Akhirnya, Visi Calon Ketua Pemuda Yang Jelas dan Nyata
Saya begitu terkejut apabila sedang menukar rangkaian telivisyen semalam, saya melihat Khairy Jamaluddin sedang bercakap di dalam forum berkisar tentang politik Amerika Syarikat. Rupa-rupanya beliau juga telah memberi pandangan di dalam rancangan sebelum Atma, saya lupa tajuk rancangan tersebut. Hebat sungguh pemimpin Melayu muda ini.
Terus terang saya katakan, saya belum sempat melihat seorang pemimpin muda yang berjaya memberi idea secara spontan dalam masa yang begitu singkat. Justeru saya ingin berkongsi ringkasan pandangan calon Ketua Pemuda ini dengan para pembaca.
Halatuju Dan Cadangan
Apa yang memeranjatkan ialah secara keseluruhannya ialah Khairy Jamaluddin tidak banyak berbincang soal politik pemilihan UMNO. Sebaliknya, dia memberi cadangan bernas yang tidak pernah kedengaran bukan sahaja dari calon-calon Ketua Pemuda malahan calon-calon di peringkat yang tertinggi UMNO yang lain.
Sebagai contoh cadangan Khairy bahawa Pemuda BN merangka kod etikanya sendiri dalam berpersatuan merupakan satu cadangan yang boleh digunapakai. Ini kerana, dengan adanya kod etika ini, Khairy berpendapat tiada lagi perbahalan atau salah faham melalui media yang boleh menganggu gugat tata etika justeru melemahkan lagi Barisan Nasional.
Sebagai pemimpin muda yang mewakili golongan muda, Khairy juga menggariskan kepentingan memenuhi kehendak rakyat Malaysia. Dia menekankan bahawa UMNO perlu memahami kitaran berita dan dengan itu perlu bijak menggunakan peralatan yang sedia ada. Beliau menyentuh kemahiran menyeluruh kaedah ICT, Facebook, Youtube perlu wujud dalam setiap ahli UMNO.
Dalam menjawab soalan berkenaan struktur parti, Khairy mencadangkan perjumpaan berasingan sebelum Perhimpunan Agung untuk mendegar rintihan suara dan idea ahli-ahli UMNO akar umbi. Jika beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda, dia akan membuka ruang sebesar-besarnya untuk memberi peluang untuk akar umbi berbahas. Beliau sebagai Ketua Pemuda akan menggulung dan menjawab segala rintihan dan masalah.
Bagi menarik minat pengundi muda kepada perjuangan dan agenda UMNO, beliau ingin mewujudkan rangkaian persahabatan orang muda antara UMNO dan mereka yang tidak cenderung untuk memasuki mana-mana parti politik. Golongan muda ini termasuk kakitangan kerajaan, buruh muda, professional muda, dan lain-lain. Beliau juga mencadangkan perjumpaan di dalam Dewan atau Halltown Meeting dimana semua lapisan masyarakat dapat berkongsi dan mendengar idea.
Bagi menarik lebih ramai golongan pemikir ke dalam UMNO, Khairy percaya usul yang dibawa dan isu yang dibincangkan seperti pembaharuan dalam kehakiman, pembaharuan Badan Pencegah Rasuah, isu ekonomi seperti bagaimana untuk mengangkat martabat orang melayu secara yang tersusun pasti akan menarik minat dan perhatian golongan cerdik pandai ini kepada UMNO.
Politik Pemuda
Sebagai seorang yang sering dilabel sebagai angkuh, saya terkejut dengan jawapan yang diberi oleh Khairy apabila ditanya tentang kedudukan pencalonan dan lonjakan terbaru pencalonan Dato Khir Toyo sejak kebelakangan ini. Khairy mengakui sebagai calon paling muda dan yang paling kurang pengalaman dia berpuas hati dengan tahap pencalonan yang diterimanya. Dia menambah lonjakan terakhir, KT mungkin disebabkan oleh ilmu politik Khir Toyo yang tinggi.
Tetapi saya tertarik apabila Khairy mengolah tema yang ingin dibawanya. Menurutnya, konsep setiakawan ini menggambarkan perjuangan persahabatan dengan tujuan utama untuk mengurangkan jurang antara akar umbi dan pemimpin. Harapan rakyat Malaysia ialah Khairy akan mengotakan kata-katanya untuk turun lebih kerap ke bawah untuk memahami intipati sebenar perjuangan UMNO.
Beliau juga menyentuh Politik wang jangan retorik. Pokoknya penguatkasaan perlu tegas dan menyeluruh. Jangan berdasarkan Lembaga Displin. Kita kena rapat dengan BPR. Banteras dah hapuskan. Menilai pemimpin keupayaan. Cukup retorik. Masa untuk bertindak.
Sebagai graduan Universiti terkemuka, sudah tentu dia akan dilabel sebagai seorang intelektual. Namun, Khairy menjelaskan bahawa dia tidak menjurus kepada kepimpinan intelektual. Sebaliknya dia mengambil pendekatan yang terbuka dengan menggunakan konsep debat, dialog ataupun forum.
Debat
Khairy telah menerangkan latar belakang cadangannya untuk debat terbuka sebagai contoh pendekatan terbuka yang mungkin berbeza ini. Beliau menambah ini merupakan cara untuk UMNO mencangkau batasan yang sedia ada.
Tujuan utama debat ialah untuk UMNO mendekati rakyat dan seterusnya meluaskan pengaruh UMNO. Khairy menegaskan bahawa debat ini tidak lansung bertujuan untuk memburukkan mana-mana calon, dan ia akan dilakukan secara tertib dengan harapan visi calon-calon akan diutarakan untuk dikongsi bersama.
Beliau berpendapat berdasarkan sejarah dan kejayaan UMNO selama ini, budaya dan cara UMNO sememangnya baik. Namun menurut beliau, UMNO perlu ada pembaharuan. Perlu lebih terbuka dan dinamik.
Formula Barisan Nasional
Mengikut pemerhatian beliau, pengundi di kawasan bandar lebih terbuka untuk menerima politik yang tidak berdasarkan perkauman. Namun hakikatnya, pengundi di kawasan luar bandar masih melihat kepad politik yang berdasarkan kaum. Mereka melihat ini merupakan landasan di mana hak ekonomi dan pendidikan mereka diperjuangkan. Bukan sahaja orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia yang lain.
Justeru, menurut beliau formula Barisan Nasional masih releven, tetapi caranya perlu berubah. Apa yang perlu wujud ialah semangat perkongsian kuasa yang tulen. Dari segi logiknya, tanpa pengamalam perkongsian yang tulen, maka kemenangan pada Pilihanraya akan datang sudah pasti menjadi sukar.
Akhir Kata
Sebagai seorang belia Melayu yang tidak berparti, saya mengharapkan kedua-dua calon Ketua Pemuda UMNO iaitu Dato' Khir Toyo dan Dato' Mukhriz Mahathir dapat mengambil peluang untuk menjelaskan halatuju dan mengesyorkan cadangan sepertimana Khairy Jamaluddin. Pada merekalah tempat kita bergantung harap.
Petikan dari KPMU.NET