Lupakan pemilihan seketika
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tempoh sepuluh hari ketika berkempen pada pilihan raya kecil itu tidak menjejaskan peluang calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan parti nanti.
''Kempen di Kuala Terengganu sepuluh hari saja, saya tidak nampak ia akan menggagalkan rancangan kita (calon) pada pemilihan nanti.
''Saya juga berharap tidak ada calon mengambil kesempatan untuk berkempen pada pilihan raya itu nanti, kita pergi berkempen untuk Barisan Nasional (BN) dan bukannya untuk diri sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota Pemuda UMNO Kubang Kerian di sini hari ini.
Khairy diminta mengulas mengenai persediaan UMNO dalam menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.