Anwar kreatif cipta kontroversi – Khairy
Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja taktik untuk menarik perhatian masyarakat kononnya nyawanya terancam.
‘‘Saya sendiri tidak menolak kemungkinan Anwar sendiri yang menyuruh pembantunya itu membuat laporan polis dan ini adalah satu taktik konspirasi beliau untuk meraih simpati orang ramai,” kata Khairy.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri perjumpaan dengan ahli-ahli Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar mengenai tindakan seorang pemuda yang membuat laporan polis mendakwa dia diliwat oleh Anwar di ibu negara.
Pemuda berusia 23 tahun itu dan merupakan pembantu khas kepada Anwar telah membuat laporan di Balai Polis Travers pada pukul 5.45 petang Khamis lalu.
‘‘Kononnya nyawa (Anwar) diancam, Anwar kini berlindung di Kedutaan Turki dan taktiknya bersembunyi di kedutaan asing mengiyakan pandangan sesetengah pihak selama ini beliau bersekongkol dan bekerjasama dengan kuasa asing.
‘‘Sepatutnya, jika benar nyawanya terancam, Anwar hendaklah membuat laporan polis dan bukannya berselindung di kedutaan asing di negara sendiri,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan taktik tersebut dan sebaliknya biarlah polis membuat siasatan mengenai dakwaan tersebut.