Pemuda Umno Cadang Had Umur Untuk Ketua Pemuda Umno Msia
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan agar dikenakan had umur kepada calon yang ingin bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata sebelum ini tidak ada sebarang had umur diletakkan sebagai syarat untuk bertanding merebut jawatan tertinggi pergerakan itu.
"Kita cadangkan supaya diadakan had umur untuk jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Ya, hari ini tak ada... tapi sekarang kita hendak cadangkan had umur tidak lebih 45 tahun kerana ini selaras dengan aspirasi orang muda," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu di sini petang Rabu.
Selain itu Khairy berkata, kelayakan minimum untuk bertanding bagi jawatan ketua Pemuda atau naib ketua juga dipermudahkan iaitu hanya mensyaratkan supaya calon berkenaan perlu menjadi exco Pemuda ataupun ketua Pemuda bahagian selama satu penggal.
"Cadangan asal yang kita terima, adalah dua penggal, kalau dua penggal untuk jadi ketua Pemuda, maka tidak ada siapa yang dapat melawan saya selepas ini.
"Selain itu bagi jawatan exco Pemuda, calon mestilah menjadi ahli Umno selama tiga tahun dan ahli jawatankuasa Pemuda bahagian baru dia boleh bertanding.
"Ada cadangan kata mesti jadi ketua Pemuda bahagian, saya kata tidak," ujarnya lagi.
Sehubungan dengan itu, Khairy berkata, Pemuda mencadangkan supaya sistem kuota yang menjadi amalan Umno selama ini dihapuskan bagi memberi peluang kepada lebih ramai ahli di peringkat akar umbi untuk bertanding.
"Kami telah mencadangkan supaya syarat kelayakan untuk bertanding dilonggarkan, maksudnya kita menyokong supaya sistem kuota dimansuhkan...tidak ada lagi kuota, kita memudahkan ahli untuk bertanding," katanya.
"Sebagai contoh untuk bertanding (jawatan) ahli jawatankuasa Pemuda bahagian, ia perlu menjadi ahli selama setahun dan lepas itu boleh bertanding. Tidak perlu bertanding jawatan ketua Umno cawangan atau AJK cawangan terlebih dahulu," katanya.
Selain itu, bagi jawatan ketua Pemuda Umno bahagian pula, Pemuda mencadangkan agar calon yang menawarkan diri untuk bertanding mesti menjadi ahli selama tiga tahun dan menjadi ketua Pemuda cawangan atau AJK pemuda bahagian terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Pemuda juga mencadangkan supaya proses pemilihan jawatan di semua peringkat parti ditentukan oleh lebih 100,000 perwakilan berbanding 2,600 sekarang.
Khairy berkata, pergerakan itu meminta supaya perwakilan di peringkat bahagian ditambah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah sedia ada.
"Pertambahan jumlah itu merangkumi ketua Pemuda cawangan, wanita cawangan dan Puteri cawangan sebagai perwakilan bahagian yang akan menentukan jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan jawatan-jawatan tertinggi dalam Umno," katanya.
Tambah Khairy, pada dasarnya Pemuda menyokong supaya beberapa peruntukan dalam Umno dipinda untuk memberi lebih banyak kuasa kepada ahli akar umbi menentukan kepimpinan peringkat nasional serta sayap parti.
"Kita juga nak pastikan supaya Pemuda Umno diberi lebih banyak peluang untuk memainkan peranan dalam parti di peringkat induk.
"Oleh sebab itu Pemuda menyokong supaya pemilihan Umno dibuat di peringkat perwakilan bahagian dan bukannya di Perhimpunan Agung," katanya.
0 comments:
Post a Comment