Penjenamaan Baru Khairy: Sejauh Mana Keikhlasannya
Sekadar label liberal, moderate, ultra atau apa-apa label lain sebenarnya tidak bererti. Yang penting adalah sama ada pendekatan yang diterapkan dalam Pemuda UMNO selepas Mac 2009 nanti mampu menarik hati golongan pengundi muda, selagi tidak lari dari intipati perjuangan Melayu parti UMNO.
Namun, Malaysiakini tepat dalam mengatakan ini merupakan suatu penjenamaan atau penjelmaan semula Khairy dari segi retorik politik yang digunapakai. Kalau dahulunya Khairy lantang memainkan imej ultra, kini tampak beliau lebih rendah diri dan retrospektif dalam platform politiknya. Hujah Khairy mudah: PRU-12 menunjukkan bahawa UMNO telah hilang daya tarikannya kepada orang muda. Ternyata strategi Pemuda tidak lagi boleh kekal di takuk lama. Dunia telah berubah. Pemikiran masyarakat muda turut ikut sama. Maka Khairy cuba membawa suatu mesej inklusif untuk menarik segenap lapisan masyarakat muda dan tidak lagi hanya tertumpu 100% kepada isu tradisional UMNO.
Mesej ini perlu diterjemahkan; dalam Wawancara di Astro Awani Khairy menjelaskan bahawa dia bercadang untuk mengadakan usaha mendekati petani muda, ustaz muda, golongan professional Melayu muda, mahasiswa-mahasiswi dan lain-lain. Strategi Khairy ini mungkin tampak janggal kerana penterjemahan perjuangan UMNO sekian lama adalah sebagai sayap pendesak di mana lahirnya semangat perjuangan Melayu yang berkobar-kobar. Namun, bila dikaji mendalam, ia mampu menjanjikan pulangan kepada UMNO dan BN jika dapat diusahakan sebaik-baiknya.
Ini kerana bukan semua orang muda mahu menjadi ahli UMNO, atau mana-mana parti politik. Malah, melihat corak dan trend negara demokrasi matang di dunia, jelas berlakunya kejatuhan angka ahli parti politik, namun jumlah pengundi meningkat. Malaysia yang semakin lama semakin maju demokrasinya, juga tidak terkecuali dari mengikut corak ini – terdapat lebih kurang 5 juta pengundi muda, tetapi hanya 700 ribu ahli Pemuda UMNO!
Maka, perlu ada suatu usaha mendampingi secara konsisten golongan ini yang mungkin mahu menyokong UMNO tetapi selama ini merasakan bahawa parti itu tidak pernah melangkau keluar dan mendekati mereka, inikan bertukar pendapat. Mengapa tidak usaha ini dimulakan sekarang; walaupun bukan perwakilan mahupun ahli, bukankah mereka ini akar umbi yang akan mengundi di PRU juga? Tanpa usaha ini, barangkali ramai dari mereka ini akan ‘diculik’ oleh parti lawan yang sinonim dengan mesej idealistik dan progresif. UMNO perlu ‘turun padang’ dan menerangkan relevannya ideologi UMNO kepada semua, dan tidak hanya leka ‘di atas’ melaungkan semangat Melayu semata-mata lantaran berharap akan mendapat sokongan pengundi.
Jadi strategi Setiakawan Khairy ini perlu dilihat dengan kanta objektif dari segi potensi pulangannya kepada UMNO dan BN. Namun, Malaysiakini masih sinis menuduh Khairy tidak ikhlas dengan mesejnya kerana sekadar mahu menarik minat orang bukan Melayu kepadanya sebagai seorang individu. Mereka terus menerus mendakwa bahawa Khairy akan berkata satu perkara di hadapan orang bukan Melayu tetapi satu perkara berbeza pada Melayu. Ternyata dakwaan ini mudah disangkal kerana Khairy sememangnya konsisten dengan mesej inklusif ini tidak kira siapa pun yang di hadapannya. Contoh, baru dua hari lepas muncul di Astro Awani yang rata-rata ditonton orang Melayu Khairy tidak langsung ‘goreng’ mesejnya itu supaya tampak selari dengan mesej tradisional biasa UMNO.
Memang pasti, Khairy mengambil satu langkah berani dan penuh berisiko melalui platform Setiakawan ini. Persoalannya, adakah UMNO bersedia untuk menyahut mesej ini, atau masih berdegil dengan imej eksklusifnya itu tanpa menghiraukan aspirasi golongan luar UMNO.
Sumber KULITPISANG.COM