Jangan buat spekulasi saya tidak dilantik - KJ
RAWANG 10 April - Pergerakan Pemuda UMNO di semua peringkat diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta sangkaan buruk ekoran langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyenaraikan Khairy Jamaluddin menganggotai Kabinet.
Sebaliknya Ketua pergerakan itu mahu semua pihak menganggap langkah tersebut sebagai satu hikmah terutama dalam konteks menguatkan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Tegas Khairy, sebagai pemimpin nombor satu parti, Najib mempunyai visi untuk menarik semula sokongan golongan muda kepada parti dan untuk itu Pemuda dipertanggungjawabkan melaksanakan tugas berkenaan.
"Saya menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan percaya tanpa penglibatan saya dalam Kabinet ia akan memberi lebih peluang kepada saya untuk bekerja lebih kuat bagi memantapkan semula parti,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Program Exco Turun Padang dan Perasmian Pasukan Gerakan Khas Pemuda Selayang di sini malam ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Selayang, Abdul Shukor Idrus dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Sohaimi Shahadan.
Dalam pada itu, Khairy dalam sidang akhbar selepas itu berkata, Pemuda akan menukar strategi menyuarakan masalah rakyat dengan lebih mendampingi mereka.
"Sudah tiba masanya Pemuda berbuat demikian kerana kami mahu berkhidmat dan membela rakyat khusus golongan yang memerlukan bantuan di semua tempat termasuk bandar dan luar bandar," tegasnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana memilih Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan selain melantik bekas exco Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Menurut Khairy, pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan kepada Pemuda yang selama ini tidak pernah ketinggalan membantu kerajaan membangunkan negara.
2 comments:
Peranan yang dimainkan oleh para blogger dalam zaman serba It ini amat penting dan amat besar nilainya. Tidak boleh dinafikan lagi komitmen yang diberikan oleh bloggers dalam usaha menyampaikan wadah perjuangan UMNO dan membetulkan persepsi rakyat serta masyarakat terutama di kalangan pengguna internet yang mana rata-ratanya datang dari golongan muda. Pembangkang yakni Pakatan Rakyat telah membuktikan betapa saluran alternatif ini telah berjaya menarik pengaruh pengundi dan menjadi satu kaedah berkempen yang amat berkesan dan terus kepada rakyat.
UMNO melalui barisan kepimpinan Pemuda yang baru dilantik harus sedar betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh para bloggers ini. Bloggers juga boleh dianggap sebagai agen penerangan dalam usaha UMNO menyampaikan dan menerangkan dasar serta perancangan yang akan dijalankan oleh kerajaan. Sehubungan itu, bermula dengan Pemuda dan belia, beberapa langkah penting perlu dirancang dan diambil tindakan bagi membentuk barisan bloggers pro kerajaan yang lebih mantap dan berilmu.
Pertama, di bawah pemantauan kepimpinan Pemuda UMNO, perlu diwujudkan sebuah komuniti bloggers yang pro UMNO dari kalangan Pemuda menjadi lebih sistematik dan tersusun. Mungkin perlu ada jawatankuasa khusus dari kepimpinan Pemuda yang menjaga barisan bloggers ini. YB Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda UMNO boleh dilantik menjadi penaung bagi komuniti bloggers ini. Tidak semua para blogger menjawat sebarang jawatan dalam Pemuda samada peringkat cawangan atau bahagian. Segelintirnya hanyalah ahli biasa yang tidak berpeluang untuk dipilih untuk apa-apa jawatan namun mempunyai semangat untuk menyampaikan wadah perjuangan melalui penulisan blog. Sekurang-kurangnya dengan wujudnya komuniti ini maka golongan bloggers ini akan rasa dihargai dan berpeluang untuk lebih rapat dengan barisan kepimpinan tertinggi.
Kedua, barisan kepimpinan Pemuda UMNO mungkin perlu menganjurkan atau mengadakan aktiviti permukiman, kem bina semangat dan jati diri atau sekurang-kurangnya seminar kepada barisan bloggers ini. Ia bertujuan untuk membina semula dan memupuk rasa sayang dan cinta kepada UMNO, parti pusaka orang Melayu. Aktiviti ini boleh diadakan bersama-sama kepimpinan Pemuda peringkat negeri dan peringkat tertinggi. Ini akan memberi ruang kepada bloggers untuk mengenali pemimpin mereka dan sekurang-kurangnya ia akan dapat merapatkan tali silaturrahim di kalangan kepimpinan Pemuda dan bloggers.
Ketiga, kepimpinan tertinggi Pemuda juga perlu sentiasa mengadakan aktiviti perjumpaan di antara kepimpinan dan bloggers. Melalui perjumpaan ini maka ia boleh dijadikan tempat untuk bertukar pendapat, berbincang berkaitan perkembangan parti, isu-isu terkini dan banyak lagi perkara berfaedah yang boleh diperolehi. Ini dapat menyumbang idea kepada para bloggers untuk menghasilkan penulisan yang lebih baik dan berkualiti serta terkini.
Diharap pihak kepimpinan tertinggi dapat menilai dan mengkaji baik buruk cadangan yang saya kemukakan ini. Saya menyokong penuh sekiranya ada usaha-usaha dari kepimpinan tertinggi Pemuda untuk merealisasikan cadangan saya ini. Marilah kita sama-sama berusaha untuk mencari jalan bagi menguatkan parti UMNO sebagi parti keramat orang Melayu dan mewujudkan semangat bersatu-padu di kalangan Pemuda.
Semoga Y.B KJ terus bersemangat dalam menempuh dugaan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan terus men transformasi kan UMNO dan terus merakyatkan pemuda UMNO. Semoga UMNO kembali mendapat kepercayaan dan dapat kita semua mengembalikan zaman kegemilangan UMNO
Salam Setiakawan
Post a Comment