Tuesday, December 2, 2008

Awang import kembali ditagih

FAM 'haramkan' pemain luar musim 2009 tetapi ramai mahukannya

SAINGAN Liga Malaysia tanpa pemain import hanya akan dikuatkuasakan musim depan, tetapi permintaan menggunakan semula kudrat tenaga asing itu sudah mula kedengaran ketika sesi percambahan minda Liga-M musim 2010-2014 di Bukit Jalil, semalam.

Ia terhasil menerusi rumusan sesi berkenaan yang dihadiri pegawai, jurulatih negeri, kelab serta wakil media dengan pendapat bahawa pemain import diperlukan bagi menghangatkan saingan bola sepak tempatan.

Apapun, cadangan pengambilan pemain import itu hadir bersyarat - ia harus terdiri daripada pemain daripada negara berada pada ranking lebih tinggi daripada skuad negara.

Turut dicadangkan ialah khidmat import dihadkan kepada hanya dua pemain setiap pasukan dengan setiap pasukan perlu turut meletakkan deposit sebanyak RM350,000.

Gambaran ia mampu diterima FAM terjelma berikutan sikap terbuka diluahkan Timbalan Presiden badan induk itu, Khairy Jamaluddin yang mengesahkan bahawa idea difikirkan mampu terlaksana akan dipraktikkan.

"Sesi ini bertujuan untuk mengetahui apa yang diharapkan oleh golongan jurulatih dan juga kelab untuk tempoh lima musim akan datang dalam saingan Liga-M.

"Cadangan dirasakan mampu dilaksanakan akan dipertimbangkan, tetapi sesetengah idea - seperti mewajibkan setiap negeri meletakkan deposit - mungkin sukar kerana sesetengah pasukan kini mengalami masalah kewangan, " kata Khairy.

Format pertandingan Piala Malaysia turut didebatkan dan kebanyakan peserta berpendapat ia harus ditentukan secara meritokrasi dan tidak memberi keutamaan kepada persatuan negeri bagi memastikan ia hanya disertai pasukan berkualiti.

Waktu sepak mula perlawanan juga dibincangkan dengan cadangan sepakmula sekitar jam 5 atau 6 petang, bagi membantu liputan media serta mengelak pertembungan dengan aksi Liga Perdana Inggeris.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP