Usah sabotaj jika tak dipilih
BERA – Ahli-ahli UMNO yang membelakangkan kepentingan parti disebabkan tidak tercalon dalam pilihan raya umum ke-12 perlu ditolak daripada parti, tegas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, tindakan merajuk atau mensabotaj parti sehingga ada yang menutup bilik gerakan merupakan satu kesalahan besar kerana ia melanggar tata etika parti.
‘‘Peraturan parti kita memang jelas, kalau ada unsur-unsur sabotaj dan kempen menentang parti, itu bertentangan dengan etika dan Perlembagaan serta semangat perjuangan parti.
‘‘Kalau ada asas, bukti dan disahkan bahawa mereka melakukan perbuatan-perbuatan ini, mereka perlu ditolak daripada parti.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini,” kata Khairy selepas melancarkan Gerak Gempur Jentera Pilihan Raya Pemuda Barisan Nasional (BN) dan UMNO Parlimen Bera di sini hari ini.
Menurut Khairy, peringatan itu diberikan supaya ahli-ahli UMNO terutama Pemuda tidak mengulangi kesilapan yang pernah mereka lakukan pada pilihan raya lepas.
‘‘Pernah berlaku dulu, selepas penamaan calon dalam dua tiga hari pertama kempen, ada yang tutup bilik gerakan kerana merajuk tidak menjadi calon, ada unsur-unsur sabotaj dan sebagainya.
‘‘Saya dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan ahli-ahli Pemuda tidak melakukan tindakan seumpama itu,” tegas beliau.
Khairy seterusnya berkata, yang menjadi pesaing UMNO dan BN dalam pilihan raya umum bukan pembangkang tetapi masalah dalaman parti sendiri.
‘‘Inilah yang menyusahkan parti dan calon-calon kita. Walaupun kita rasa sedih, kecewa dan tidak setuju, kita mesti menyokong keputusan yang telah dibuat,” katanya.
Mengulas ‘cakap-cakap’ tentang penonjolan dirinya melebihi Hishammuddin pada majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya, Khairy menjelaskan, perkara tersebut sebenarnya tidak berlaku, sebaliknya beliau telah diarahkan berbuat demikian.
1 comments:
hahaha takut rupanya budak mentah nie! itulah jangan bermain dengan api! nanti terbakar semua! orang lama dalam umno nak digula-gulakan! bukankah itu kurang ajar namanya!
Post a Comment