kemungkinan kerajaan bersedia melonggarkan syarat pembelian rumah PPR termasuk melalui skim sewa dan beli, Zulhasnan berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menjual sebanyak 15,000 unit rumah PPR di ibu negara pada harga RM35,000 seunit.

Katanya, penjualan tersebut hanya kepada mereka yang layak dalam usaha membantu golongan masyarakat yang berpendapatan rendah dan sederhana bagi memiliki kediaman sendiri.

Selain itu ujarnya, kerajaan juga telah bersetuju untuk meluluskan satu kajian DBKL tentang membangunkan semula PPR di kawasan Parlimen yang pada masa ini, tidak ada PPR seperti di Seputeh dan Segambut.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP