Tuesday, December 29, 2009

Spekulasi jadi timbalan menteri: Khairy anggap khabar angin

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan laporan yang mengatakan beliau mungkin dilantik ke jawatan timbalan menteri dalam perubahan kecil beberapa kementerian tidak lama lagi sebagai khabar angin.

Menurutnya, laporan yang terbit pada peringkat ini masih belum kukuh dan tidak perlu diberikan sebarang ulasan lagi.

''Itu khabar angin semata-mata, saya tidak mahu komen spekulasi,'' katanya selepas menerima kunjungan kepimpinan muda parti Golkar di pejabatnya di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Portal berita, Malaysia-instinct.com baru-baru ini memetik sumber yang mendakwa kononnya Khairy akan dilantik timbalan menteri jika peletakan jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib diterima.

Menurut portal itu, pelantikan itu akan dibuat sebagai menghormati jawatan Ketua Pemuda dalam UMNO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini memberitahu, tiada rombakan Kabinet akan dilakukan dalam jangka masa terdekat melainkan beberapa perubahan melibatkan timbalan menteri.

Beliau juga mengesahkan bahawa Sulaiman telah menyampaikan hasrat untuk berundur sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Ditanya mengenai masalah dalaman MCA yang masih berterusan, Khairy berkata, Pemuda Barisan Nasional (BN) berharap ia dapat diselesaikan segera.

''BN adalah seperti kawasan perumahan besar, umpama rumah dalam satu kawasan, kalau satu rumah terbakar, ada kemungkinan rumah-rumah lain pun akan kena api juga,'' katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda BN berkata, pendirian pihaknya adalah jelas iaitu tidak mencampuri urusan dalaman MCA tetapi berharap isu itu tidak berlanjutan lebih lama lagi kerana ia mengikis sokongan masyarakat Cina terhadap MCA.

Katanya, apa sahaja pendekatan yang diambil MCA untuk menyelesaikan isu dalamannya adalah hak mutlak parti itu.

Mengulas kunjungan golongan pemimpin muda Golkar, beliau berkata, pertemuan seumpama itu amat penting kerana ia dapat merapatkan hubungan kedua-dua negara.

Kata beliau, ada pihak yang mungkin kurang senang dengan kedudukan Malaysia dan Indonesia yang mampu muncul sebagai kuasa ekonomi yang kuat di rantau ini sehingga berusaha mewujudkan permusuhan antara kedua-dua negara.

''Saya rasa dan percaya bahawa kedua-dua negara memahami bahawa ada pihak yang mencemburui jika Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang baik.

''Kalau dilihat daripada segi kuasa ekonomi yang ada potensi di rantau Asia Tenggara ialah Indonesia dan Malaysia. Ada pihak yang mungkin tidak senang tetapi kita jangan tumpu kepada perasaan syak tersebut tetapi memberi tumpuan terhadap aspek yang positif,'' katanya.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP