Pembangkang mimpi di siang hari
LENGGONG - Strategi pembangkang bergabung bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang tidak akan berjaya.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun parti pembangkang kononnya bersatu dalam pakatan mereka tetapi hakikatnya mereka sentiasa bertelagah kerana tiada persefahaman dan agenda perjuangan parti masing-masing yang berbeza.
"Semua pakatan yang dibuat oleh pihak pembangkang sebelum ini masih belum berjaya menunjukkan sebarang kejayaan kerana mereka tidak mampu untuk bertolak ansur bagi pembangunan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jentera Sedia Gempur BN Lenggong di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Khairy berkata, berdasarkan senario itu, pihaknya yakin rakyat akan memilih BN semula berbanding parti pembangkang yang hanya kerap menabur janji manis hingga memakan diri sendiri.
Beliau berkata, walaupun senario itu lebih memihak kepada BN untuk mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum akan datang, beliau tetap menegaskan bahawa BN tidak akan mengambil ringan ancaman parti pembangkang.
Katanya, usaha meningkatkan persiapan jentera pilihan raya di seluruh negara sedang giat dijalankan bagi memastikan BN tidak leka dengan kewujudan parti-parti pembangkang.
"Kita tidak pandang ringan (ancaman pembangkang) dan kita akan pastikan kemenangan besar calon BN tetapi dalam soal pembangkang ini, saya rasa mereka hanya mimpi di siang hari termasuk kononnya akan menang besar.
"Saya percaya apa yang dibuat oleh parti pembangkang itu cuma satu propaganda dan sekarang mereka sudah mula termakan dengan mimpi-mimpi indah mereka sendiri," ujar beliau.
Sementara itu, Khairy dalam ucapannya menegaskan, jentera Gerak Gempur Pemuda BN mesti turun padang bagi mematahkan segala dakyah dan fitnah yang ditaburkan pembangkang kepada rakyat sebelum ini.
Katanya, isu kenaikan harga barang dan minyak umpamanya mesti dijelaskan sebaik mungkin berdasarkan usaha keras kerajaan bagi mengawal situasi tersebut.
Beliau berkata, antara langkah yang telah diambil kerajaan ialah dengan mengekalkan subsidi petroleum hingga menjadikan harga minyak di negara ini paling murah di Asia Tenggara.
"Bagi kenaikan harga barangan pula, kerajaan telah mewujudkan stok penimbang dengan membeli barangan asas seperti beras, minyak masak dan gula, jadi bila ada kekurangan bekalan kita akan keluarkan stok supaya harga produk itu stabil," katanya.
0 comments:
Post a Comment