Wednesday, February 13, 2008

Generasi muda perlu sokong BN

SEREMBAN: Generasi muda perlu menyokong dan mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang bagi memastikan masa depan golongan itu terus diberi keutamaan dalam agenda perdana negara.

Ketua Pergerakan Pemuda BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sokongan itu juga sebagai penghargaan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana berani dan sentiasa memberi keutamaan kepada golongan itu dalam setiap agenda yang digariskan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebagai contoh Perdana Menteri sentiasa menyokong pelbagai program yang dirancang kementerian, terutama dalam membangunkan modal insan demi masa depan negara yang lebih gemilang.

"Semua bentuk pelaburan, komitmen, keberanian dan kesungguhan Perdana Menteri kepada golongan muda bukan untuk beliau kerana bidang pendidikan seperti yang kita ketahui memerlukan masa yang panjang untuk menuai hasil.

"Sebaliknya, semua yang dilakukan Perdana Menteri itu atas rasa tanggungjawab yang ikhlas dan tulus demi masa depan generasi muda negara. Jadi, amat malang jika generasi muda tidak menghargainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Jentera Sedia Gempur Pilihan Raya dan Skuad Banteras Dadah Pergerakan Pemuda BN Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini semalam.

Majlis disempurnakan Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Hadir sama Timbalan Pengerusi Pergerakan Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Hishammuddin bagaimanapun tetap yakin generasi muda, termasuk penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) akan terus menyokong dan memberi mandat kepada BN walaupun cuba dipengaruhi pembangkang dengan pelbagai dakyah dan fitnah.

"Kita mempunyai pendekatan dan strategi khusus bagi menghadapi isu yang diputar belit pembangkang. Jentera gerak gempur kita juga akan menggempur habis-habisan kubu pembangkang bagi memastikan kemenangan selesa BN," katanya.

Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya meminta pemuda BN bersatu dan mengatur strategi terlebih dahulu sebelum membuat gempuran bagi mengelakkan tersilap langkah dan terperangkap dalam permainan parti pembangkang.

"Jangan kita nampak hebat di luar tapi kalah dalam medan pertempuran akibat salah strategi. Ramai pengundi muda di luar sana dan kita harus dekati mereka supaya mereka tidak dipengaruhi pembangkang, sebaliknya menyokong BN," katanya.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP