Saturday, May 9, 2009

Pemuda dekati 200,000 belia Kelantan luar negeri

KOTA BHARU 8 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan akan mengambil inisiatif untuk mendekati hampir 200,000 belia Kelantan yang telah berhijrah ke negeri lain sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pendekatan tersebut perlu dilakukan secara bersepadu dan terancang bagi mendekatkan anak Kelantan kepada parti itu.

''Pemuda tidak mahu mengambil sikap untuk mendekati golongan itu pada saat akhir menjelang pilihan raya umum kerana kesannya tidak memberangsangkan.

''Menerusi Sekretariat Pemuda UMNO, pelbagai kaedah akan dilaksanakan untuk mendekati golongan sasar dengan melakukan gerak kerja yang terancang sebelum pilihan raya umum,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan di sini hari ini.

Sempena mesyuarat itu penyerahan tugas secara rasmi kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri bagi sesi 2008-2011 Anuar Safian oleh bekas penyandangnya Dali Husin.

Khairy menambah, usaha itu perlu digerakkan kerana golongan tersebut antara yang akan menentukan kemenangan kepada mana-mana parti politik yang bertanding.

''Kita akan menggunakan mekanisme terbaik sebelum melaksanakannya kerana keberkesanan daripadanya boleh digunakan pula oleh Pemuda UMNO di negeri-negeri lain,'' katanya.

Bagi menjayakannya, beliau turut turun padang ke negeri-negeri lain untuk memantau dan menyampaikan misi pemuda dan memastikan Pemuda UMNO menggerakkan strategi yang dirancang.

''Pembaharuan ini saya yakin tidak akan dilihat hasilnya dalam tempoh singkat, sebaliknya paling minimum dalam tempoh enam bulan," ujar beliau.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP