Semangat Harun Idris dalam diri KJ...
Datuk Seri Najib Razak yang sudah pun secara sahnya menjadi pemimpin No.1 parti apabila lawannya Tengku Razaleigh Hamzah gagal mendapat cukup pencalonan daripada semua bahagian tahun lalu, sudah pasti inginkan satu pasukan baru yang mampu memperkukuhkan Umno, mengembalikan kedudukannya di mata rakyat Malaysia amnya dan berupaya 'memujuk' semula ahli parti akibat kekalahan besarnya pada pilihanraya umum ke-12 awal tahun lalu.
bekas menteri besar, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib apabila naib presiden dan juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ditegah bertanding selepas Lembaga Disiplin Umno mendapatinya 'bersalah' atas tuduhan politik wang baru-baru ini.
Turut menarik perhatian ialah pertandingan dua penjuru bagi kerusi Ketua Wanita yang bakal menemukan penyandang, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Begitupun, fokus tulisan saya kali ini lebih menjurus kepada pemilihan Ketua Pemuda Umno yang ditandingi naib ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Khir Toyo.
Biarpun dikenakan 'amaran' oleh Lembaga Disiplin kerana 'kesalahan ringan' yang dilakukannya, Khairy atau KJ tetap ingin meneruskan perjuangannya.
Dalam 'posting' kali ini, saya dan rakan-rakan yang lain secara terang-terang ingin menyatakan sokongan terbuka terhadap KJ, tokoh politik muda yang dianggap ramai sebagai 'political wallaby' kerana kehadirannya secara mendadak di dalam Umno.
Menjelang perhimpunan agung kali ini juga, beliau adalah calon yang paling banyak dihentam, difitnah dan dimaki-hamun dengan kata-kata kesat oleh ahli Umno, yang hampir semuanya orang Melayu.
Saya dan ramai rakan lain yang pernah menjadi wartawan, pegawai tinggi kerajaan dan ada antaranya yang pernah berkhidmat pada zaman pentadbiran Tun Razak, mempunyai 'argument' dan pendirian sendiri terhadap anak muda ini.
Pertama, kami melihat ada semangat Datuk Seri Harun Idris pada pemuda ini. Harun ialah bekas Menteri Besar Selangor yang paling lama memerintah (1964-1976) dan pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Malaysia.
Pemuda di bawah Harun adalah kumpulan sayap Umno yang paling kuat. Biarpun menjadikan kerajaan Tun Razak ketika itu sebagai 'punching bagnya' kerana pendekatan 'kerajaan dalam kerajaan' yang dibawanya, Harun tetap berani dan teguh mempertahankan bahawa ahli Umno perlu berani memperjuangkan hak parti di tanahair sendiri dan harus berani mencuba sesuatu yang baru jika ingin memajukan parti, bangsa, agama dan negara.
Keberanian Harun bagaimanapun dilihat sebagai suatu ancaman kepada pentadbiran ketika itu. Oleh kerana itulah dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut dan dijatuhkan hukuman penjara. Dari dalam pun, beliau terus memberi semangat kepada Pemuda agar ahlinya tidak lari daripada asas perjuangan. Malangnya, hari-hari terakhir beliau dilayan oleh parti sebagai 'Quran buruk'.
Semangat inilah yang kami lihat ada pada diri KJ. Cuma orang Melayu sendiri tidak dapat menerimanya sebagai ketua Pemuda kerana faktor umurnya yang masih muda (33 tahun) serta fitnah yang mereka sendiri tabur tehadap anak muda ini. Mereka amat membandingkan KJ dengan Mukhriz (43) dan Khir (45) tanpa ingin mengerti apakah maknanya peribahasa nenek-moyang mereka 'kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa'.
Memang inilah sifat buruk orang Melayu sendiri dari dahulu hingga sekarang. Fitnah dan umpat-keji pada mereka sudah sebati dalam darah daging sendiri hingga sanggup mengetepikan asas agama Islam bahawa fitnah itu lebih tajam dari mata pedang. Hanya kerana mendengarnya dari mulut orang lain, mereka merasakan adalah menjadi tanggungjawab untuk menghebahkannya pula kepada orang lain agar ia disensasikan.
Beginilah nasib KJ. Hanya kerana dia menjadi menantu Pak Lah, dia difitnah dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan. Memang KJ mempunyai rakan kawan yang sebahagiannya menjadi musuhnya sendiri. Ini berlaku dalam kes dia dikenakan amaran oleh Lembaga Disiplin Umno minggu lalu kerana tuduhan politik wang.
Tidak ramai yang tahu bahawa tuduhan yang dikaitkan di Sabah itu berlaku (bold TIGA BULAN SEBELUM KJ MENAWARKAN DIRI UNTUK BERTANDING JAWATAN KETUA PEMUDA UMNO'.) Jadi, apakah modul yang digunapakai oleh Lembaga Disiplin dalam menjalankan siasatannya ke atas KJ, Ali Rustam dan orang lain yang didapati bersalah?
Dalam 'posting' saya sebelum ini, saya sudah menyebut dengan jelas kenapa saya mempertikaikan siasatan itu dan asas apa yang disandarkan untuk mentakrifkan 'politik wang, rasuah dan sogokan' dalam parti. Umno ialah parti Melayu. Semua orang Melayu adalah penganut Islam. Dalam Islam sendiri pun, kita bukan saja dituntut menyiasat segala tuduhan malah menyiasat orang yang membuat tuduhan itu dari segi kredibilitinya. Si pengadu mestilah orang yang boleh dipercayai, kuat beribadat, tidak pernah berbohong dan ikhlas.
Orang yang membuat aduan terhadap KJ itu pula ialah orang yang sama melaungkan slogan 'HIDUP KJ' pada banyak majlis yang dihadiri anak muda ini. Hanya kerana dia gagal memperolehi apa yang dipintanya daripada KJ, maka dia menjadikan KJ sebagai mangsa balas dendamnya. Ramai tidak mengetahui akan perkara sebenar hal ini.
Apa yang penting bagi orang Melayu dalam Umno ialah memperbesar-besarkan fitnah terhadap KJ dan kalau boleh membunuh karier politiknya. Orang Melayu sendiri tahu bahawa fitnah tanpa bukti itu adalah antara dosa besar dalam Islam. Malangnya, orang Melayu hari ini cuma mengharamkan daging bagi sedangkan ramai antaranya menghalalkan riba, zina, sumbang mahram, arak, judi, makan harta anak yatim dan sebagainya.
Inilah yang merosakkan parti dan keutuhan Melayu sejak akhir-akhir ini. Pegangan yang kuat kepada budaya fitnah-memfitnah inilah yang akan menjahanamkan Umno jika pemimpin berwibawa tidak diberi peluang memimpin parti dan orang Melayu pada masa akan datang.
Melayu hari ini juga sudah tidak lagi dapat menerima takdir bahawa KJ memang akan bertemu jodoh dengan anak Pak Lah dan akan menjadi Ahli Parlimen Rembau serta naib ketua Pemuda Umno. Takdir ini jugalah yang meletakkan KJ di dalam dilema selama ini. Masakan tidak, oleh kerana ramai yang meminta bantuannya untuk mendapatkan surat sokongan Pak Lah untuk projek itu dan ini, dia merasakan terpaksa melayannya.
Bagi Pak Lah pula, beliau sentiasa tidak keberatan memberikan surat sokongan bila perlu walaupun beliau sendiri tidak ada kuasa mutlak untuk menganugerahkan sesuatu projek kepada sesiapa pun.
Semua surat biasanya dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan atau Menteri Kewangan Kedua untuk dipertimbang dan diluluskan. Seperti KJ, Pak Lah juga mempunyai ramai kawan. Apabila ada rakannya yang benar-benar layak memperolehi sesuatu kontrak, mereka difitnah lagi sedangkan syarikat terbabit benar-benar memenuhi semua syarat yang disebut di dalam kontrak.
Janganlah kita menafikan kenyataan bahawa KJ memang sudah memimpin Pemuda dengan baik. Malah, Hishamuddin sendiri pernah berkata bahawa KJ memang layak dan mampu mengambil alih tugas beliau suatu hari nanti. Kerana itulah Hisham mengosongkan jawatan ini untuk bertanding salah satu daripada tiga kerusi naib presiden.
Cuma apabila Mukhriz dan Khir turut menyatakan hasrat untuk merebut kerusi yang sama, ia diterima ramai. Malah, Pak Lah sendiri tidak campur tangan agar jangan ada pertandingan, seperti mana yang dituduh oleh ramai orang, termasuk Tun Dr Mahathir sendiri bahawa KJ mendapat laluan percuma kerusi naib ketua pada 2004 kerana faktor Pak Lah, kononnya Pak Lah sendiri menelefon Hisham agar jangan ada pertandingan untuk jawatan itu. Tuduhan ini masih belum dapat disahkan hingga ke hari ini.
Jadi, siapakah paling layak selain KJ? Untuk mengatakan bahawa Dr Mahathir sendiri tidak campur tangan untuk menaikkan anaknya sebagai ketua Pemuda, tidak dapat diterima sama sekali. Bagi Khir pula, beliau adalah antara tokoh yang turut mendapat pelbagai fitnah dan tohmahan sedangkan siasatan ke atasnya dibuat sambil lewa. Jika faktor usia dijadikan sandaran, maka lebih baiklah perwakilan Umno tidak memilih calon yang sudah tua atau melebihi 60 tahun untuk apa jua jawatan dalam parti.
Had persaraan kakitangan kerajaan juga hanya setakat 58 tahun!
Ramai bertanya, benarkah semua calon yang bertanding kali ini tidak menggunakan walaupun 5 sen pun untuk berkempen.
Jika begitu, siapa yang membayar kos bil hotel, makan-minum, elaun, tambang dan sebagainya bagi setiap calon ke seluruh Malaysia (kecuali Sarawak)? Duit Umno Negeri? Duit tauke yang rapat dengan calon? Atau wang bahagian?
Orang Melayu sebenarnya sudah lama matang tetapi kematangan dan kewarasan ini tidak digunakan sebaik mungkin, kecuali dalam soal budaya buruk memfitnah dan mencerca orang lain ini.
KJ sudah membuktikan kematangannya pada usia muda. Ini memang sudah takdirnya. Jika benar ada tuduhan bahawa dia dan Reezal Marican menjaga 'lubuk emas' kerajaan serta pembabitannya dalam pelbagai kontrak serta syarikat besar, orang yang menuduhnya perlu berani mengemukakan bukti.
Malaysia mempunyai sistem perundangan yang cukup baik untuk menyiasat segala tuduhan yang dilemparkan terhadap sesiapa. Malah, mereka yang selama ini menuduh KJ memiliki simpan berbilion-bilion ringgit di dalam bank luar negara juga patut mengemukakan bukti.
Janganlah kita menjadi satu bangsa yang suka sangat 'membaling batu, sembunyi tangan'! Kalau kita pandai menuduh, maka kita perlu ada bukti yang kukuh. Janganlah kerana kesilapan kecil yang tidak disengajakan dan tidak disedari, kita sudah menghukum seseorang itu sebagai tidak layak menjadi ketua dan ahli politik. Jika begitulah rumusannya, kenapa kita perlu memberi pencalonan yang cukup kepada orang yang pernah dipecat, digantung dan disuruh meletakkan jawatan dalam parti untuk bertanding kali ini?
Begitu jugalah tradisi memilih pemimpin. Perwakilan harus berfikir dengan adil bahawa jika tradisi Umno hanya memberi laluan kepada anak bekas Perdana Menteri, bekas Presiden, bekas setiausaha agung, bekas menteri Kabinet dan anak bekas pemimpin kanan parti untuk diangkat sebagai ketua, orang lain akan berasa kehilangan peluang untuk sama-sama naik. Masakan tidak, jika Hishamuddin ditakdirkan menjadi Perdana Menteri suatu hari ini, nampaknya hanya orang Kedah, Pahang, Johor dan Pulau Pinang saja akan menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Di manakah Najib dan Hisham tanpa Allahyarham Tun Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn? Di manakah politik Mukhriz hari ini kerana ayahnya sendiri tidak menggalakkan anak-anak beliau daripada bergerak cergas dalam parti ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno? Memang Mukhriz tidak ada kekurangan tetapi politiknya sendiri sama mudanya dengan KJ. Bezanya, KJ sudah membuktikan kemampuan sejak lima tahun lalu.
Esok ialah hari pengundian. Perwakilan perlu menilai seseorang calon dari setiap aspek dan bukan dari sudut fitnah dan tohmah yang ada. KJ memang muda tetapi Datuk Harun juga menjadi Ketua Pemuda ketika usianya juga masih muda. Harun juga tidak disangka-sangka akan mampu membimbing Pemuda dan menjadikan sayap Pemuda sebagai yang paling berwibawa pada eranya.
Melayu perlu berani mencuba. Biar semuda mana pun, seseorang calon itu berhak mendapat sokongan jika dia sudah membuktikan kewibawaannya. Datuk Najib sendiri pernah menjadi Ahli Parlimen yang paling muda suatu ketika dahulu.
Janganlah kerana sikap enggan mencuba ini, kita kehilangan calon berkemampuan untuk memimpin parti. Untuk Melayu bangkit dan maju, kita perlukan ramai pemimpin muda seperti KJ, Mukhriz dan Khir. KJ boleh memimpin Pemuda manakala Mukhriz dan Khir boleh digandingkan dalam satu pasukan yang amat bermakna dan mampu bergerak seiring untuk satu maksud - iaitu menyatupadukan orang Melayu agar menjadi bangsa yang berani, berjaya, berdaya saing dan disegani suatu hari nanti.
Umno bukan saja untuk Melayu tetapi untuk semua rakyat Malaysia.
Pemimpin yang baik akan berusaha berjuang untuk agama, bangsa dan negara dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia. Janganlah kita menjadi bangsa yang lemah hanya kerana kita enggan mengiktiraf kemampuan seseorang.
Amat malang jika kita menidakkan hak seseorang calon berwibawa untuk memimpin parti hanya kerana budaya buruk yang kita ada. Amat malang lagi jika kita menafikan hak Umno untuk dipimpin oleh orang seperti ini. Memang Melayu takkan hilang di dunia, tetapi jika Melayu hilang mutu kepemimpinannya, maka akan hilanglah kuasa Melayu untuk berjuang dan mempertahankan segala hak yang ada.
SELAMAT BERSIDANG...
By : JUST READ
0 comments:
Post a Comment