Friday, July 11, 2008

Pemuda sokong peralihan kuasa

Oleh : Abdul Rahim Sabri


Pergerakan Pemuda Umno Malaysia menyokong penuh proses peralihan kuasa dari Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun atau pertengahan 2010.


Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia turut mendapat reaksi yang amat baik dari ketua-ketua bahagian yang menghadiri taklimat khas dengan perdana menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.


Selepas taklimat tersebut, Abdullah mengumumkan beliau akan menyerah kuasa kepada Najib pada Jun atau pertengahan tahun 2010. Sebelum itu, beliau mempengerusikan
mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.


Hishammuddin berkata, keputusan peralihan kuasa itu berjalan lancar dan dibuat bersama Abdullah dan Najib.


"Ia adalah permintaan dari Datuk Seri Najib (peralihan kuasa dibuat) pada masa dan keadaan yang munasabah dan diterima umum," katanya sambil menambah, peralihan yang lancar adalah sesuatu yang dituntut oleh akar umbi.


"Dan hari ini perdana menteri membuat keputusan untuk kepastian akar umbi, bagaimana kita harus membawa Umno tanpa tersasar, iaitu memperkasakan semula parti dan mendekati rakyat untuk pilihanraya akan datang. Kita harus bekerja keras untuk memenangi hati rakyat," tambahnya.


Petanda baik


Sehubungan itu, katanya, Pemuda Umno menyifatkannya sebagai satu petanda baik dan mencerminkan kebijaksanaan kepimpinan parti hari ini.


Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin gembira kerana pelan peralihan kuasa berjalan dengan lancar demi mengukuhkan parti kita.


Beliau yang juga ahli Parlimen Rembau berpendapat, peralihan kuasa yang diumumkan hari ini akan dapat meredakan politik tanahair supaya parti lebih stabil dan kukuh.


Ia juga, katanya, dapat mengelak pihak pembangkang daripada mengambil kesempatan daripada ketidaktentuan politik negara.


"Umno sentiasa ada tradisi baik dalam hal ini, di mana kita memberi satu gambaran yang jelas tentang masa depan kita dan juga peralihan kuasa yang tersusun.


"Sebagai ahli parti, dan juga selaku anggota keluarga, kita mengalu-alukan keputusan tersebut kerana amat penting kepada parti," kata Khairy yang juga menantu perdana menteri.


Tradisi parti


Ditanya sama ada beliau merasa sedih dengan peralihan kuasa tersebut, Khairy berkata:


"Tidak, kerana ia adalah sebahagian daripada tradisi parti. Tiada apa yang hendak disedihkan atau kecewa kerana perdana menteri sendiri sentiasa bercakap tentang pemimpin muda dan peremajaan (parti).


"Saya fikir ini adalah sumbangan beliau untuk memperkukuhkan kedudukan parti."


Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kepala Batas, Datuk Ahmad Darus berkata, ketua-ketua bahagian bersetuju dengan peralihan kuasa kerana ia tidak dibuat secara tergesa-gesa.


"Peralihan tidak dibuat tergesa-gesa untuk memastikan parti terus kukuh dan menguasai pilihanraya akan datang," katanya.


Menurutnya, peralihan dan perubahan pemimpin adalah suatu hakikat yang harus diterima oleh ahli-ahli Umno.

Sumber http://www.malaysiakini.com

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP