Thursday, September 3, 2009

Akal Pendek Dek Kerana Pendet - Khairy Jamaluddin komen isu sentimen anti Malaysia di Indonesia

Pergeseran antara Malaysia dan Indonesia gara-gara isu tarian Pendet yang disiarkan seolah-olah tarian Malaysia dalam sebuah iklan oleh Discovery Channel sampai kemuncaknya semalam apabila Jalur Gemilang dibakar di sebuah universiti terkemuka di Yogyakarta.

Apa pun perdebatan mengenai tarian Pendet atau mana-mana lagi isu berbangkit antara kedua-dua negara ini, yang pastinya ada sedikit ketidaksefahaman yang sudah lama wujud dalam perhubungan dua hala Malaysia-Indonesia – kalau tidak di peringkat Kerajaan pun, tetapi di peringkat warga biasa.

Di sini saya terpanggil mengulangi apa yang saya sebut sewaktu mengetuai delegasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke Jakarta bulan lepas, iaitu peri pentingnya hubungan istimewa atau "special relationship" antara Malaysia dan Indonesia ini diperkuatkan demi persefahaman yang lebih jitu antara dua negara dan dua bangsa serumpun.

Kelebihan yang boleh dikecapi dari “special relationship” ini tidak terhad kepada perhubungan dua hala kita sahaja. Dengan persamaan tradisi, sejarah, budaya, bahasa, agama dan rumpun bangsa, persefahaman Malaysia-Indonesia yang baik juga boleh menjadi asas kepada ASEAN yang lebih bersatu. Perlu ditegaskan bahawa kedua-dua negara kita kini melangkah masuk ke era globalisasi yang menuntut lebih kerjasama serantau bagi menjana kebaikan bersama, terutamanya dari sudut kemajuan ekonomi. Untuk itu, peranan ASEAN yang lebih mantap amat diperlukan, dan hubungan Malaysia-Indonesia mampu merangka ASEAN menjadi badan serantau yang berdaya saing dan lebih berintegrasi dan bukan semata-mata perkumpulan yang longgar.

Dalam konteks kontroversi-kontroversi kebelakangan ini - baik dari segi isu Tenaga Kerja Indonesia (TKI), Ambalat, Manohara mahupun tarian Pendet - hubungan unik ini perlu diberi perhatian sewajarnya agar penularan nasionalisme sempit dan agresif di kalangan rakyat kedua-dua negara dapat dibendung.

Apa tidaknya, semangat nasionalisme yang agresif dan negatif dari sebahagian warga dan pemimpin Indonesia ini terserlah melalui pelbagai kenyataan dan perbuatan yang hanya mengundang rasa marah dan benci dari kedua-dua belah pihak Malaysia dan Indonesia, semuanya akibat satu salah faham mengenai tarian pendet dipaparkan dalam iklan Discovery Channel seakan berasal dari Malaysia, walhal pihak Malaysia tidak terbabit pun dalam penghasilan iklan tersebut.

Tambahan lagi, soal pencurian budaya ini tidak wajar dilemparkan sewenang-wenangnya oleh pihak Indonesia, terutamanya apabila kedua-dua negara berkongsi tamadun dan warisan, serta banyak mempengaruhi antara satu sama lain semenjak berkurun-kurun dahulu. Saya tidak mempersoalkan hakikat tarian Pendet itu berasal dari Bali, tetapi mana mungkin kita dapat melabel sesuatu aspek budaya itu sebagai 100% Indonesia, atau 100% Malaysia, sedangkan perkongsian budaya itu sudah lama berlaku sebelum lahirnya konsep negara-bangsa atau wujudnya persempadanan ‘negara’ kesan kolonialisme? Maka mereka yang begitu gah menuduh Malaysia mengamalkan ‘pencurian budaya’ inilah sebenarnya yang perlu mengkaji semula sejarah dan warisan rantau ini.

Sesudahnya Kerajaan Malaysia menjelaskan kesilapan yang tidak sengaja atas isu pendet ini demi meredakan keadaan, perasaan marah dan benci dari dalam Indonesia dilihat masih berkobar-kobar. Meskipun Malaysia sanggup berkompromi dengan harapan menutup episod ini, “hackers” Indonesia bertindak menggodam laman-laman web Malaysia pada ulangtahun kemerdekaan ke-52 Malaysia, kutukan dan cacian terhadap Malaysia sebagai ‘negara pencuri’ diteruskan di forum dan platform maya, manakala demonstrasi agresif dianjurkan oleh para mahasiswa Indonesia di Kedutaan Malaysia sehinggakan kehadiran pelajar Malaysia di kampus Universitas Gadjah Mada di Yogyakarta pun membawa kepada protes yang sudah berbaur diskriminasi.

Rakyat Indonesia perlu memahami bahawa kami di Malaysia juga sensitif dan marah apabila melihat dan mendengar negara kami ini dilabel dengan deskripsi negatif dan kata-kata kesat, disamping bendera kebanggaan kami dibakar tanpa sedikit pun rasa hormat. Kami di Malaysia pun sedar bahawa banyak yang perlu dipelajari dan difahami mengenai sensitiviti orang Indonesia, tetapi di pihak Indonesia pula saya berharap warganya tidak terus bertindak mengujikesabaran rakyat Malaysia kerana ini jua akan mengundang kembali semangat nasionalisme yang sama agresif dari pihak kami.

Perlu ditegaskan di sini bahawa saya memahami tindakan-tindakan anti-Malaysia melampau yang dilaporkan ini tidak menggambarkan perasaan seluruh warga Indonesia. Namun, jangan kerana sikap dan sentimen sebahagian dari warga Indonesia, orang Malaysia di sini mula menanam benih-benih kebencian terhadap Indonesia sekaligus mengorbankan tradisi hubungan istimewa antara Malaysia dan Indonesia dan merugikan sesama kita. Yang paling nyata, kebergantungan ekonomi antara Malaysia dan Indonesia masih cukup penting. Peluang pekerjaan dan perniagaan yang menjadi pemangkin pertumbuhan aktiviti ekonomi bagi Malaysia dan Indonesia sendiri sudah cukup menunjukkan betapa kita saling memerlukan – Malaysia tidak mungkin mencapai potensinyatanpa kerjasama dari Indonesia, dan begitu juga sebaliknya.

Maka, saya berharap bahawa suara rasional dari kedua-dua belah pihak boleh memainkan peranan untuk memastikan kontroversi ini tidak berlanjutan sehingga mendatangkan perkara atau insiden yang lebih buruk. Saya menyeru kepada pimpinan muda di Indonesia, baik dari parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) agar bangkit bersuara untuk menghentikan sengketa ini, demi kebaikan Malaysia, Indonesia dan rantau ASEAN amnya.

1 comments:

Anonymous,  September 25, 2009 at 11:36 AM  

its true apa yg khairy ckp 2.akal pendek dek kerana pendet.kalau nk ikutkan indon berlambak kt malaysia.tp malaysia wokey je.40% penjenayah terdiri daripada rakyat indonesia.tolonglah.bertimbang rasa sikit.jangan ikut sedap rasa je.cuba malaysia boikot indonesia!terkontang-kanting carik sesuap nasi.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP