Thursday, September 4, 2008

Khairy akui Pemuda UMNO dilanda krisis keyakinan…




Kini krisis keyakinan melanda Pergerakan Pemuda UMNO bila generasi muda telah menampakkan sikap mereka tidak lagi menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO semasa pilihan raya umum lalu dan terbaru semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lepas.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin menegaskan BN/UMNO sedang berdepan dengan masalah besar iaitu penerimaan golongan muda.

Sambil mengakui suasana itu merupakan masalah masa depan Pemuda UMNO, Khairy berkata,"ramai dikalangan ahli pemuda atau umur pemuda tidak menyokong BN dan UMNO lagi, ianya menuntut satu perubahan."

Khairy berkata demikian ketika berucap semasa menjadi tetamu kehormat Program Nur Ramadhan anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Biro Agama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bagi menyampaikan sumbangan dan bantuan pada anak-anak yatim dan ibu tunggal sekitar Cheras di Dewan Utama Pusat Rekreasi Cheras, petang Rabu.

Beliau juga membangkitkan cakap-cakap banyak pihak dalam UMNO yang mendesak agar perubahan dilakukan hingga ada yang menyebut perlunya ada perubahan kepimpinan termasuk perubahan Presiden parti.

Dengan nada kesal Khairy berkata, "perkara ini telah ditangani oleh pucuk pimpinan parti dengan pelan peralihan kuasa yang tersusun dan teratur tetapi masih lagi kedengaran suara yang menuntut agar perubahan ini berlaku pada kadar segera".

"Malangnya, bila kita mendengar suara yang menuntut perubahan itu tidak pula menyatakan cara perubahan yang perlu dilakukan dalam parti kita ini, mereka seharusnya lebih spesifik, mereka perlu melakarkan dan melukiskan satu perancangan perubahan yang perlu berlaku," tambah Khairy.

Beliau berkata, "bukan kita hanya tahu mengkritik bahawa perubahan perlu berlaku kerana apa yang ada selama ini tidak memenuhi citarasa golongan muda, maka kita akan berdepan dengan persoalan dari golongan muda tentang apakah bentuk perubahan yang hendak kita lakukan untuk membolehkan parti UMNO diterima semula oleh mereka."

Khairy menganggap Pergerakan Pemuda UMNO sekarang perlu turun ke bawah menjadi pemberi khidmat, jurucakap dan pendamping masyarakat dengan menghulurkan tenaga usaha bagi membantu serta menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"UMNO bukan lagi badan yang hanya menyelesaikan masalah orang Melayu tetapi untuk semua rakyat Malaysia, UMNO perlu menjadi parti yang berjiwa besar dan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan perlu turun ke bawah memberi penerangan tentang perjuangan UMNO, Agenda Melayu dalam konteks kebangsaan terutama kepada masyarakat majmuk di Wilayah Persekutuan ini," katanya.

"Perjuangan Agenda Melayu dalam negara Malaysia yang tidak menidak hak-hak kaum lain di negara ini, dengan cara ini kita akan mendapat sokongan serta keyakinan semula dari generasi muda dari pelbagai kaum di negara ini," ujarnya.

Turut hadir di majlis tersebut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Paduka Norza Zakaria, Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali AlHabshee, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Pengerusi Biro Agama Datuk Shamsul Najmi, ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan.

-agendadaily.com

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP