Perhimpunan Haram Anti ISA : Pemuda Bidas Tindakan Pembangkang
Oleh S.A Najmuddin
Kuala Lumpur – Pemuda UMNO membidas tindakan pemimpin pembangkang menyertai perhimpunan haram anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di sekitar ibu negara Sabtu lalu yang jelas bukan sahaja menganggu dan menakutkan orang ramai malah menambah kesulitan tugas polis untuk memelihara keamanan negara.
Pada perhimpunan haram Sabtu lalu, lebih kurang 5000 penyokong Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) termasuk pemimpin pembangkang menyertai satu demonstrasi menentang ISA.
Demonstrasi yang diadakan kawasan tumpuan awam itu bukan sahaja menganggu orang ramai malah telah menyebabkan banyak kedai ditutup ekoran kekecohan yang berlaku.
Keadaan yang tidak terkawal itu selepas tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa telah memaksa polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan.
Mengulas perkara tersebut, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim berkata kejadian itu menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang jelas membelakangi usaha memupuk kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.
Malah tegas beliau ia secara terang-terangan menganggu tugas polis yang sepatutnya menumpukan segenap tenaga untuk membanteras jenayah.
"Sepatutnya hak majoriti rakyat dihormati. Dan polis juga perlu disokong untuk memelihara keselamatan negara dan tidak dibebankan dengan menjaga perilaku yang sengaja ditimbulkan pemimpin pembangkang dengan membuat huru hara.
"Lainlah jika mereka itu sememangnya adalah penjenayah, tambahan pula banyak pembaziran berlaku sama ada tenaga, masa, wang ringgit dan kerosakan harta benda", katanya.
Justeru beliau menyeru rakyat untuk menolak tindakan serta sikap buruk ini demi kesejahteraan bersama dan masa depan negara khususnya genarasi akan datang.
Sumber: Laman Web Pemuda UMNO Malaysia
0 comments:
Post a Comment