Tuesday, July 27, 2010

Pemuda Jangan Hanya 'Masuk Frame' Untuk Curi Perhatian - Khairy Jamaluddin


Dekatilah masyarakat dengan ikhlas, bukannya sekadar 'masuk frame' atau menonjolkan diri untuk mencuri perhatian, demikian ingatan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin kepada anggota pergerakan itu pada Ahad.

Beliau berkata, keikhlasan adalah lebih penting kerana sebagai pemimpin mereka tahu siapa yang membuat kerja dan siapa pula sebaliknya.

"Kita kena tunjuk bahawa Umno ini sentiasa dekat kepada rakyat. Sebab itu saya tegur Pemuda, sekiranya saya turun untuk membuat gotong-royong tak perlulah dikerumuni dengan rombongan... itu nampak macam kita sengaja nak masuk frame.

"Pemuda kena keluar daripada budaya nak masuk frame. Saya tahu siapa yang buat kerja. Jadi tak payahlah nak masuk frame kalau nak dinilai oleh saya sebagai Ketua Pemuda," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program gotong royong dan kenduri rakyat anjuran Pemuda Umno Bahagian Kelana Jaya di Taman Desa Ria di sini.

Khairy berkata, budaya menonjolkan diri ketika menyertai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan pemimpin perlu dihindarkan, selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengingatkan pemimpin dan pegawai kerajaan agar menjauhi budaya ingin popular.

Beliau berkata, janganlah apabila hanya ketika pemimpin atasan turun ke bawah barulah seseorang itu menonjolkan diri sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah melakukannya.

"Sebab itu saya sebagai Ketua Pemuda Umno menyahut saranan Perdana Menteri bahawa tak perlulah semua itu kerana tidak semestinya orang yang masuk dalam gambar itu orang yang buat kerja," katanya.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, dalam usaha menarik dan menambahkan sokongan generasi muda, pergerakan itu kini mula memperbanyakkan program yang melibatkan rakyat dan mengurangkan program-program berbentuk kepartian yang menjurus kepada penglibatan anggota Umno dan Barisan Nasional.

Beliau berkata, selain gotong-royong dan kenduri rakyat, pendekatan lain yang sedang dilakukan ialah program 'Jelajah One Malaysia' (JOM) yang membabitkan kerja-kerja kemasyarakatan seperti mengecat rumah dan menaik taraf kediaman rakyat.



Katanya, progam pertama JOM adalah mengunjungi Temerloh, Pahang baru-baru ini dan akan diteruskan ke seluruh negara di mana setakat ini pihaknya telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 1,000 buah rumah untuk dinaik taraf seperti membina dapur dan tandas baru.

"Program ini akan diteruskan sehingga pilihan raya umum akan datang kerana yakin lebih berkesan daripada hanya berceramah kerana ia terus menyentuh hati rakyat dan pengundi,"katanya.

Khairy berkata, pergerakan itu juga mensasarkan untuk mendaftarkan kira-kira 150,000 anggota Pemuda di seluruh negara sebagai pemilih menjelang akhir tahun ini.

Beliau turut menyeru semua parti komponen BN terutamanya MCA, MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) untuk sama-sama berusaha menambah keahlian baru dan menurutnya usaha itu penting kerana parti pembangkang terutamanya DAP begitu agresif menambah keahlian.

Katanya, setakat ini DAP telah berjaya mendaftar ahli baru sebanyak 55,000 orang berbanding Umno 53,000 dan jika dicampur pendaftaran daripada PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), jumlah pendaftaran keahlian baru pembangkang adalah sebanyak 100,000 orang.

Sumber: BERNAMA

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP