Pemuda UMNO anjur Program Pendidikan Politik
KOTA KINABALU 19 Mei - Pemuda UMNO akan menganjurkan Program Pendidikan Politik untuk ahli-ahlinya bertujuan memantap dan mengukuh pergerakan tersebut.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pengisian utama program itu sedang dirangka yang akan mengikut keperluan dan kesesuaian di sesebuah negeri.
''Program ini menjurus kepada pendidikan dan latihan kepimpinan, kita sedang dalam proses menggubal satu model baru untuk latihan ahli-ahli dan kepimpinan Pemuda UMNO.
''Penekanan kita bukan hanya sejarah parti, tetapi cabaran masa depan, contohnya memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk dijadikan alat politik dalam menyebar maklumat,'' katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda UMNO Sabah yang pertama di Bangunan UMNO negeri di sini hari ini.
Selepas mesyuarat itu, Khairy menyaksikan penyerahan jawatan Ketua Pemuda UMNO negeri daripada pemangku, Nizam Abu Bakar Titingan kepada Azman Ruslan yang juga Ketua Pemuda UMNO Keningau.
Khairy berkata, bagi negeri itu, Azman akan ditugaskan meneliti perkara-perkara yang sesuai diisi dalam program berkenaan.
Selain program itu, katanya, Pemuda UMNO negeri akan melakukan satu lagi program iaitu aktiviti masuk kampung di pedalaman yang bertujuan mendekati rakyat.
Sementara itu, beliau mengumumkan senarai kepimpinan tertinggi Pemuda UMNO negeri bagi sesi 2008 hingga 2011.
Menurutnya, Awang Kadin Tang yang juga Ketua Pemuda Sandakan dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah, manakala Shahelmey Yahya (Putatan) sebagai Penolong Setiausaha dan Yamani Hafez Musa (Sipitang) pula Penolong Bendahari.
Katanya, Baharaul Sawi (Kota Belud) pula dilantik Ketua Penerangan, manakala di peringkat bahagian, Mohd. Gasing Saling menerajui Pemuda UMNO Kalabakan, Jamawi Jaafar (Tenom), Sahar Asing (Kudat) dan Jameso Majalin (Kota Marudu).
Tambahnya, Abdul Kassim Jali (Tuaran), Mohd. Joh Wid (Sepanggar), Bahrul Razha Chuprat (Kota Kinabalu), Mohd. Haffiz Sua Abdullah (Penampang), Armizan Mohd. Ali (Papar) dan Mohamad Alamin (Kimanis).
Katanya lagi, turut dilantik Faez Ainstein Nordin (Ranau), Ishak Ibrahim (Beaufort), Mohd. Shafiq Joseph (Pensiangan), Salim Saliun (Beluran), Suhaimi Nasir (Libaran) dan Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi).
Selain itu, Matmin Etin (Kinabatangan), Halim Sidik Gulam Hassan (Silam), Mohd. Azis Jamman (Semporna) dan Ariffin Kassim (Tawau).
0 comments:
Post a Comment