Wednesday, February 18, 2009

Malaysiakini : Khairy Tonjolkan Kematangan Baru

Ramai yang menonton rancangan Hujah TV9 malam semalam menjangkakan bahawa platform forum dan diskusi idea antara tiga calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia akan memperlihatkan trend agresif Khairy Jamaluddin terus diketengahkan kepada khalayak ramai. Khairy yang dilihat sebagai antara penceramah paling hebat dalam Pemuda UMNO mahupun UMNO induk sekalipun, dijangka mendominasi forum tersebut dengan ungkapan dan hujah yang radikal, dinamis dan bersemangat. Namun, dalam konteks di mana dua lagi calon untuk jawatan Ketua Pemuda, Dato' Seri Dr. Mohd. Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir dilihat menghentam dan mengkritik sekuat-kuatnya institusi parti dan Kerajaan, Khairy dilihat terpanggil memainkan peranan yang lebih bersederhana untuk mempertahankan institusi tersebut daripada terus menerus dihentam oleh individu berkepentingan.

Memang jika dilihat persepsi sejurus selepas tamatnya forum tersebut, Khir tampak meninggalkan impak yang paling mendalam melalui kelantangannya mengkritik secara terbuka parti UMNO dan Kerajaan dalam isu ISA, Karpal Singh mahupun isu ekonomi. Selain itu, 'keberaniannya' mengungkap sejarah Islam – malah cuba menyamakan kebangkitannya selepas kekalahan Selangor ditangannya dengan kebangkitan Rasulullah s.a.w. selepas kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud – barangkali diharap mampu menambat hati para hadirin (yang ramainya terdiri daripada penyokongnya sendiri walaupun arahan penganjur untuk tidak membawa sebarang penyokong kecuali tiga atau empat pengiring). Namun jika dikaji, Khairy-lah yang paling bertanggungjawab dalam menyampaikan hujah di hadapan penonton dari seluruh pelusok tanah air yang bukan sahaja terdiri daripada ahli UMNO, tetapi juga rakyat biasa pelbagai kaum. Dengan pendiriannya yang memperlihatkan suatu kesinambungan dari kepimpinan Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy memastikan bahawa strategi dan perjuangan UMNO selama beberapa tahun ini tidak dibuang dan dipijak sewenang-wenangnya di saluran televisyen nasional.

Jika dahulu ada yang membantah cadangan Khairy untuk diadakan satu debat antara ketiga-tiga calon ini atas alasan ianya akan hanya membuka pekung di dada, kini seolah-olah Khairy pula yang terpaksa menjaga muka dan maruah parti. Apa tidaknya, Datuk Mukhriz pun cukup lantang membantai parti UMNO yang dikatakan sudah menyimpang dari perjuangan asal agama bangsa dan negara – suatu tamparan yang cukup hebat kepada institusi parti itu sendiri serta segenap pimpinan parti UMNO ini.

Dari segi pengisian hujah pula, Khairy tampak lebih nasional dan menyeluruh dari segi pendekatannya untuk memenangi hati pengundi muda di dalam dan luar jangkauan tradisi UMNO. Dalam isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) contohnya, Khairy mengambil pendekatan yang lebih matang sebagai seorang ahli politik dengan mengatakan bahawa ada keperluan untuk kepimpinan Pemuda turun padang menerangkan dan berbincang bersama golongan muda ini tentang peri pentingnya ISA disamping mendengar cadangan-cadangan mereka sama ada perlu ISA diubah sedikit sebanyak supaya tidak digunakan untuk sebarang kepentingan politik. Ini jauh berbeza dengan dua calon lain yang tidak teragak-agak mengesyorkan bahawa ISA digunakan sebagai penyelesai masalah, tanpa menghiraukan persepi orang muda kini yang cenderung kepada suatu politik baru di mana hak asasi dan kebebasan individu diberi tempat tinggi dalam sesuatu percaturan atau tindakan.

Dalam isu Kontrak Sosial dan Hak-hak Melayu pula, Khairy sepertimana yang pernah ditunjukkannya sebelum ini, berhujah dengan penuh hikmah dan berjaga-jaga supaya tidak mengguris hati mana-mana golongan pada waktu UMNO dan BN mahu meraih kembali sokongan pengundi bukan Melayu, tanpa langsung mencairkan semangat pejuang Melayunya itu. Contoh terbaik, Khir ada menyebut bahawa ideologi Ketuanan Rakyat yang dibawa Pakatan Rakyat merbahaya kerana cuba menyamarata-kan antara rakyat berbilang kaum. Memang ada kebenaran dalam hujah Khir, tetapi cara penyampaiannya tidak langsung strategik kerana sudah pasti berbaur bahawa UMNO tidak merasakan orang Cina dan India ini sama rata dengan orang Melayu. Apa gunanya menjadi wira Melayu di studio tetapi hilang undi bukan Melayu dalam Pilihanraya-pilihanraya kecil yang bakal menjelang. Apa gunanya menang sorak kampong tergadai?

Akhirnya, terpanggil kepada Khairy untuk membawa kembali perbincangan ke arah yang lebih bersederhana dan berhikmah sejajar dengan usaha UMNO menjadi mesra rakyat. Beliau sekali lagi menekankan kepentingan Pemuda UMNO bersama Pemuda BN mendampingi golongan muda bukan Melayu yang merasakan bahawa Kontrak Sosial yang dipraktikkan oleh generasi-generasi pendatang sebelum mereka tidak lagi begitu relevan kerana mereka dilahirkan di Malaysia dan tidak merasakan perlu terhutang kepada golongan Melayu se-generasi mereka. Proses mendampingi dan mencari titik persefahaman dalam isu-isu Kontrak Sosial, ISA dan sebagainya amat penting jika UMNO dan BN mahu meraih kembali sokongan orang muda.

Yang pasti, malam tadi menonjolkan Khairy Jamaluddin yang lebih rendah diri, lebih matang mirip pemimpin negarawan yang mampu mewujudkan suatu pengisian baru kepada perjuangan Pemuda setakat ini. Dibandingkan dengan dua calon yang lain, Khairy sebenar jauh sekali dari imej tuduhan budak nakal, agresif keterlaluan dan 'samseng' yang kerap dilemparkan terhadapnya. Malam tadi, negara Malaysia dapat menyaksikan dan menilai sendiri siapa liabiliti dan siapa aset sebenar untuk memenangi kembali undi golongan muda dalam pilihanraya kelak.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP