FAM cari kelab baru untuk Sathia
Oleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR – Kegagalan jurulatih kebangsaan B. Sathianathan untuk menimba ilmu bersama kelab ternama Liga Perdana England, Manchester United mungkin terubat apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang mencari kelab ternama lain dalam liga tersebut sebagai pengganti.
Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin berkata, FAM akan cuba untuk mencari sebuah lagi kelab lain untuk memberi peluang kepada Sathianathan menimba pengalaman di England yang mempunyai liga paling hebat di Eropah.
‘‘Memandangkan pasukan Manchester United dalam persiapan rapi mengejar kejuaraan liga mungkin kita akan mencari sebuah lagi kelab ternama yang lain sebagai pengganti,’’ katanya pada sidang akhbar pelancaran klinik bola sepak bersama Ian Rush di sini, semalam.
Menurut Khairy, selain mempelajari teknik penyerang yang dibawa oleh Ian Rush, Sathia juga perlu didedahkan dengan ilmu kejurulatihan yang lebih baik di luar negara.
‘‘Ia adalah sesuatu yang bagus menghantar Sathia ke luar negara untuk menimba ilmu kerana dapat mendedahkannya dengan corak kejurulatihan dan strategi yang lebih baik untuk dibawa pulang ke Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairy juga menegaskan, FAM akan mencari jalan terbaik untuk memberi peluang kepada penyerang tempatan dalam Liga Malaysia bermain secara kerap berbanding pemain import.
‘‘Kehadiran pemain import di bahagian serangan untuk pasukan kelab yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana sedikit-sebanyak menghalang penyerang tempatan untuk memperagakan aksi mereka.
Khairy berkata, klinik penyerang di bawah kendalian Ian Rush ini mampu untuk membentuk penyerang yang lebih mantap dan memberi peluang kepada jurulatih di Malaysia untuk menerapkan cara latihan yang diajar pemain legenda tersebut ke dalam pasukan masing-masing.
‘‘Klinik seperti ini memang bagus dan saya begitu gembira kerana kita (FAM) tidak berseorangan berikutan banyak penaja yang sudi memberi kerjasama untuk menganjurkan program-program seperti ini.
‘‘Jika sebelum ini banyak wang dihabiskan untuk pembangunan liga bola sepak di Malaysia berbanding memajukan pasukan bola sepak kebangsaan,’’ ujar Khairy.