'Beri komitmen 100%'
Khairy berkata, FAM telah memberikan segala keperluan yang diperlukan oleh pasukan kebangsaan sebelum ini dan kini pihaknya ingin mereka membalasnya dengan memberi persembahan terbaik.
Katanya, dia yakin dengan keupayaan pasukan kebangsaan dan mahu mereka terus memberi persembahan konsisten pada kejohanan yang akan diadakan di Phuket, Thailand nanti bagi mengangkat martabat bola sepak negara.
"Saya yakin dengan kebolehan pasukan ini dan percaya untuk pergi lebih jauh," katanya dengan penuh keyakinan di hadapan pemain kebangsaan yang meluangkan masa bermain boling di Bandar Sunway, semalam.
Pemain skuad kebangsaan menghabiskan masa selama dua jam bermain boling, sambil ditemani oleh pasangan masing-masing.
Sementara itu, jurulatih kebangsaan B. Sathianathan berkata, dia kini sedang melakukan persiapan latihan akhir pasukan Malaysia dan ingin melakukan sedikit pembetulan yang masih berlaku dalam skuad bola sepak negara.
Katanya, perkara-perkara kecil seperti hantaran yang kurang berkeyakinan dan kesilapan mudah telah menyebabkan pasukan negara kehilangan tiga mata penuh yang diperlukan.
"Sebagai contoh pada pertemuan menentang Singapura baru-baru ini, pemain menunggu sehingga separuh masa kedua untuk melakukan gerakan sempurna.
"Pemain seharusnya tidak perlu tunggu sehingga ke babak kedua, sebaliknya perlu sentiasa konsisten dengan permainan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun begitu katanya, perkara itu hanya dilakukan ketika menjalani perlawanan persahabatan dan perkara seumpama itu perlu diperbaiki sebelum bermulanya pertandingan sebenar.
Jelasnya, perkara tersebut akan diambil sebagai pengajaran berguna dan kesilapan kecil seumpama itu tidak boleh berulang kerana ia akan mengundang masalah besar.