Malas punca mahasiswa lesu
Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak) berkata, beliau melihat kemerosotan mutu produk universiti tempatan kerana mereka malas membaca.
Katanya, kerana kemalasan juga, mereka hanya bergantung kepada nota yang dibekalkan oleh pensyarah dan tidak membuat rujukan yang lebih meluas untuk memperincikan subjek yang dipelajari di dewan kuliah.
''Ini kerana susah, pening kepala. Pergi periksa hanya bergantung kepada nota pensyarah. Ke mana perginya ilmu pengetahuan mahasiswa kita," katanya ketika membahaskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dibacakan bagi kali kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang turut mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang pindaan itu melihat secara positif pindaan itu dapat memperbaiki tadbir urus universiti dan pendidikan secara holistik.
Beliau berkata, bagaimanapun, dalam melaksanakan peraturan, semangat dan api idealisme golongan siswa tidak harus dipadam dan dilenyapkan.
''Jika idealisme mereka mahu melihat kawasan pedalaman dibangunkan oleh kerajaan, benarkan mereka pergi menjalankan khidmat atau bakti siswa.
''Saya kira tiada salahnya mereka menulis laporan akademik yang dihantar salinannya kepada Ahli Parlimen atau menteri berkaitan," katanya.
Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) turut menyokong AUKU kerana yakin ia akan memperkasakan universiti dan menghasilkan produk terbaik bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.
Katanya, siswa diberikan kebebasan melainkan dalam kegiatan politik kerana dalam bidang itu, kebenaran hanya sebelah pihak iaitu kalau di pihak kerajaan akan menolak pembangkang.
''Kita tidak mahu siswazah diracun oleh pemimpin politik yang hanya melihat kebenaran dengan satu mata bukannya dua mata. Bukan masanya siswazah berpolitik kerana ketika itu adalah masa menimba ilmu," katanya.
Khairy Jamaluddin (BN- Rembau) yang turut menyokong pindaan AUKU berkata, beliau melihat pindaan itu sebagai langkah pertama yang baik untuk mengembalikan kecemerlangan institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, asas yang dikemukakan oleh Menteri Pengajian Tinggi membawa kepada pendekatan untuk meningkatkan modal insan dan daya saing negara selain membentuk tamadun melalui siswa dan siswi.
''Pindaan ini memberi autonomi yang sebelum ini tidak ada. Ini membawa kepada kebebasan akademik.
''Cuma apa yang harus dipastikan ialah pindaan ini bukan semata-mata menjadi lip service, saya bimbang ia hanya baik pada teori tetapi tidak pada pelaksanaannya," ujar beliau.
Dalam pada itu, Loke Siew Fook (DAP- Rasah) berkata, budaya bertanya atau mengambil bahagian dalam perbahasan tidak subur di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi kerana mereka takut dan bimbang dikenakan tindakan ekoran kewujudan AUKU.
Katanya, beliau sedar perlu ada undang- undang khusus dan jelas untuk urus tadbir universiti tetapi suasana akademik yang bebas perlu dikembalikan kepada masyarakat kampus.
''Pindaan ini tidak cukup. Kalau kita benar-benar berhasrat mewujudkan kebebasan akademik dan suasana ilmiah di kampus, kita perlu memansuhkan terus AUKU dan digantikan dengan AUTU (Akta Urus Tadbir Universiti)," katanya.