Monday, January 28, 2008

Cadang 30% kerusi DUN ditandingi Pemuda UMNO

PULAU PINANG - UMNO Bahagian Tanjong mencadangkan agar 30 peratus daripada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi oleh UMNO di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang diberikan kepada calon Pergerakan Pemuda UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Tanjong, Datuk Ahmad Ibnihajar berkata, cadangan itu dibuat bertujuan untuk memberi peluang kepada muka baru dan tenaga baru meneruskan perjuangan pemimpin yang telah lama berkhidmat dengan UMNO.

"Pemuda memiliki ramai calon berwibawa dan layak, jadi kalau ada pemimpin yang tidak menunjukkan prestasi baik, elok kita tukar dengan muka baru," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Skuad Gerak Gempur Jentera Pilihan Raya Pemuda UMNO Tanjong di Muzium Perang, Batu Maung di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Sementara itu, Ahmad berkata, jentera pilihan raya UMNO Bahagian Tanjong telah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Katanya, UMNO bahagian itu juga akan pergi ke mana sahaja yang dikehendaki parti untuk memberikan sokongan kepada calon yang bertanding.

"Kami akan turun memberi sokongan kepada UMNO dan BN di mana sahaja kami diperlukan. Asalkan kami dikehendaki, kita akan pergi," katanya.

Jelas Ahmad, walaupun penduduk Melayu di kawasan Tanjong hanya 5,000 orang berbanding 45,000 bukan Melayu, UMNO bahagian itu optimis membantu mana-mana calon parti komponen BN yang bertanding di kawasan tersebut.

"Setiap kali pilihan raya, mula-mula kita kena pastikan BN menang dahulu. Selepas itu, barulah kita boleh rancang apa yang kita boleh buat untuk membantu rakyat terutama masalah penduduk setempat seperti kemiskinan dalam bandar.

"Apapun, rakyat kena pilih kita dahulu, baru kita boleh buat kerja," katanya.

Read more...

Hishammuddin penyelaras di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah dilantik secara rasmi sebagai penyelaras jentera UMNO Bahagian Permatang Pauh dalam pilihan raya umum akan datang.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin ketika mengumumkan perkara itu memberitahu, pelantikan tersebut diluluskan Majlis Tertinggi (MT) UMNO dengan persetujuan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, pelantikan Hishammuddin itu dilihat sebagai strategi penting bagi memberi tumpuan khusus kepada matlamat UMNO dan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Permatang Pauh yang kini dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Beliau (Hishammuddin) berjanji kepada Perdana Menteri untuk menjadi 'bapa angkat Permatang Pauh' dan menyatakan komitmen 100 peratus memastikan Permatang Pauh kembali kepada UMNO.

"Ini penghormatan besar kepada jentera UMNO di Permatang Pauh selain membuktikan kesungguhan pucuk pimpinan parti untuk mengakhiri penguasaan PKR di kubu kuat mereka di sini," katanya.

Khairy berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan ahli-ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh di sini hari ini.

Khairy berkata, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran dijangka mengadakan kunjungan ke beberapa kawasan sekitar Parlimen Permatang Pauh sempena lawatan rasminya ke Pulau Pinang pada 6 Februari ini.

Beliau berkata, sentimen reformasi yang menjadi modal politik PKR pada pilihan raya 1999 dan 2004 sudah tidak relevan dan pengundi mampu menilai kemampuan kerajaan BN dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, hubungan yang semakin erat di kalangan ahli-ahli UMNO di Permatang Pauh akan menjadi kunci utama kepada kejayaan parti untuk mengakhiri penguasaan PKR di kawasan Parlimen tersebut sejak pilihan raya umum 1999.

Read more...

Khairy enggan ulas jadi calon

PULAU PINANG - Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin enggan mengulas kedudukannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12.

Ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Skuad Sedia Gempur Pemuda UMNO Tasek Gelugor dekat sini hari ini, beliau hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum apabila diajukan soalan mengenai pencalonan dalam pilihan raya.

"Saya tidak akan bercakap mengenainya," kata Khairy walaupun ditanya bertalu-talu oleh pemberita mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, dalam satu majlis berasingan, Khairy berkata, Pemuda UMNO belum membuat sebarang perbincangan berhubung senarai nama anggotanya yang akan dicalonkan dalam pilihan raya.

Menurutnya, pergerakan itu berpendirian sebarang keputusan berhubung calon pilihan raya termasuk di kalangan anggotanya hanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.

"Kami serahkan kepada pucuk pimpinan parti, setakat ini kami belum mengadakan sebarang perbincangan mengenainya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Skuad Gerak Gempur Jentera Pilihan Raya Pemuda UMNO Bahagian Tanjong di Muzium Perang, Batu Maung di sini.

Khairy sekali lagi mengingatkan anggota pergerakan itu supaya tidak melobi untuk menjadi calon sebaliknya menumpukan kepada usaha memantapkan jentera pilihan raya di setiap kawasan.

Beliau juga meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan janji politik 'kalau' yang digunakan pembangkang bagi meraih sokongan pada pilihan raya umum akan datang.

Pembangkang, katanya, hanya pandai mencari salah kerajaan dan mempengaruhi rakyat dengan cakap-cakap yang indah didengar tetapi jika dilaksanakan mampu membuat negara menjadi porak- peranda dan muflis.

Menabur janji''Kalau bab menabur janji, pembangkang cukup hebat. Macam- macam dijanjikan kepada rakyat. Mereka sering berkata kalau saya dipilih, saya pastikan semua perbelanjaan perubatan dihapuskan, kalau saya dipilih saya akan hapuskan bayaran pendidikan. Tapi semuanya dengan 'kalau saya dipilih'.

"Perkataan 'kalau' ini sebenarnya, apa-apa pun boleh terjadi. Jangan mudah terpedaya, perkara yang dijanjikan pun tidak berpijak pada bumi yang nyata," katanya.

Khairy berkata, sejarah membuktikan pembangkang yang tidak pernah mentadbir negara hanya mampu berjanji dan bercakap kosong sedangkan mereka tidak pernah cuba membantu menyelesaikan masalah rakyat terutama isu kenaikan harga minyak, harga barang dan kos pendidikan.

Beliau menambah, rekod pilihan raya lepas memperlihatkan bahawa pembangkang gagal mencadangkan sebarang langkah berkesan yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi rakyat.

''Mereka sepatutnya tidak hanya pandai mengkritik tetapi mampu mengeluarkan sebarang cadangan atau idea alternatif untuk mengatasi masalah rakyat tetapi ia tidak pernah berlaku dalam politik mereka. Yang mereka tahu hanya kritik, kritik, kritik,'' katanya.

Khairy juga pada masa yang sama berharap rakyat tidak mudah mempercayai pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP yang terbukti hanya satu mainan politik bagi memberi persepsi kepada rakyat kononnya parti-parti pembangkang bersatu serta bersedia membentuk kerajaan alternatif.

''Tidak ada sesuatu yang baru dalam pakatan pembangkang. Di depan kelihatan kerjasama mereka baik tetapi pada asasnya parti-parti pembangkang itu cuba mengalahkan antara satu sama lain, macam kahwin mutaah, kahwin sehari, esok sudah boleh bercerai.

''Malahan setiap parti berdoa agar mereka menang dan rakan mereka akan kalah dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Khairy juga mengingatkan rakyat supaya tidak mudah mempercayai pakatan pembangkang yang memberi gambaran kepada rakyat kononnya mereka bersatu.

Read more...

Pemuda belum bincang senarai calon - Khairy



PULAU PINANG 27 Jan. _ Pergerakan Pemuda UMNO belum membuat sebarang perbincangan berhubung senarai nama anggotanya yang akan dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu berpendirian bahawa sebarang keputusan berhubung calon-calon pilihan raya termasuk daripada kalangan anggotanya hanya akan ditentukan sendiri oleh pucuk pimpinan parti.

Read more...

Pemuda jangan lobi jadi calon

JASIN 26 Jan. – Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengingatkan pemimpin dan anggota pergerakan itu agar tidak melobi menjadi calon untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, tindakan tersebut hanya membuang masa kerana tumpuan sepatutnya diberikan ke arah menguatkan jentera parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Menurut beliau, tindakan melobi sehingga saat-saat akhir untuk menjadi calon tidak akan mengubah apa-apa sebaliknya kejayaan Pemuda diukur menerusi kepimpinannya yang secara konsisten sejak beberapa tahun lalu.

‘‘Saya harap Pemuda tidak akan membazir masa untuk melobi jadi calon kerana yang penting kita buat kerja dengan memantapkan jentera pilihan raya kita.

‘‘Ini memerlukan guna tenaga dan masa yang banyak di kalangan pemimpin serta anggota Pemuda sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gerak Gempur Pemuda Jasin di sini hari ini.

Khairy menjelaskan, sekiranya ada yang termasuk dalam senarai calon kelak, ia disebabkan kebolehan kepimpinan mereka bukannya lobi di saat-saat akhir.

‘‘Setakat ini, di bawah kepimpinan ketua kita, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan saya sendiri, belum ada mana-mana pemimpin atau ahli Pemuda yang melobi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan anggota pergerakan itu agar menyokong sesiapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) yang diletakkan untuk bertanding pada pilihan raya akan datang demi memastikan kemenangan mutlak parti itu.

‘‘Ini penting kerana dalam masa dua atau tiga hari pertama dalam kempen pilihan raya kelak, ia merupakan masa yang paling kritikal dan Pemuda perlu main peranan dari segi memasang poster dan bendera parti,’’ katanya.

Beliau juga tidak mahu ada pemimpin atau anggota yang merajuk dan memboikot pilihan raya sekiranya mereka tidak disenarai sebagai calon atau calon pilihan tidak bertanding.

Khairy turut menyifatkan tindakan pembangkang yang sering mencabar pemimpin UMNO untuk bertanding di kubu mereka sebagai politik ‘budak kecil’.

‘‘Itu bukan soal penting untuk cabar mencabar, apa yang penting BN mempunyai barisan pemimpin berwibawa berbanding pembangkang, '' katanya.

Read more...

Monday, January 14, 2008

Kekalkan semangat Nusantara

KENYATAAN Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Dialog Malindo 2008Selasa lalu tepat mendedahkan bagaimana rumpun Nusantara ini, iaitu Malaysia dan Indonesia terperangkap dengan isu remeh-temeh hingga menyampingkan cabaran sebenar bersama.

Katanya, cabaran dalam hubungan Malaysia-Indonesia bukannya mengenai kedaulatan, pekerja pendatang, isu budaya seperti lagu rasa sayang, tetapi soal sebenar adalah survival kedua-dua negara.

Mungkin ia berasal daripada sifat semula jadi rumpun Melayu ini untuk berperasaan emosional kepada soal-soal titik bengik, seperti perangai warga-warga kampung di seluruh Nusantara hingga ia memerlukan ingatan sedemikian. Betapa ada orang Melayu yang bergaduh di antara saudara hanya kerana perbalahan terhadap sekangkang bidang tanah pusaka.

Ataupun berperasaan sensitif dalam soal layanan dan kata-kata yang tidak disenangi. Perbalahan di kalangan jiran tetangga di kampung-kampung kerana soal-soal menyentuh perasaan semata-mata.

Begitu jugalah hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang seolah-olah dua warga kampung, sebangsa dan sebudaya hingga lupa bahawa cabaran yang dihadapi adalah soal kedudukan ekonomi dan politik di rantau Asia. Maknanya ketika Malaysia dan Indonesia berbalah soal emotif, China, India dan Vietnam sedang maju ke depan tanpa lagi menoleh ke belakang.

Inilah yang disebut oleh Khairy bahawa antara tahun-tahun 1970-an hingga 1990-an, Malaysia dan Indonesia adalah antara negara yang paling maju di rantau ini, dan menarik masuk banyak pelaburan asing, tetapi hari ini kedua-dua negara ini terpaksa bersaing dengan China, India dan Vietnam.

Sememangnya China, India dan Vietnam merupakan negara-negara besar yang mempunyai potensi untuk melangkah jauh ke depan. Indonesia juga adalah negara besar. Malaysia pula sememangnya kecil. Tetapi Indonesia akan lebih bersedia untuk bersaing jika bergabung tenaga dengan Malaysia dalam soal ekonomi untuk bersaing dengan China, India dan Vietnam.

Kalau dari segi rumpun bangsa, keadaan China, India dan Vietnam adalah jelas. Tetapi Malaysia dan Indonesia pula adalah sebenarnya satu bangsa dan oleh kerana perjalanan sejarah penjajahan, maka ia muncul sebagai dua buah negara. Dalam keadaan ini semangat Malindo dan Nusantara bermaksud gabungan kerjasama erat dalam bidang ekonomi bagi survival bersama.

Namun begitu, apa yang dikatakan semangat Nusantara bukanlah bersifat perkauman Melayu. Ia bukan saja melibatkan penduduk rumpun Melayu tetapi kesemua kaum yang sudah menjadi warga Malaysia dan Indonesia. Apabila bercakap tentang ekonomi, mestilah ia melibatkan keperkasaan perniagaan warga keturunan Cina, di kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia.

Malah gagasan semangat Nusantara ini juga perlu melibatkan negara-negara yang pernah satu masa dicadangkan turut serta dalam penubuhan Malaysia, iaitu Singapura dan Brunei. Maka Nusantara Raya ini pula bersama Vietnam, Thailand dan Filipina menjadi teras kepada kekuatan ekonomi ASEAN. Maka barulah ASEAN dapat dilihat sebagai satu gagasan besar untuk berdepan dengan China dan India dalam persaingan ekonomi global.

Kerjasama

Namun sebelum dapat memunculkan ASEAN, kerjasama ekonomi yang kuat antara Malaysia dan Indonesia menjadi asas dan pemula untuk perubahan bagi mencapai kemampuan untuk bersaing.

Perlu dilihat betapa kesemua negara-negara ini: Malaysia, Indonesia, Vietnam, China dan India menghadapi pergolakan politik bagi mencari jati diri sebaik saja selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu mereka sudah meninggalkan era penjajahan dan mencari tapak untuk menjadi negara bangsa baru dan berjaya.

Malaysia dan Indeonsia hanya berjaya memantapkan jati dirinya selepas tahun 1967 apabila konfrontasi berakhir dan kejatuhan Presiden Sukarno serta pembubaran Parti Komunis Indonesia (PKI).

Walaupun Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, tetapi jati diri tidak dapat dimantapkan kerana ancaman komunis yang kuat dari Parti Komunis Malaya (PKM) baik dalam hutan mahupun di kota raya Singapura. Ancaman komunis dari Singapura mendorong kepada penubuhan Malaysia.

Sementara gagasan Malaysia yang akhirnya ditubuhkan pada 16 September 1963 menerima ancaman dari Indonesia yang dipengaruhi kuat oleh PKI. Justeru kedudukan Malaysia dan Indonesia bergolak hinggalah kejatuhan PKI dan Sukarno. Hanya selepas konfrontasi barulah kedua-dua negara dapat memantapkan jati diri politik dan ekonomi. Allahyarham Tun Razak Hussein dan Suharto membawa negara masing-masing ke jalan pembangunan hingga menyaksikan kemajuan pesat pada tahun 1970-an dan 1990 -an. Kestabilan Malaysia dan Indonesia inilah menjadi teras kepada penubuhan ASEAN.

Dalam keadaan China mengamalkan sistem komunis dan Indochina bergelumang dengan peperangan, maka tumpuan pelabur tentunya adalah Malaysia dan Indonesia, yang turut digalakkan oleh negara-negara Barat yang mahu melihat dua negara serumpun ini muncul sebagai kubu menentang komunisme.

Ketika itu, China, India dan Vietnam masih tidak menemui jati diri politik dan ekonomi mereka. Selepas Perang Dunia Kedua, China berpecah dua menjadi Republik Rakyat China di Tanah Besar China dan Republik China di pulau Taiwan. Walaupun kedudukan Parti Komunis China (CCP) yang kuat di Beijing, tetapi ia tidak memberi kestabilan di China. Di bawah Mao Zedong, China terlibat dengan peperangan di Korea, India, Kesatuan Soviet dan Vietnam dengan sikap konfrontasi terhadap Taiwan.

Sementara sistem ekonomi komunis Mao pula membawa negara itu kepada kehancuran hingga mencapai kemuncaknya pada Revolusi Kebudayaan. Di peringkat awal dan pertengahan pentadbiran Mao, Beijing menyumbang kepada kekacauan dan ketidakstabilan di Malaysia dan Indonesia melalui sokongannya terhadap PKM dan PKI.

Namun Malaysia di bawah Tun Razak berjaya meredakan ancaman ini melalui usahanya berbaik-baik dengan China. Apa yang dilakukannya diikuti pula oleh Indonesia. Hubungan baik kedua-dua negara ini dengan China menyumbang kepada kestabilan nereka. Pun begitu, China hanya dapat menikmati kestabilan setelah Mao meninggal dunia dan digantikan dengan Deng Xiaping pada akhir 1970-an.

Merobah

Polisi ekonomi Deng merobah keadaan China yang akhirnya kini menjadi ekonomi paling pesat berkembang di dunia. Bukan saja pelabur Barat melihat tarikan China itu tetapi juga dari kalangan peniaga keturunan Cina di Taiwan dan Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.

Vietnam pula terlibat dalam kancah peperangan sebaik saja selepas Perang Dunia Kedua. Daripada menentang penjajah Perancis hinggalah kepada Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1960-an dan 1970-an. Negara Vietnam terbahagi dua dan ketika Perang Dingin sedang hebat berlaku, maka Vietnam menjadi medan kedua selepas Korea. Hanya setelah AS mengundurkan diri pada tahun 1976, barulah ia menyaksikan kestabilan. Tetapi keadaan serba kekurangan terus berlaku kerana Hanoi turut terlibat dalam peperangan di Kemboja.

Setelah masalah Kemboja selesai pada tahun 1980-an, diikuti dengan pembukaan ekonomi China pada zaman Deng, maka barulah Hanoi mengikut jejak Beijing. Pihak pemerintah komunis Vietnam walaupun mempertahanakan ideologi politiknya tetapi mengikut jejak Deng dalam soal ekonomi melalui polisi Doi Moi atau keterbukaan.

Maka setelah memasuki tahun 1990-an, sudah tentu China dan Vietnam dilihat sebagai lebih menarik daripada Malaysia dan Indonesia. Kegawatan ekonomi Asia yang merintis kepada kejatuhan Suharto, dan juga memberi kesan kepada Malaysia melalui pengaruh politiknya menjadikan pelabur meragui kemampuan Malaysia dan Indonesia bagi menyediakan ruang pelaburan yang stabil. Oleh kerana Malaysia sudah menikmati pembangunan terlebih dahulu, maka kos tenaga manusia di China dan Vietnam jauh lebih murah dan menarik bagi pelabur.

Inilah cabaran besar bagi Malaysia dan Indonesia. Ia menjadi lebih ketara dengan kemunculan India sebagai kuasa ekonomi baru apabila dunia memasuki alaf baru. Walaupun India adalah sebuah negara demokratik dan tidak diperintah oleh komunis kecuali di peringkat negeri di Benggala Barat dan Kerala di mana parti-parti komunisnya memegang kuasa melalui pilihan raya tetapi sistem ekonominya yang diasaskan oleh Perdana Menteri Jawaharlal Nehru cenderung pada sifat sosialis.

Dengan India berkali-kali terlibat dengan peperangan dengan Pakistan, dan kemudiannya dengan Bangladesh dan Sri Lanka, maka kestabilan politik yang wajar tidak dapat dinikmati oleh New Delhi.

Hanya setelah kejatuhan sekutu kuatnya iaitu Kesatuan Soviet, ditambah pula kekalahan Parti Kongres di tangan Parti Janata Bharatia (BJP) yang polisi ekonominya bersifat terbuka, maka India menyediakan dirinya untuk stabil dan membangun. Dalam tahun 2000-an, India baru muncul sebagai kuasa menarik pelaburan yang bersaing dengan China tetapi menjadi cabaran besar kepada Malaysia dan Indonesia.

Maka untuk menyaingi kuasa-kuasa ekonomi besar itu, Malaysia dan Indonesia tidak memiliki jalan lain selain daripada kerjasama politik dan ekonomi untuk survival.

Ingatlah ketika kegemilangan Kesultanan Melayu di Melaka, perpaduan Nusantara berada di peringkat yang kukuh. Majapahit dan Melaka bukan saja bertukar-tukar duta tetapi mengukuhkan hubungan rumpun melalui perkahwinan.

Hanya setelah kejatuhan Majapahit dan perbalahan sesama serumpun membolehkan kemasukan kuasa penjajah ke rantau ini. Portugis hanya dapat menawan Melaka, Makassar dan Maluku apabila kerajaan-kerajaan Nusantara tidak bersatu. Kubu A Famosa hanya dapat ditumpaskan apabila Aceh bekerjasama dengan Johor membantu serangan Belanda. Tetapi perseteruan antara Aceh dan Johor membolehkan Belanda menguasai Sumatera, sementara kegagalan mana-mana kerajaan Melayu menolong Kedah untuk berdepan dengan Siam membolehkan British bertapak di Pulau Pinang.

Seperti dahulu, penjajahan akan bermula melalui penguasaan ekonomi.

Read more...

Pemuda UMNO turut bantu



PUTRAJAYA – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah mengarahkan semua ahli Pemuda supaya membantu usaha mengesan Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang dilaporkan hilang

Beliau yang ditemui di Hari Keluarga Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini, berkata, arahan tersebut perlu bagi mengelakkan Sharlinie menerima nasib yang sama seperti kes penculikan dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin.

‘‘Ini bukan masanya untuk kita saling tuduh menuduh berikutan kehilangan Sharlinie, sebaliknya kita perlu bekerjasama untuk mencari kanak-kanak itu.

‘‘Apa yang penting adalah memastikan Sharlinie segera ditemui dalam masa terdekat dan dalam keadaan sihat,” katanya yang turut ditemani isteri, Nori Abdullah dan anaknya, Jibreil Ali Jamaluddin yang berusia empat bulan.

Dalam pada itu, Khairy turut menyarankan pihak kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menggerakkan kempen keselamatan kanak-kanak di kalangan ibu bapa bagi mengelakkan kes kehilangan kanak-kanak terus berulang di negara ini.

”Kempen ini penting kerana kita tidak mahu banyak lagi kes kanak-kanak hilang berlaku selepas ini,” katanya.

Read more...

Friday, January 11, 2008

Susilo terima gelaran Tun

SHAH ALAM: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono akan dianugerah gelaran tertinggi negara yang membawa gelaran Tun sebagai pengiktirafan kepada keakraban Malaysia dan Indonesia.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin akan menyampaikan anugerah itu di Istana Negara pada Khamis ini sempena lawatan kerja tiga hari presiden republik itu ke Malaysia.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin, berkata anugerah itu melambangkan hubungan baik kedua-dua negara bukan setakat hubungan antara kerajaan dengan kerajaan, malah hubungan secara peribadi.

Katanya, anugerah itu sebagai balasan kepada Kerajaan Indonesia memberi anugerah tertinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Februari tahun lalu.

Abdullah menerima anugerah tertinggi Bintang Republik Indonesia Adi Pradana dan anugerah tertinggi pergerakan pramuka iaitu pengakap Indonesia, Lencana Tunas Kencana. Beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama menerima dua anugerah tertinggi itu bagi menghargai jasa yang disifatkan sangat luar biasa kepada Indonesia.

"Anugerah tertinggi kepada Presiden Indonesia sangat penting dan membawa makna besar kepada hubungan baik kedua-dua negara termasuk hubungan peribadi Perdana Menteri dan Susilo," katanya pada sidang akhbar selepas menjadi pembicara khas pada hari terakhir Dialog Malindo 2008, di sini semalam.

Dialog dwi tahunan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) bertemakan Memperkukuhkan Hubungan Generasi Muda Malaysia-Indonesia Melalui Kerjasama Ekonomi dan Sosio Budaya itu disertai 400 peserta.

Dalam lawatan itu, Abdullah dan Susilo akan mengadakan rundingan tahunan bagi membincangkan perkara kepentingan bersama meliputi bidang ekonomi, sosial dan isu politik serantau serta antarabangsa.

Khairy juga berkata, anugerah kepada Susilo menandakan Malaysia di bawah pimpinan Abdullah amat menghargai hubungan baik kedua-dua negara.

"Inilah masanya Malaysia dan Indonesia memperkukuhkan hubungan baik di bawah kepemimpinan dua tokoh ini," katanya.

Beliau berkata, hubungan baik dan akrab Malaysia-Indonesia tidak pernah terjejas walaupun negara jiran itu mengalami banyak perubahan politik dan bertukar pucuk pimpinan serta parti pemerintah.

Katanya, pada sekitar 1990-an, kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya menjalin hubungan dengan parti Golkar tetapi selepas berlaku perubahan politik, BN turut menjalin hubungan dengan parti lain termasuk Demokrat.

"Kita melihat perubahan ini secara sihat dan kita menerimanya," katanya.

Read more...

'Usah lepas tangan didik anak'


AMBIL BERAT: Dr Rohaizan Rodzi dari klinik Kesihatan Kepala Batas memeriksa Nur Athirah, 4, yang dipangku bapanya Mohd Hashim Abd Samad, 36, sambil diperhatikan, dari kiri, Leela, Roslan dan Khairy selepas perasmian Program Keluarga Bahagia Masyarakat Ceria, di Kepala Batas.

KEPALA BATAS: Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak 'menswastakan' tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak kepada pihak ketiga kerana ia boleh menyebabkan anak rasa terabai dan mudah terdedah kepada pelbagai gejala sosial.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata ada ibu bapa zaman moden menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik dan membimbing anak mereka kepada orang lain seperti guru sekolah dan guru tuisyen.

"Ibu bapa tidak boleh bersikap lepas tangan dan menyerahkan bulat-bulat soal pendidikan anak kepada sekolah atau institusi lain.

"Ibu bapa juga harus bertanyakan diri mereka sendiri mengenai peranan masing-masing dalam perkembangan pendidikan anak serta membantu memberi sumbangan kepada sekolah.

"Ibu bapa kena tanya diri sendiri, apa pula sumbangan mereka terhadap pendidikan anak?

"Di sekolah Cina (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), ibu bapa mengambil berat soal pendidikan anak mereka dan sanggup memberi sumbangan kepada sekolah hingga mampu membina bangunan dan dewan yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program 'Keluarga Bahagia Masyarakat Ceria' anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) di Pinang Tunggal dekat sini, semalam.

Khairy mewakili isterinya, Nori Abdullah yang juga Pengerusi Penyayang. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.

Selain meminta ibu bapa yang berpendapatan tinggi memberi sumbangan termasuk kewangan kepada sekolah, beliau turut menyokong saranan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menggalakkan keluarga yang berada membayar yuran tambahan persekolahan anak masing-masing.

"Bukan semua ibu bapa yang merungut mengenai yuran tambahan. Ramai juga yang berkemampuan, tetapi mereka seolah-olah bersikap lepas tangan.

"Dalam soal ini, kita perlu perubahan pemikiran," katanya yang menganggap kebanyakan ibu bapa moden gemar menyerahkan tanggungjawab mendidik anak kepada pihak sekolah.

Katanya, sikap ibu bapa terhadap pendidikan penting kerana ia mempengaruhi corak institusi kekeluargaan dan boleh menimbulkan masalah jika mereka bersikap lepas tangan, termasuk masalah penagihan dadah, mat rempit dan bohsia.

"Kerajaan sudah menyediakan pelbagai infrastruktur pendidikan manakala yuran sudah dimansuhkan. (Kini) tiba masanya untuk ibu bapa memainkan peranan mereka," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Khairy memuji program berkenaan yang disifatkannya sebagai landasan terbaik dalam membentuk keperibadian generasi baru melalui kemantapan kekeluargaan.

Read more...

Henti panggilan 'Indon': Khairy


HUBUNGAN AKRAB: Khairy beramah mesra dengan belia dari Indonesia pada Dialog Malindo 2008, di Shah Alam.

Istilah dianggap menghina, boleh jatuhkan maruah rakyat negara jiran

SHAH ALAM: Rakyat diminta berhenti memanggil warga Indonesia di negara ini dengan panggilan 'Indon' kerana istilah atau gelaran itu dianggap menghina dan menjatuhkan maruah rakyat negara jiran itu.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin, berkata beliau menerima banyak bantahan pemimpin politik dan pemimpin belia yang kurang senang dengan panggilan itu dan digunakan secara meluas termasuk media cetak dan elektronik.

Khairy berkata, rakyat Indonesia tersinggung dengan panggilan itu yang didakwa seolah-olah rakyat Malaysia memandang rendah serta tidak menghormati mereka sebagai jiran serumpun yang berkongsi banyak persamaan.

"Jika kita tahu panggilan ini menyakitkan hati mereka (rakyat Indonesia), saya percaya kita perlu berhenti menggunakan panggilan itu.

"Saya berharap media massa yang menjadi saluran untuk mempopularkan panggilan itu dapat memenuhi permintaan rakyat Indonesia," katanya pada sidang akhbar selepas menjadi pembicara khas pada hari terakhir Dialog Malindo 2008, di sini semalam.

Khairy berkata, rakyat Malaysia juga akan marah jika dipanggil gelaran yang menyakitkan hati oleh negara jiran dan permintaan supaya menghentikan penggunaan gelaran itu tidak dipedulikan.

Sementara itu, wakil Ketua Umum Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI), Hamka M Noor, berkata panggilan Indon yang popular di negara ini bagi merujuk kepada rakyat Indonesia termasuk Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dianggap merendahkan taraf rakyat negara itu.

Katanya, panggilan itu tidak pernah wujud di negara berkenaan dan media negara ini yang bertanggungjawab mempopularkannya perlu berhenti dan menggantikannya dengan perkataan Indonesia.

Hamka berkata, panggilan itu sangat sensitif di kalangan rakyat Indonesia terutama belia kerana ia berkait rapat dengan maruah rakyat di sebuah negara berdaulat dan merdeka.

Sebelum itu, Khairy ketika dialog itu berkata, Malaysia dan Indonesia yang berkongsi banyak bersamaan sejarah dan sosio budaya tidak perlu campur tangan negara asing termasuk Amerika Syarikat bagi menyelesaikan perselisihan faham.

Katanya, kedua-dua negara yang mempunyai hubungan mesra seperti abang adik itu boleh menyelesaikan salah faham secara baik hasil kerjasama erat yang sudah wujud sekian lama.

Tiga isu utama menimbulkan tidak puas hati golongan muda kedua-dua negara yang kerap menjadi topik hangat di internet dan blog ialah isu kedaulatan, TKI dan sosio budaya.

Beliau berkata, perselisihan faham timbul kerana Indonesia menganggap Malaysia semakin angkuh dan tidak memiliki budaya sendiri, manakala Malaysia pula memandang negatif terhadap pekerja negara itu yang dicop pembawa banyak masalah jenayah.

"Persepsi negatif sesama sendiri ini berlaku kerana kedua-dua negara tidak mempunyai kata sepakat di samping saling menyimpan syak wasangka antara satu sama lain," katanya.

Khairy berkata, Malaysia tidak pernah menyembunyikan atau cuba menutup kes jenayah membabitkan rakyat negara itu termasuk penderaan pembantu rumah oleh majikan seperti kes Nirmala Bonat.

Katanya, Malaysia dan Indonesia, sepatutnya melupakan perbalahan isu remeh yang sengaja diperbesarkan dan memberi tumpuan kepada dua cabaran utama iaitu kelangsungan ekonomi bagi menghadapi saingan China, India dan Vietnam selain memperbetulkan tanggapan negatif terhadap Islam.

Katanya, rakyat Malaysia dan Indonesia mempunyai semangat kenegaraan berbeza tetapi ia mesti terkawal supaya tidak sampai pada tahap ekstrem sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

"Rakyat Malaysia bangga dengan pencapaian ekonomi, manakala Indonesia pula lebih kepada tradisi budaya. Kita sama-sama pegang semangat ini tetapi jangan sampai ada percanggahan yang boleh mengeruhkan hubungan baik dua negara," katanya.

Read more...

Thursday, January 3, 2008

Tindakan Soi Lek berhenti wajar – Perdana Menteri



PUTRAJAYA – Tindakan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek meletakkan semua jawatan parti dan kerajaan setelah mengaku terlibat dalam aksi hubungan seks bersama seorang wanita adalah satu langkah yang wajar, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri menegaskan, keputusan Naib Presiden MCA itu dibuat setelah mengambil kira kesan-kesan buruk yang mungkin menjejaskan imej parti dan kerajaan.

“Saya anggap ia satu keputusan yang wajar memandangkan perkembangan (isu) yang berlaku begitu singkat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada beliau yang telah mengambil kira kesan-kesan buruk yang mungkin menimpa parti dan kerajaan. Beliau telah mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku,” kata Abdullah pada sidang akhbar di Pejabat Perdana Menteri di sini petang ini.

Beliau mengulas langkah Soi Lek meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan, semua jawatan parti dan Ahli Parlimen Labis berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu dibuat oleh Soi Lek selepas menilai reaksi rakyat yang tidak menerima permohonan maafnya.

Menteri itu semalam secara terbuka mengaku dirinya adalah orang yang melakukan hubungan seks dengan seorang wanita dalam rakaman cakera video digital (DVD) yang salinannya diedarkan secara meluas di Johor sejak empat hari lalu.

Abdullah berkata, mesyuarat Kabinet pagi ini tidak membincangkan atau membuat keputusan mengenai kedudukan Soi Lek kerana ‘apa yang berlaku adalah berkaitan (hal) peribadi beliau’.

Katanya, Menteri Kesihatan itu ada menghadiri mesyuarat tersebut tetapi tidak membuat sebarang kenyataan.

Abdullah percaya isu membabitkan Soi Lek tidak akan menjejaskan persiapan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum.

‘‘Saya tidak nampak ia menjejaskan persiapan pilihan raya umum BN kerana kita tidak kekurangan tenaga yang diperlukan untuk teruskan persediaan,” katanya.

Ditanya sama ada isu membabitkan pemimpin MCA itu boleh dianggap ‘sesuatu yang perit’ bagi BN ketika melangkah ke tahun baru 2008, beliau berkata: “Apa juga yang kita rancang untuk dilaksanakan dalam tahun baru ini termasuk rancangan Kementerian Kesihatan yang ditetapkan, kita akan teruskan.

“Yang berkait dengan Kementerian Kesihatan, ia akan diputuskan oleh Jemaah Menteri.”

Abdullah berkata, Jemaah Menteri akan menentukan siapa yang akan memangku jawatan Menteri Kesihatan sekiranya ia tidak dipenuhi secara tetap oleh sesiapa.

Mengenai kekosongan portfolio kesihatan dalam Kabinetnya, Abdullah berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting kerana ia merupakan jawatan kerajaan yang diperuntukkan kepada parti MCA.

Mengulas sama ada isu membabitkan Soi Lek perlu disiasat oleh polis, beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata: “Kes ini melibatkan pencerobohan peribadi dan ia berupa satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan. Pihak polis tentu ingin berjumpa dengan beliau bagi mendapatkan kenyataan dan maklumat.”

Mengenai kemungkinan pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi Parlimen Labis, Abdullah berkata, ia tidak perlu kerana tempoh mandat kerajaan memerintah kini kurang daripada dua tahun.

Dalam hubungan ini, Perdana Menteri turut mengingatkan semua wakil rakyat BN supaya sentiasa menjaga moral masing-masing kerana ia adalah perkara utama yang dimahukan rakyat selain perkhidmatan yang baik.

‘‘Selain melaksanakan tugas dan amanah dengan baik, isu moral juga diambil kira oleh rakyat,” ujarnya.

Read more...

Wednesday, January 2, 2008

Mengawal kesan kenaikan harga minyak

Rombakan sistem subsidi menerusi konsep pengagihan lebih adil langkah bijak.



KERAJAAN sudah berjanji tidak menaikkan harga minyak pada 2007 dan janji itu sudah tertunai dengan tiada sebarang kenaikan berlaku sepanjang 2007 yang melabuhkan tirainya semalam. Hari ini, kita sudah melangkah ke tahun baru 2008, bermakna jaminan kerajaan itu juga, sekali gus terbatal.

Apakah harga minyak pada tahun ini akan dinaikkan? Bayangan awal sudah diluahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, apabila menyatakan bahawa negara ini akan bankrap jika kerajaan menurunkan harga minyak yang kini melambung naik di pasaran dunia.

Tetapi kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya berbuat demikian. Kerajaan mungkin merombak sistem pengagihan subsidi bagi memastikan pengagihan lebih adil dan hanya rakyat yang benar-benar layak serta berhak, menikmati keistimewaan itu, bukannya golongan kaya.

Ia bermakna, walaupun harga minyak dinaikkan nanti, kerana desakan tekanan harga minyak pada peringkat antarabangsa yang tiada tanda harganya akan menurun, kerajaan akan berusaha untuk terus memberi subsidi, tetapi untuk golongan yang memerlukan saja, supaya rakyat biasa tidak berasa bebanan yang terlalu berat.

Baru-baru ini Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) menjangka kerajaan akan menaikkan harga minyak pada kadar tidak terlalu membebankan pengguna iaitu antara 30 sen hingga 40 sen seliter, berbanding desas-desus melebihi 50 sen seliter.

Hujah Mier, jika harga minyak kekal pada tahap sekarang atau meningkat lagi pada masa depan, kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan untuk menaikkan harga bahan api itu, bagi mengurangkan beban menerusi subsidi yang perlu ditanggung.

Jelas di sini, jika kerajaan tidak menaikkan harga minyak, jurang bajet defisit menjadi semakin besar memandangkan kerajaan kini menanggung subsidi berjumlah RM35 bilion sehingga Mac 2007.

Malah, Pengarah Eksekutif Mier, Datuk Dr Mohamed Ariff Abdul Kareen turut menegaskan ketika ini harga runcit petrol di Malaysia adalah kedua terendah di dunia dan beliau yakin kerajaan amat bertimbang rasa dalam membuat keputusan menaikkan harga minyak.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga minyak ialah pada 28 Februari 2006 iaitu sebanyak 30 sen seliter bagi harga runcit petrol dan diesel serta 30 sen sekilogram bagi gas petroleum cecair (LPG).

Harga runcit petrol premium RON97 semasa di Semenanjung adalah RM1.92 seliter, petrol RON92 RM1.88 seliter, diesel RM1.581 seliter dan LPG RM1.75 sekilogram.

Harga minyak meningkat ke paras rekod, hampir mencecah harga AS$100 setong.

Persoalannya di sini, apakah kata-kata orang kuat Mier itu adalah petanda akan berlaku kenaikan harga bahan api itu tahun ini.

Tiupan angin yang membawa perkhabaran akan berlaku kenaikan harga minyak juga makin ketara apabila baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka menegaskan kerajaan sukar mengekalkan subsidi ekoran harga minyak dunia yang terus meningkat.

Bagaimanapun, Mier meredakan kegusaran rakyat apabila berpendapat kerajaan dijangka tidak memindahkan sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak kepada rakyat jika memutuskan untuk menaikkan harga bahan api itu bagi mengurangkan beban subsidi yang ditanggungnya, andai harga minyak global kekal pada tahap sekarang atau meningkat lagi pada masa depan.

Di persimpangan ini - sama ada kenaikan harga minyak akan berlaku atau tidak, persoalan ini masih menjadi tanda tanya dan tentunya kerajaan mengambil kira pelbagai faktor seperti politik dengan semakin dekatnya pilihan raya umum dan kedudukan ekonomi negara sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Kenaikan harga minyak tentu mempengaruhi kos pengangkutan dan pengeluaran, seterusnya barang lain. Cuma persoalannya sejauh mana kesan negatif berikutan kenaikan harga minyak itu dapat dikawal.

Sekiranya usaha untuk menambahkan pengeluaran minyak tidak dilakukan dengan segera, harga minyak mungkin meningkat ke paras tidak munasabah dan menyebabkan krisis ekonomi lebih serius dalam tempoh beberapa tahun mulai sekarang.

Bahang dan kesan kenaikan harga minyak ini bukan saja dirasai negara membangun, malah negara maju seperti Britain. Jika berlaku krisis bahan api ini, perkhidmatan hospital dan sekolah pasti terjejas serta mengganggu bekalan makanan dan kehidupan masyarakat.

Bayangkan apabila stesen minyak terpaksa ditutup kerana kekurangan bekalan minyak. Akibatnya berlaku kesesakan teruk di stesen minyak kerana orang ramai berebut dan beratur untuk mengisi minyak kenderaan masing-masing.

Hal ini, bukan mustahil kerana beberapa tahun lalu masalah kekurangan diesel di negara kita menyebabkan hal ini berlaku. Kekurangan minyak juga menyebabkan sampah gagal dikutip dan beberapa perkhidmatan berasaskan penggunaan minyak juga mengalami gangguan serius.

Tentunya kita mengharapkan keadaan yang digarap di atas tidak melanda negara ini, lebih-lebih lagi dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat Rancangan Malaysia kesembilan dengan Misi Nasional yang begitu lengkap dan padat bagi manfaat rakyat di bandar dan desa tanpa mengira agama, bangsa serta kedudukan.

Walau apa juga yang diperkatakan, kebimbangan dan amaran disuarakan beberapa pihak sebelum ini bahawa krisis ekonomi lebih besar akan berlaku berikutan kenaikan harga minyak perlu diberikan perhatian sewajarnya Pertubuhan Negara Pengeluar dan Pengeksport Minyak (Opec).

Harga minyak seharusnya dikawal bagi mengelak mana-mana pihak melakukan spekulasi dan memanipulasi bahan itu sehingga harganya melambung pada tahap tertinggi kerana memang tidak boleh disangkal - minyak adalah sumber utama yang menggerakkan sektor perindustrian, pengangkutan, penjanaan elektrik dan perkhidmatan lain.

Berasaskan kesedaran bahawa minyak penting untuk 'menghidupkan' rakyat dan negara, Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil langkah dan membuat sebarang keputusan dengan mengamalkan pendekatan berpijak di bumi nyata.

Baru-baru ini, dengan penuh yakin pemimpin BN menempelak sikap pembangkang yang hanya gemar menabur janji tetapi tidak pernah menepati janji pada rakyat.

Kelmarin, Najib dengan nada sinis ditujukan kepada pembangkang, mengingatkan rakyat Sabah bahawa pelbagai janji manis ditaburkan pihak pembangkang hanya sekadar memperbodohkan rakyat.

"Mereka datang ke Sabah menabur janji, kononnya jika berkuasa, harga minyak turun. Semua ini tidak masuk akal. Harga minyak naik di seluruh dunia, tetapi kita pertahankan harga minyak di negara ini dan paling rendah berbanding negara lain," katanya ketika mengadakan lawatan ke negeri itu.

Malah, kata Timbalan Perdana Menteri, Malaysia bukan negara Arab yang kaya dengan minyak dan pengeluaran negara hanya kira-kira 700,000 tong setahun.

Memang selama ini pun, keprihatinan kerajaan BN untuk membela nasib dan kebajikan rakyat tidak dinafikan dan berdasarkan tanggungjawab itu juga isu harga minyak turut disentuh pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Misalnya, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ketika membahaskan usul Ekonomi dan Pendidikan mencadangkan kerajaan merombak sistem subsidi bagi memastikan pengagihan lebih adil dan hanya rakyat yang benar-benar layak serta berhak, menikmati keistimewaan itu, bukannya golongan kaya.

Malah, Khairy menegaskan sistem subsidi yang diamalkan sekarang bukan saja tidak adil kepada golongan miskin, malah satu pembaziran kerana turut dinikmati golongan kaya.

Dan jika diteliti peri pentingnya isu ini untuk menjamin kemenangan lebih selesa BN pada pilihan raya umum akan datang, tentunya janji melaksanakan penstrukturan semula sistem subsidi menerusi konsep pengagihan lebih adil yang mensasarkan rakyat berpendapatan rendah sebagai penerima utama bantuan itu akan diusahakan hingga berjaya.

Read more...

18 ditahan kes bunuh warga emas dibebas

SEREMBAN: Polis membebaskan 18 warga asing yang ditahan awal pagi kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bekas guru agama wanita yang mayatnya ditemui di rumahnya, di Kampung Gadong, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata polis sudah mengambil keterangan warga asing terbabit serta mengambil cap jari mereka untuk membolehkan mereka ditahan semula pada bila-bila masa jika diperlukan.

"Berikutan itu, polis meneruskan gerakan memburu penjenayah kes pecah rumah bekas guru agama itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kematiannya, selain menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya," katanya, ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, polis juga masih menyiasat senarai barang di rumah berkenaan yang hilang dalam kejadian terbabit.

“Setakat ini, polis hanya mengenal pasti kehilangan barang kemas milik mangsa seperti rantai dan gelang tangan,” katanya.

Mayat Siti Amrah Mahmud, 72, yang juga sepupu Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, ditemui polis kira-kira jam 9.30 malam Sabtu lalu selepas menerima laporan jirannya yang curiga selepas beberapa hari tidak bertemu mangsa

Mangsa yang masih bujang dan tinggal berseorangan di rumah itu, ditemui mati terbaring dalam sebuah bilik berhampiran dapur dengan luka di muka.

Pintu pagar serta jeriji tingkap rumahnya mempunyai kesan diumpil, manakala dalam rumahnya pula berselerak.

Read more...

Harimau Muda simpan kuku

KUALA LUMPUR – Skuad bawah 19 tahun Malaysia atau dikenali sebagai Harimau Muda tidak meletakkan sasaran apabila membuat penampilan sulung dalam saingan bola sepak Liga Perdana, minggu depan.

Perjalanan anak-anak buah K. Rajagopal akan bermula secara rasmi pada 28 Disember ini apabila mereka menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kelmarin, ATM dibelasah 4-0 oleh Sabah pada perlawanan sulung mereka di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, keputusan yang pasti memberi keyakinan tambahan kepada Harimau Muda untuk memulakan kempen merekai.

Bagaimanapun bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), apa yang paling penting adalah melihat pemain menggunakan peluang beraksi dalam kancah liga domestik untuk meraih sebanyak mungkin pengalaman, sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia membawa cabaran di peringkat senior.

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin berkata, pendedahan skuad bawah 19 tahun kepada pertandingan liga akan menjadi platform untuk menyiapkan mereka sebelum menggalas tanggungjawab lebih besar pada masa akan datang.

‘‘Kami bernasib baik kerana MSN (Majlis Sukan Negara) bersetuju untuk menyokong penyertaan skuad Harimau Muda dalam Liga Perdana.

‘‘Harapan kami agar pemain-pemain dapat menggunakan peluang ini untuk memperbaiki permainan kerana dengan beraksi dalam kancah Liga Perdana mereka mampu menjadi pemain yang lebih baik,’’ kata Khairy pada majlis menandatangani kontrak di antara FAM dan pemain di Wisma FAM, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, wakil Nike Malaysia, Siva Shankar dan pengarah Air Asia, Fam Lee Ee.

Pada ketika MSN akan menjadi sumber kewangan utama pasukan, Air Asia pula akan menyumbangkan tiket penerbangan untuk semua perlawanan di luar Kuala Lumpur, manakala Nike Malaysia menyediakan kelengkapan Harimau Muda.

Read more...

Sepupu Khairy ditemui mati dalam rumah

REMBAU – Sepupu Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Siti Amrah Mahmud, 72, ditemui mati dalam sebuah bilik berhampiran dapur rumahnya di Kampung Gadong di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Huzir Mohamed berkata, mayat Siti Amrah ditemui setelah polis memeriksa rumah mangsa pada kira-kira pukul 9.30 malam.

“Kita percaya mayat mangsa sudah berada di situ lebih 24 jam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi ini.

Mangsa juga merupakan sepupu kepada Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Tampin, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Menurut Huzir, kejadian itu disedari oleh jirannya apabila melihat lampu di bahagian luar dan dalam rumah terus terpasang sejak beberapa hari lalu sementara telefon mangsa tidak berjawab.

Katanya, siasatan awal polis mendapati ada kesan pecah masuk ke rumah berkenaan berdasarkan kepada kesan umpilan pada jeriji rumah itu selain barangan dalam rumah yang diselongkar.

“Polis sedang menyiasat dan mencari bukti daripada tempat kejadian ini. Mayat itu sudah berada di situ lebih 24 jam,” katanya.

Mayat Allahyarham Siti Amrah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk dibedah siasat dan mencari punca kematiannya.

Difahamkan, rumah mangsa merupakan antara lokasi untuk Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau berehat sekiranya berada di Rembau atau kawasan sekitarnya.

Sementara itu, polis menahan 18 warga negara asing yang berada di sekitar kawasan berkenaan untuk membantu siasatan polis.

Read more...
Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP