Monday, January 28, 2008

Khairy enggan ulas jadi calon

PULAU PINANG - Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin enggan mengulas kedudukannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12.

Ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Skuad Sedia Gempur Pemuda UMNO Tasek Gelugor dekat sini hari ini, beliau hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum apabila diajukan soalan mengenai pencalonan dalam pilihan raya.

"Saya tidak akan bercakap mengenainya," kata Khairy walaupun ditanya bertalu-talu oleh pemberita mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, dalam satu majlis berasingan, Khairy berkata, Pemuda UMNO belum membuat sebarang perbincangan berhubung senarai nama anggotanya yang akan dicalonkan dalam pilihan raya.

Menurutnya, pergerakan itu berpendirian sebarang keputusan berhubung calon pilihan raya termasuk di kalangan anggotanya hanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.

"Kami serahkan kepada pucuk pimpinan parti, setakat ini kami belum mengadakan sebarang perbincangan mengenainya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Skuad Gerak Gempur Jentera Pilihan Raya Pemuda UMNO Bahagian Tanjong di Muzium Perang, Batu Maung di sini.

Khairy sekali lagi mengingatkan anggota pergerakan itu supaya tidak melobi untuk menjadi calon sebaliknya menumpukan kepada usaha memantapkan jentera pilihan raya di setiap kawasan.

Beliau juga meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan janji politik 'kalau' yang digunakan pembangkang bagi meraih sokongan pada pilihan raya umum akan datang.

Pembangkang, katanya, hanya pandai mencari salah kerajaan dan mempengaruhi rakyat dengan cakap-cakap yang indah didengar tetapi jika dilaksanakan mampu membuat negara menjadi porak- peranda dan muflis.

Menabur janji''Kalau bab menabur janji, pembangkang cukup hebat. Macam- macam dijanjikan kepada rakyat. Mereka sering berkata kalau saya dipilih, saya pastikan semua perbelanjaan perubatan dihapuskan, kalau saya dipilih saya akan hapuskan bayaran pendidikan. Tapi semuanya dengan 'kalau saya dipilih'.

"Perkataan 'kalau' ini sebenarnya, apa-apa pun boleh terjadi. Jangan mudah terpedaya, perkara yang dijanjikan pun tidak berpijak pada bumi yang nyata," katanya.

Khairy berkata, sejarah membuktikan pembangkang yang tidak pernah mentadbir negara hanya mampu berjanji dan bercakap kosong sedangkan mereka tidak pernah cuba membantu menyelesaikan masalah rakyat terutama isu kenaikan harga minyak, harga barang dan kos pendidikan.

Beliau menambah, rekod pilihan raya lepas memperlihatkan bahawa pembangkang gagal mencadangkan sebarang langkah berkesan yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi rakyat.

''Mereka sepatutnya tidak hanya pandai mengkritik tetapi mampu mengeluarkan sebarang cadangan atau idea alternatif untuk mengatasi masalah rakyat tetapi ia tidak pernah berlaku dalam politik mereka. Yang mereka tahu hanya kritik, kritik, kritik,'' katanya.

Khairy juga pada masa yang sama berharap rakyat tidak mudah mempercayai pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP yang terbukti hanya satu mainan politik bagi memberi persepsi kepada rakyat kononnya parti-parti pembangkang bersatu serta bersedia membentuk kerajaan alternatif.

''Tidak ada sesuatu yang baru dalam pakatan pembangkang. Di depan kelihatan kerjasama mereka baik tetapi pada asasnya parti-parti pembangkang itu cuba mengalahkan antara satu sama lain, macam kahwin mutaah, kahwin sehari, esok sudah boleh bercerai.

''Malahan setiap parti berdoa agar mereka menang dan rakan mereka akan kalah dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Khairy juga mengingatkan rakyat supaya tidak mudah mempercayai pakatan pembangkang yang memberi gambaran kepada rakyat kononnya mereka bersatu.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP