Tuesday, December 16, 2008

Baik pulih sepenuhnya - Presiden FAM

PETALING JAYA - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah mahu 'baik pulih sepenuhnya' dilakukan ke atas skuad nasional yang gagal di kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF di Phuket, minggu lalu.

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin berkata, permintaan Tuanku Presiden itu dinyatakan oleh baginda ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengurus skuad nasional, semalam.

''Tuanku Presiden kecewa dengan kegagalan skuad kebangsaan yang terkandas di peringkat kumpulan kejohanan di Phuket tempoh hari.

''Ini kerana FAM telah memberikan segala-galanya yang diminta oleh skuad ini.

''Pemain juga telah menjalani persediaan paling baik berbanding kejohanan lalu.

''Tetapi hasilnya tidak berbaloi dengan telah apa kita berikan,'' katanya dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pengurusan skuad nasional di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Skuad nasional gagal ke separuh akhir kejohanan di Phuket minggu lalu selepas tewas 2-3 kepada Vietnam dan 0-3 kepada Thailand dalam perlawanan terakhir walaupun bermula baik dengan mengalahkan Laos 3-0.

Dalam pada itu, Khairy berkata kesilapan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Helmi Eliza Elias yang melepaskan gol mudah ketika pasukan nasional kalah 2-3 kepada Vietnam kejohanan Phuket merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu semalam.

Insiden itu, kata beliau mendorong FAM untuk mendapatkan khidmat seorang jurulatih khas untuk posisi penjaga gol.

''Helmi adalah penjaga gol nombor satu negara. Paling konsisten dalam saingan liga tempatan dan perlawanan antarabangsa sebelum kejohanan di Phuket.

''Tetapi ketika perlawanan dengan Vietnam dia hilang keyakinan, tidak konsisten sehingga melakukan kesilapan.

''Kita tidak mahu insiden seperti perlawanan dengan Vietnam berlaku lagi,'' ujarnya.

Pada sidang akhbar tersebut Khairy mengakui FAM bersikap 'lepas tangan' terhadap perkembangan skuad remaja kebangsaan.

Katanya , FAM terlepas pandang terhadap apa yang berlaku terhadap skuad kebangsaan terutama bawah 14 dan bawah 16 tahun.

''Untuk itu FAM akan bangkit dengan pemantauan penuh teliti terhadap pembangunan skuad remaja yang menjadi asas membentuk senior yang mantap," tegasnya.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP