Tuesday, March 11, 2008

Khairy menang Parlimen Rembau

SEREMBAN 8 Mac – Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menepati ramalan apabila memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan memperoleh 26,525 undi untuk menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin, 20,779 pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Khairy yang memperoleh majoriti 5,746 undi berkata, beliau bersyukur kerana terpilih sebagai Ahli Parlimen dan berjanji akan memberi khidmat terbaik di samping memenuhi kehendak masyarakat setempat.

‘‘Mengenai keputusan pilihan raya kali ini, saya lihat berlaku kekurangan majoriti tetapi saya menganggap ini sebagai satu mesej yang jelas dan ia akan menjadi tumpuan saya selepas pilihan raya ini,’’ katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan terus mempertahankan kerusi DUN Rantau yang dimenanginya apabila mencatatkan kemenangan ke atas calon PKR, Aisah Lamsah dengan majoriti 3,783 undi apabila Mohamad menerima 7,739 undi manakala Aisah mendapat 3,956 undi.

‘‘Saya yakin kita akan menubuhkan kerajaan di sini. Mana yang tewas, kita akan memperbaikinya supaya ia juga dapat diperbetulkan,’’ kata beliau kepada pemberita di sini malam ini.

Sementara itu, di Parlimen Tampin, Datuk Shaziman Abu Mansor mengekalkan kerusi yang ditandinginya apabila memenangi kerusi tersebut dengan memperoleh 24,022 undi berbanding saingan beliau dari calon Pas, Abdul Razakek Abd. Rahim dengan menerima undi sebanyak 10,943.

Setakat pukul 12.00 tengah malam tadi beberapa keputusan yang agak mengejutkan berlaku dengan beberapa kerusi di negeri ini jatuh ke tangan pembangkang dan antaranya DUN Sikamat, Ampangan, Nilai dan Lobak.

Di Sikamat, calon PKR Aminuddin Harun memperoleh 6,036 undi selepas menewaskan calon BN, Datuk Md. Yusop Harmain Shah, 5,537 undi. Aminuddin mendapat majoriti 499 undi.

Bagi kerusi DUN Ampangan, PKR juga memperoleh kemenangan selepas menewaskan muka baru, Mohd. Nor Awang (BN) yang mendapat 5,514 undi. Calon PKR itu, Rashid Latiff, menerima 5,679 undi, sekali gus menang dengan majoriti 165 undi.

Antara kerusi yang turut dimenangi pembangkang di Negeri Sembilan ini termasuklah di DUN Lobak yang kembali dikuasai Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook.

Dia memperoleh 9,244 undi menewaskan calon BN, Siow Koi Voon, 2,316 undi. Siew Fook memperoleh majoriti besar, 6,928 undi.

Dalam pada itu, di DUN Nilai, penyandang kerusi Datuk Peter Lai Yit Fee tumpas kepada calon DAP, Yap Yew Weng dengan majoriti 1,894 undi. Yit Fee menerima 4,861 undi manakala manakala Yew Weng mendapat 6755.

Sehingga kini, BN berjaya menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan kira-kira jam 12.20 malam tadi setelah memenangi 19 dari 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP