Sathia diberi kata dua
Tegasnya, sudah sampai masanya jurulatih itu dan anak buahnya mencipta kejayaan dengan sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir setelah sekian banyak peluang dan permintaan ditunaikan semata-mata dalam memudahkan persediaan skuad negara.
"Apa yang saya minta daripadanya dan pasukan ialah hasilkan keputusan yang membanggakan. Kami di FAM sudah memenuhi apa sahaja kehendaknya termasuk dengan menghabiskan Liga Malaysia lebih awal musim ini dan masa secukupnya untuk menyediakan pasukan negara dan mendapatkan pemain.
"Dia tidak boleh lagi memberikan alasan atau bertangguh untuk mencipta kejayaan selepas Piala Suzuki AFF (seperti sebelumnya - Kelayakan Olimpik dan Sukan SEA Korat 2007)," katanya pada Sesi Percambahan Pemikiran Liga Malaysia 2010-2014 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.
Skuad negara cuma bergelar naib juara Pestabola Merdeka, bulan lalu dan terkandas pada separuh akhir Piala Cabaran Grand Royal, pertengahan bulan ini, akan menentang Laos, Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan B.
Sathianathan mula menyandang 'kerusi panas' itu selepas membawa majoriti pemain bawah 23 tahun menjuarai Pestabola tahun lalu tetapi anak buahnya kemudian gagal ke separuh akhir Sukan SEA Korat 2007 - sasaran utamanya ketika itu setelah dikalahkan Vietnam 3-1, menewaskan Laos 4-0 dan diikat Singapura 1-1.
Kata Khairy: "Kita perlu menang ke atas Laos dan Vietnam dalam Piala Suzuki AFF untuk menjamin tempat separuh akhir. Ia dua perlawanan penting buat pasukan negara kerana jika sebaliknya, kegagalan akan berulang seperti pada Sukan SEA yang lalu. Justeru tiada alasan boleh diberi lagi bagi kegagalan yang sama lagi kali ini."
Jika rekod lalu dijadikan sandaran, peluang Malaysia masih sukar kerana pertemuan terakhir di peringkat senior menyaksikan kita dikalahkan Vietnam 2-1 (Piala Tiger 2002 di Jakarta) dan Thailand 1-0 (Kejohanan AFF 2007 di Bangkok) serta seri 1-1 dengan Laos (Piala Tiger 2002 di Jakarta).
Pencapaian terbaik Malaysia hanyalah bergelar naib juara Piala Tiger 1996 (kini Piala Suzuki AFF) dan kejohanan tahun lalu menyaksikan skuad negara bimbingan Norizan Bakar terkandas pada separuh akhir setelah dikalahkan Singapura menerusi penalti 5-4 setelah terikat agregat 2-2 secara timbal balik.