Monday, November 10, 2008

APAKAH PENCALONAN SAMA DENGAN UNDI?

Sumber Mingguan Wasilah 09-15 November 2008 muka surat 14
Oleh Ibrahim Othman



SETAKAT ini, pencalonan bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, jelas menunjukkan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir mendahului dua lagi calon (selepas seorang lagi, Zahidi Zainul Abidin menarik diri), iaitu Naib Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Rembau dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Minggu pertama dan kedua mesyuarat Pemuda bahagian bermula, jelas Mukhriz boleh tersenyum girang kerana namanya amat menonjol, ketika Khairy dan Dr. Mohamad Khir terkial-kial mencari pencalonan kerana tanpa 39 pencalonan, harapan untuk bertanding, dengan sendirinya berkubur.

Masuk minggu ketiga, jelas Khairy dan Khir berjaya melepasi halangan pertama, mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mereka meneruskan hasrat bertanding. Ketiga-tiga calon ini, tentunya tidak nampak jalan kompromi kerana masing-masing merasakan mereka layak, tetapi undi yang bakal mereka terima sebenarnya, menjadi penentu segala cita-cita yang mereka pasang.

Setakat ini, masih ada sekitar 35 bahagian lagi masih belum mengadakan persidangan – Mukhriz mendapat 66, Khairy 47 dan Khir 43. Dari tiga calon ini, hanya Khairy sahaja dari kalangan Pemuda, kerana dia adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rembau, manakala Mukhriz tidak memegang apa-apa jawatan, kecuali Exco Pergerakan Pemuda Umno dan AJK Umno Bahagian Kubang Pasu, manakala Khir adalah Ketua Umno Bahagian Sungai Besar.

Kalaulah Pergerakan Pemuda mahu 'menobatkan' seorang dari kalangan mereka menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno, yang bertaraf Naib Presiden Umno, Khairylah yang mereka kena pilih. Tetapi jika mereka memikirkan sesiapa sahaja boleh menerajui Pemuda, Mukhriz dan Khir bakal menjadi pilihan.

Ketiga-tiga calon Pemuda ini cukup berpotensi sebagai pemimpin pelapis. Ketiga-tiga mereka, masih muda walaupun Khairy yang paling muda. Jika mereka tidak 'bertempur' sama-sama sendiri, ketiga-tiganya mempunyai peluang cerah meningkat dalam hirerki parti.

Dari segi pengalaman, Khir pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Karang. Pernah menjadi Menteri Besar Selangor tetapi, tersungkur dalam PRU ke 12 yang lalu dan sekaligus mengakhiri kedudukannya sebagai MB Selangor dengan penuh penghinaan. Telah menjadi sumpahan barangkali, kebanyakkan MB Selangor akan 'tumbang' secara tidak terhormat, kecuali Allahyarham Datuk Hormat Rafie.

Isu penyapu, yang Khir pertahankan sekarang sebagai 'keputusan bersama' yang dia hanya melaksanakannya sahaja tetapi, kesannya, dia yang kena. Pegawai-pegawai PBT yang bersetuju untuk menerima penganugerahan penyapu, tidak terkesan dengan perlaksanaan anugerah ini kerana mereka tidak bertanding dalam pilihan raya.

Kalaulah Khir memikirkan secara matang dan kesan-kesan selepas itu, kes ini tidak akan menjadi teruk seperti ini tetapi mungkin disebabkan usianya yang muda, menjadi sebab Selangor yang begitu 'penting' kepada politik Umno/BN di negara ini, belum, tumbang di tangan Khir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi BN negeri.

Mukhriz pula tidak banyak yang boleh dianalisis kebolehan dan pengalamannya, kerana dia amat baru dalam politik Umno, berbanding dengan abangnya, Mokhzani yang pernah menjadi Bendahari Pemuda Umno Malaysia dan Bendahari Umno Bahagian Merbok. Cuma, bila menyebut namanya, ada yang memikirkan, dia mewarisi bakat bapanya, Tun Dr. Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling lama 'bertakhta'.

Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri paling lama kerana dia berjaya 'menyakinkan' Umno dan rakan-rakannya dalam kerajaan, bahawa jika berlaku pertandingan jawatan Presiden Umno, parti itu akan berpecah. Sebenarnya, tanpa bertanding pun, parti boleh berpecah dan Dr. Mahathir kekal sebagai Presiden, kerana dia bertindak 'menghalalkan' perkara-perkara yang 'haram' dan 'mengharamkan' perkara-perkara yang halal.

Misalannya, dia melarang ada pertandingan bagi jawatan Presiden, kerana jawatan itu dia yang sandang dan dia mahu menyandangnya selagi dia rasa dia mampu. Padahal, bertanding adalah 'halal' dalam Umno tetapi Dr. Mahathir 'mengharamkannya'. Lebih menguntungkannya, semua orang yang ada di bawahnya, bersetuju kerana masing-masing takut dengan 'cengkaman' Dr. Mahathir ketika itu.

Terbaru, jika ada jasa yang besar Mukhriz lakukan ialah menulis surat membuat desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhenti. Tetapi, ada juga yang menganggap tindakan menulis surat kepada Presiden parti dan Perdana Menteri, adalah suatu tindakan tidak wajar dan melanggar tata etika parti.

Malahan, ramai juga yang mempertikaikan komitmen Mukhriz terhadap Pemuda terutama dalam kerja-kerja dan kempen ketika pilihan raya kecil. Namun, jika perwakilan Pemuda merasakan mereka memerlukan seorang lagi anak bekas Perdana Menteri menjadi 'orang penting' dalam Umn, selepas Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Mukhrizlah pilihan mereka.

Barangkali, selepas ini, Umno akan menanti anak Najib, anak Hishammuddin dan anak Mukhriz pula untuk menjadi pemimpin – seolah-olah, tidak adalah peluang anak-anak guru agama, anak duta, anak petani dan anak penarik beca untuk meningkat naik dalam hirerki kepimpinan parti.

Di kalangan Pemuda, jika mereka nampak Khairy sebagai pemimpin muda yang boleh diketengahkan, hanya kerana Khairy seorang Ketua Pemuda Umno bahagian, seorang Ahli Parlimen yang berani berbahas di Parlimen, mampu berdepan dengan persatuan-persatuan Cina yang membuat tuntutan melampau dan berpengalaman selama empat tahun sebagai Exco Pergerakan Pemuda dan empat tahun sebagai Naib Ketua Pemuda.

Jika dilihat dari sejarah Najib dan Hishammuddin, kedua-dua mereka menjadi Naib Ketua Pemuda sebelum menjadi Ketua Pemuda, barangkali memungkinkan Pemuda Umno dari seluruh negara akan menjadikan argumen yang sama untuk memilih Khairy. Cuma, yang berbeza Khairy bukan anak kepada bekas Perdana Menteri, berbanding dengan Najib dan Hishammuddin.

Pemuda juga tentunya tahu bagaimana Khairy kalau bekerja untuk berhadapan dengan pembangkang dalam pilihan kecil. Malahan, Najib dikatakan cukup kagum dengan komitmen Khairy selama ini!

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP