Percepatkan keahlian terbuka BN
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, semua pihak tidak perlu bimbang dengan sistem tersebut kerana bertujuan meningkat keahlian parti.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat Exco pergerakan tersebut pada minggu depan.
"Saya secara dasarnya menyokong supaya sistem ini diadakan dan dipercepatkan kerana ia akan membawa kebaikan kepada parti.
"Perkara ini akan saya bawa pada mesyuarat Exco minggu depan sebelum saya mengemukakan cadangan dan pandangan Pemuda UMNO serta BN kepada Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Karnival Belia dan Sukan Negeri Kelantan anjuran Pemuda UMNO Kelantan di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Sapian dan barisan Exco Pemuda UMNO Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN baru-baru ini berkata, satu konvensyen BN akan diadakan untuk membincangkan cadangan meminda Perlembagaan BN bagi menerima individu, parti politik atau NGO yang menyokong parti itu menjadi ahlinya secara terus.
Utusan Malaysia hari ini pula melaporkan beberapa pemimpin BN meminta supaya sistem keahlian terbuka parti itu dipercepatkan dan tidak sepatutnya dipandang negatif.
Mereka berpendapat, isu bakal calon pada pilihan raya yang bukan daripada komponen BN tidak perlu dibangkitkan sama sekali.
Khairy berkata, isu bakal calon tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk mempercepatkan cadangan itu kerana Perdana Menteri telah memberikan garis panduan dari awal lagi.
"Perdana Menteri telah jelaskan kriteria-kriteria bakal calon pilihan raya iaitu mereka yang berkredibiliti serta mesra rakyat tidak kira sama ada pemimpin parti atau tidak.
"Jadi ini tidak perlu menjadi isu kerana calon akan dipilih berdasarkan kriteria itu dan tujuan utama sistem ini dibuat adalah untuk menambahkan keahlian," katanya.