Pemuda Sabah sokong Khairy
Pemuda Umno Sabah hari ini menyatakan sokongan terbukanya kepada Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu dalam pemilihan parti Disember ini.
Ketua Pemuda Umno Sabah Datuk Japlin Akim berkata Khairy telah membuktikan ketokohannya sebagai pemimpin yang dapat memenuhi aspirasi pergerakan itu.
“Bagi saya dan rakan-rakan Pemuda di Sabah, sokongan tidak berbelah bagi kepada Khairy ini adalah kerana kami tahu komitmen beliau terhadap perjuangan Umno, dan pada masa yang sama beliau adalah seorang insan yang boleh dipimpin iaitu suka menerima pandangan rakan dan orang lain,” katanya kepada Bernama hari ini.
Japlin, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata, Khairy juga dikenali sebagai pemimpin yang berilmu, berani serta lantang menyuarakan hak-hak Pemuda.
"Beliau mesra dengan golongan muda di Sabah, dan kami berpendapat tidak ada masalah bagi mereka untuk mengemukakan permasalahan dan tuntutan Pemuda di peringkat cawangan," katanya.
Selain Khairy, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan ketua Umno bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berhasrat merebut jawatan naib presiden Umno.
0 comments:
Post a Comment