Wednesday, February 13, 2008

Tolak ‘politik kalau’ parti lawan: Khairy

BERA: Umno yakin rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengan strategi ‘politik kalau’ atau ‘politik kahwin cerai’ yang sering digunakan serta menjadi amalan parti pembangkang dalam usaha meraih undi setiap kali menjelang pilihan raya.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata pendekatan itu dan ‘politik kahwin cerai’ atau ‘politik kahwin muta`ah’ yang diamalkan pembangkang menggambarkan mereka hanya mempergunakan satu sama lain hanya apabila perlu.

“Politik ‘kalau’ yang digunakan pembangkang pula tidak boleh diterima kerana jelas janji yang cuba ditabur kepada rakyat tidak berpijak di bumi nyata. Walaupun Barisan Nasional (BN) dan parti komponennya kadang kala mempunyai masalah dalaman, ia berjaya diatasi secara muafakat.

“Ikatan yang terjalin dalam BN kekal utuh sejak dulu dan tidak pernah bercerai seperti kerjasama gabungan pembangkang,” katanya berucap melancarkan Majlis Gerak Gempur Jentera Pilihan Raya Pemuda BN dan Umno Parlimen Bera di Dataran Bera di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pemuda Umno Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob.

Khairy yang juga Timbalan Pengerusi Pemuda BN berkata, amalan politik ‘kalau’ pembangkang yang membuat pelbagai janji jika memenangi pilihan raya umum akan datang, termasuk menjadikan Malaysia negara kebajikan hanyalah janji kosong dan basi.

“Kerajaan yang dipimpin BN membuktikan kemampuan melaksanakan apa yang dibangkitkan pembangkang dan ia bukan sesuatu yang sengaja diada-adakan. Apa yang dijanjikan BN, janji hakiki. Kita tunaikan janji kita dan itulah kekuatan BN,” katanya.

Beliau berkata, gabungan pembangkang tidak mampu menandingi keupayaan BN yang selama ini terbukti berjaya membawa pembangunan menyeluruh kepada rakyat dan itulah sebabnya ia mendapat sokongan rakyat untuk memimpin negara.

“Pembangkang pula terpaksa bergantung pada individu seperti Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Nik Aziz (Datuk Nik Aziz Nik Mat) dan DAP pula Lim Kit Siang tetapi dalam Umno dan BN, pemimpin kita silih berganti, patah tumbuh hilang berganti,” katanya.

Khairy berkata, pembangkang sebenarnya bukan halangan utama kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-12 ini, sebaliknya ancaman sebenar parti itu ialah sekiranya wujud perpecahan dalam kalangan anggotanya sendiri.

Sehubungan itu katanya, BN perlu mengekalkan sikap bersatu padu dan bekerjasama dalam satu pasukan jika mahu memenangi pilihan raya kali ini dengan jumlah undi yang besar.

Katanya, anggota BN juga harus membuang sikap cemburu, berpecah belah, iri hati dan berpaling tadah terutama jika tidak terpilih menjadi calon.

“Soal siapa yang dipilih menjadi calon hanya ditentukan pucuk pimpinan parti dan mereka yang melobi terutama di saat akhir untuk menjadi calon hanya membazir masa saja kerana pucuk pimpinan sudah tahu dan memerhati siapa sebenarnya yang bekerja dan akan dicalonkan,” katanya.

Terdahulu, kehadiran Khairy yang diiringi Ismail Sabri dan Khairuddin disambut oleh kira-kira 600 anggota bermotosikal Pemuda parti komponen BN dan 20 kenderaan pacuan empat roda di Dataran Bera.

Sementara itu, beliau meminta ahli Umno tidak berkecil hati, merajuk atau membelakangkan kepentingan parti jika tidak tercalon bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Katanya tindakan merajuk atau cuba mensabotaj parti sehingga ada yang menutup bilik gerakan adalah satu kesalahan besar yang melanggar etika dan disiplin serta berkemungkinan ditolak daripada parti.

"Parti kita memang jelas, kalau ada unsur-unsur sabotaj, kempen menentang parti atau calon parti, ia bertentangan dengan etika serta semangat perjuangan parti.

"Jika ada asas, bukti yang kukuh dan disahkan melakukan perbuatan terbabit, mereka perlu ditolak daripada parti. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini," katanya.

Khairy berkata, peringatan itu diberikan supaya ahli Umno khususnya Pemuda tidak mengulangi kesilapan yang pernah berlaku pada pilihan raya sebelum ini.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP