Tuesday, December 29, 2009

Penjelasan Kor Ming tidak cukup

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO tidak boleh menerima penjelasan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming mengenai isu peruntukan pembinaan masjid dan rumah ibadat bukan Islam kerana isu pokok dalam hal itu tetap sama.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, jika penjelasan itu diamati, jelas bahawa Kor Ming sendiri mengakui beliau telah membuat perbandingan antara peruntukan membina dan menyelenggara 611 buah masjid dengan peruntukan RM9 juta untuk rumah ibadat bukan Islam.

"Pergerakan Pemuda UMNO merasa penjelasan yang dibuat tidak boleh diterima kerana dia tidak nafi kenyataan awal iaitu pokoknya ialah soal perbandingan pembinaan masjid dengan tempat-tempat ibadat yang lain.

"Kami memahami sekiranya ada pihak yang mahu memperjuangkan peruntukan lebih bagi tempat-tempat ibadat agama lain, itu tidak ada masalah, jika ada parti politik atau ahli politik hendak minta lebih untuk kuil, gereja dan lain-lain, kita tidak ada halangan.

"Namun, bila buat perbandingan, maka ini sudah jadi isu sensitif, memperlihatkan DAP tidak menunjukkan sensitiviti agama di Malaysia.

"Ini bukan kali pertama, berulang kali dibuat DAP, saya kira majoriti orang Islam terutama di Malaysia rasa amat tersinggung dengan perbandingan yang dibuat Nga Kor Ming," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan kepimpinan muda parti Golkar di pejabatnya di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Kor Ming dalam satu kenyataan bertulis yang diedarkan di Parlimen beberapa hari lalu menyatakan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM748.26 juta untuk pembinaan masjid dari 2000 hingga 2008 tetapi hanya RM9 juta diagihkan untuk tujuan agama bukan Islam.
Beliau juga melahirkan rasa kesal rakyat bukan Islam dianaktirikan.

Beliau menyatakan agar agihan lebih adil disalurkan kepada masyarakat bukan Islam kerana prinsip pertama Rukun Negara adalah 'Kepercayaan kepada Tuhan'.

Kenyataan Kor Ming dijawab seorang Pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari bahawa Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 12 (2) dan Perkara 3 sebenarnya memberikan kuasa kepada Kerajaan Pusat untuk tidak menyalurkan satu sen pun kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam di negara ini.

Namun, menurut Abdul Aziz, kerajaan tetap bertindak pemurah dan menunjukkan sifat ihsan apabila tetap memperuntukkan RM9 juta untuk membantu rumah-rumah ibadat bukan Islam dalam tempoh 2000 hingga 2008.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam juga kurang senang dengan sikap Kor Ming membandingkan peruntukan untuk Islam dengan bukan Islam.
Kor Ming pula menuduh beberapa media telah memutar-belitkan kenyataan bertulisnya itu.

Tambah Khairy, pihaknya juga kesal kerana setelah beberapa hari kenyataan itu dibuat, kepimpinan tertinggi Pas masih berdiam diri dan belum menyatakan pendirian sebenar mereka berhubung isu itu.

"Saya begitu rasa sedih apabila tidak ada apa-apa komen daripada kepimpinan tertinggi Pas, sekali lagi ini memperlihatkan prinsip dan asas perjuangan dikorbankan untuk kepentingan politik jangka masa pendek," katanya.

Jelas beliau, kenyataan DAP itu mencerminkan ia tidak menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan dan sikap seperti itu akan hanya membawa kepada budaya mengguris hati antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Jelasnya, andai tindakan seperti yang dibuat Kor Ming diteruskan, maka akan ada pihak-pihak yang cuba membandingkan apa yang diterima masyarakat bukan Islam pula di negara ini.

"Sudahlah memijak gambar, sekarang buat kenyataan mengguris hati, tidak mencerminkan budaya ketimuran kita yang dikongsi semua kaum di negara ini, kita mesti tolak budaya yang dibawa DAP," katanya.

Beliau juga menyaran pihak berkuasa agar bertindak atas beberapa laporan polis yang dibuat sebelum ini mengenai isu berkenaan.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP