KJ - Tekun Diminta Kurangkan Kerenah Dalam Pemberian Pinjaman
Ketuanya Khairy Jamaludin berkata, berdasarkan tujuan penubuhannya iaitu untuk memberi pinjaman, Tekun seharusnya lebih efisien dalam melaksanakan tugas itu tanpa terlalu banyak kerenah birokrasi kerana sekiranya gagal berbuat demikian, hasrat kerajaan untuk merangsang ekonomi di peringkat akar umbi akan terbantut.
"Kita dapat aduan yang mengatakan wang pinjaman telah diluluskan tetapi malangnya wang tersebut tidak diserahkan kepada peminjam serta terdapat juga kes di mana mereka telah menerima cek tetapi cek itu tidak boleh ditunaikan.
"Bila saya minta pengadu ini merujuk kepada pegawai-pegawai Tekun jawapan yang kita dapat ialah Tekun tidak mempunyai dana secukupnya atau peruntukan telah tiada.
"Sebab itu, kita harap masalah Tekun ini dapat diselesaikan dengan cepat kerana jika tidak, kita bimbang usaha untuk merangsang ekonomi di peringkat akar umbi tidak dapat dijayakan sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di sini.
Justeru, katanya, Pemuda meminta kerajaan supaya melihat perkara ini dengan serius berhubung keperluan menyuntik dana tambahan kepada Tekun untuk tahun ini kerana jika dilihat daripada peruntukan tahun ini penurunannya begitu mendadak iaitu hanya RM50 juta berbanding RM250 juta sebelumnya.
Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan juga disaran mengambil beberapa langkah, antaranya meningkatkan lagi kadar bayaran balik supaya dana tersebut dapat dijadikan dana pusingan.
"Kita dimaklumkan memang wujud masalah dari segi bayaran semula...jadi jika itu masalahnya, mungkin sistem awal itu ada kelemahan," katanya.
Menurutnya, sementara mengkaji prosedur bayaran balik dan menyelesaikan masalah birokrasi untuk meluluskan pinjaman, kerajaan juga disaran supaya menambah peruntukan untuk Tekun pada belanjawan akan datang.
"Ini adalah waktu kritikal untuk memulihkan ekonomi...sebab kalau nak tunggu dana datang dari pembayaran semula pinjaman, masalah ini tidak akan selesai kerana matlamat kita adalah untuk memastikan peminjam baru dapat menerima pinjaman daripada Tekun," katanya.
Berhubung Pusat Aduan Komuniti yang terletak di Unit 2-3, Plaza RAH, 111 Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, di sini, Khairy berkata, pusat itu akan dijadikan medium pemudahcara untuk rakyat datang dan berkongsi masalah serta berperanan menyelesaikan masalah yang dilaporkan.
"Kita tak nak pusat ini hanya jadi pusat pos semata-mata...bila orang datang buat aduan, kita terima dan kemudiannya bawa aduan itu ke kementerian dan jabatan berkenaan bagi tujuan penyelesaian.
"Saya mahu pusat ini sendiri dapat bantu selesaikan masalah, bukannya hanya jadi perantara untuk diserahkan kepada pihak tertentu. Saya mahu mereka sedaya upaya membantu pengadu dengan merentasi segala halangan birokrasi yang mungkin menghalang kes itu daripada diselesaikan," katanya.
Khairy berkata, pusat yang akan beroperasi secara total dalam masa dua minggu lagi itu akan turut menyediakan unit aduan guaman bagi membantu menyelesaikan kes-kes yang melibatkan perundangan.
Beliau berkata, jika dahulu Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno hanya beroperasi di ibu pejabat Pemuda Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sahaja, tetapi kali ini, ia dibawa ke luar supaya lebih senang untuk sesiapa sahaja datang meminta bantuan dan menyatakan aduan.
Pusat itu akan menjadi 'premis harapan' kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik dan ia dilihat sejajar dengan konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, katanya.
0 comments:
Post a Comment