Pembangkang Tidak Konsisten, Kata Khairy
Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata pembangkang mempersoalkan keputusan kerajaan melantik Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat, sedangkan pada masa sama mereka masih menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang kini dibicarakan atas tuduhan liwat, sebagai Ketua Pembangkang.
Walaupun ada laporan polis dibuat terhadap Jamaluddin, namun beliau tidak didakwa tetapi beliau masih dikatakan telah mencemar imej negara, katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Dewan Rakyat di sini hari Khamis.
Terdahulu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) membangkitkan mengenai pelantikan Jamaluddin yang didakwanya mencemar imej negara kerana terdapat laporan polis dibuat terhadap beliau sebelum ini.
Khairy berkata ia berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai pendirian yang konsisten, di mana pemimpin-pemimpin yang didakwa di mahkamah perlu meletakkan jawatan dan membersihkan nama mereka terlebih dahulu, termasuk bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam.
"BN cukup jelas mengenai perkara ini. Kita tidak beri ruang bagi sebarang kekaburan," katanya.
Khairy berkata Pakatan Rakyat juga tidak menunjukkan konsistensi apabila mereka setuju "mensubkontrakkan" dasar ekonomi Pakatan Rakyat kepada DAP seperti yang didedahkan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) sebelum itu, juga berkenaan pilihan raya kerajaan tempatan, yang hanya diusulkan oleh Selangor dan Pulau Pinang.
"Yang minta hanya kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Hanya DAP dan PKR, tapi PAS berdiam diri dalam hal ini. Kelantan dan Kedah tak cakap langsung malah dalam rangka kerja dasar bersama, komitmen untuk mengadakan pilihan raya dicairkan kepada komitmen untuk memperkukuhkan kerajaan tempatan.
"Di sini macam mana kita nak percaya, kononnya kata pakatan nak ada sistem dua parti tapi sebenarnya berpecah dalam soal pokok. Dalam soal pilihan raya kerajaan tempatan pun tak ada kata sepakat," katanya.
Khairy berkata beliau juga menerima rungutan daripada kontraktor-kontraktor kecil di Selangor di mana mereka yang mempunyai sedikit kaitan dengan Umno bukan saja tidak diberikan kontrak, malah disenarai hitam.
Beliau berkata pembangkang juga sering membangkitkan soal kebebasan media, tapi tidak membenarkan wartawan dari Utusan Malaysia untuk membuat liputan sidang akhbar mereka, malah TV Selangor, yang disediakan oleh kerajaan Selangor langsung tidak memberi liputan kepada BN.
Sebelum itu Khairy mencadangkan agar kerajaan dan swasta bekerjasama bagi menggubal dan merangka modul latihan praktikal yang akan dijalani oleh seseorang pelajar institusi pengajian tinggi sebagai panduan oleh syarikat-syarikat yang menerima pelajar berkenaan.
Beliau berkata ia bagi memastikan pelajar tersebut menerima latihan yang sepatutnya sebagai persediaan mereka memasuki alam pekerjaan sebenar, dan kementerian dan universiti juga perlu memantau pelajar yang menjalani latihan praktikal tersebut.
Selain itu dicadangkan juga pihak kerajaan mengkaji untuk memberi insentif seperti potongan cukai lebih kepada majikan yang mengambil pelajar untuk latihan praktikal, manakala universiti juga perlu memberikan perlindungan insurans kepada pelajar tersebut, katanya.