Malaysiakini - Kenakan sekatan ekonomi
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Sekatan ekonomi ke atas Israel mesti dilaksanakan sekiranya rejim Zionis itu masih enggan mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis lalu supaya dihentikan serta merta serangan ke atas Wilayah Gaza.
Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, langkah itu adalah tindakan paling berkesan bagi memastikan negara Yahudi itu tidak lagi meneruskan tindakan tidak berperikemanusiaan berkenaan.
''Selain sekatan ekonomi, langkah lain yang boleh dilakukan ialah menubuhkan pasukan tentera pengaman PBB bagi memastikan arahan gencatan senjata dipatuhi oleh Israel," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Mengecam Serangan Rejim Zionis Israel Ke Atas Wilayah Gaza yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.
Sekiranya PBB enggan membentuk pasukan pengaman, katanya, Malaysia harus mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu gabungan pasukan tentera bersama-sama negara yang berminat yang bertanggungjawab memastikan gencatan senjata berkenaan dipatuhi.
''Langkah ini bukan bererti kita menghalalkan peperangan sebaliknya hanya bertujuan mewujudkan satu bentuk ancaman kepada Israel supaya mereka mematuhi arahan supaya diadakan gencatan senjata," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, bagi menggalakkan lebih banyak syarikat swasta menderma kepada penduduk Palestin, semua sumbangan harus dikecualikan cukai sebanyak dua kali ganda.
''Ini bermakna kalau syarikat ini menyumbang sebanyak RM500,000 maka pengecualian cukai yang diberikan adalah sebanyak RM1 juta," ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pula mencadangkan supaya kerajaan membatalkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS) dan tidak meluluskan permit import barangan dari negara itu sebagai memprotes sokongan kuasa besar itu terhadap Israel.
Beliau juga meminta kerajaan mencontohi langkah negara Djibouti yang memotong gaji kakitangan awamnya selama sehari, bermula dari peringkat jawatan Perdana Menteri sehingga ke bawah bagi disumbangkan kepada rakyat Palestin.
''Bagi memastikan segala sumbangan sampai kepada rakyat Palestin dan bukannya hanya segelintir pihak tertentu yang memerintah, maka semua derma harus ditukar ke dalam bentuk makanan dan ubat-ubatan yang boleh dihantar secara terus," ujarnya.