Tuesday, August 11, 2009

Jangan mudah label orang rasis

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mempersoalkan sikap segelintir pihak yang terlalu mudah melabelkan sesuatu kenyataan sebagai rasis sedangkan ia luahan perasaan kaum tertentu.

Baginya, adalah tidak adil sama sekali untuk melemparkan tuduhan sedemikian hanya kerana membangkitkan perkara-perkara yang menyentuh tentang soal nasib, masa depan dan kepentingan Melayu.

"Saya tak akan dakwa ia rasis kalau MCA atau Gerakan bangkitkan isu libatkan kepentingan kaum mereka seperti sekolah Cina dan bahasa Cina.

"Jadi sama juga jika kalau kita bangkitkan soal nasib orang Melayu, masa depan orang Melayu, kepentingan orang Melayu maka tidak adil nak kata itu rasis," katanya.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Apabila tanya sama ada Utusan Malaysia dilihat menjurus ke arah rasis dalam komentarnya, Khairy berkata, semua pihak tidak sepatutnya menjadikan akhbar itu sebagai sasaran dengan menuduh ia rasis, tidak betul dan sebagainya.

"Kita tak boleh senang-senang sasarkan Utusan saja. Jangan kita hanya salahkan satu pihak. Ini (ingatan) untuk semua kita," tegasnya.

Pada masa sama, Khairy mengakui wujud trend untuk melabelkan seseorang dengan pelbagai tuduhan termasuk rasis apabila pihak yang mendengar kritikan itu tidak dapat menerima kenyataan dengan terbuka.

"Macam saya bangkitkan tindakan sesetengah pemimpin DAP yang keluarkan kenyataan mengguris perasan orang Islam, saya pula dituduh pemimpin yang cuba memecah belah rakyat Malaysia.

"Atau apabila saya pertahankan (sesuatu isu), dia kata saya pula rasis dan sebagainya. Saya rasa itu tak adil, kita cuma pertahankan, tapi DAP serang orang lain, kita tak serang.

"Jangan kita terlalu cepat melabelkan orang macam Jeff Ooi (Ahli Parlimen DAP), dia kata Islam ekstremis. Kita tak nak macam itu. Dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN kita ulangi formula memperkuat BN ialah di bawah 1Malaysia, itu yang terbaik," ujarnya.

Ditanya mengenai persiapan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Khairy berkata, Pemuda BN pastinya akan memberi kerjasama terbaik kepada parti.

Katanya, dengan pemilihan calon yang mampu disenangi semua golongan termasuk orang muda di DUN itu, BN pasti menunjukkan prestasi terbaik.

"Mesyuarat Dewan Tertinggi BN juga meminta kita turun dengan cepat ke Permatang Pasir dan kenal pasti seberapa segera pengundi muda seperti yang kita dilakukan di DUN Manek Urai lalu," katanya.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP