Khairy Jamaluddin : Gelagat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat
Mutakhir ini kita dikejutkan dengan beberapa insiden dan isu yang mempamerkan betapa Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat antara tidak telus dan tidak kompeten melaksanakan tanggungjawab mentadbir negeri.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, di Selangor, kepimpinan YAB Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah lama dipersoalkan, termasuk oleh pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri. Skandal perlombongan pasir haram yang melanda kepimpinan Tan Sri Khalid menjadi episod terbaru dalam siri insiden pentadbiran longgar Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Apa yang menimbulkan kekesalan di kalangan rakyat bukan sekadar kejadian perlombongan pasir haram yang merugikan rakyat serta mengancam alam sekitar, malah juga respon dari Kerajaan Negeri yang seakan berada dalam sindrom penafian. Daripada kenyataan beliau, Tan Sri Khalid seperti tidak tahu menahu mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
Contohnya, laporan media pada 12 Julai yang mendedahkan aktiviti perlombongan pasir haram di Kampung Bukit Changgang dinafikan langsung oleh Tan Sri Khalid. Beliau tanpa ragu-ragu mengatakan bahawa gambar-gambar dalam akhbar harian sebenarnya menunjukkan aktiviti perlombongan di Kampung Olak Lempit, sungguhpun 30 wartawan akhbar telah pergi ke lokasi perlombongan haram itu sendiri. Kemudian kita dimaklumkan bahawa sebenarnya memang wujud aktiviti perlombongan yang dibenarkan Kerajaan Negeri di Kampung Bukit Changgang Persoalannya, apakah kualiti kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor sedangkan Menteri Besarnya sendiri seperti keliru lokasi sebenar aktiviti perlombongan di negeri sendiri?
Tidak cukup dengan itu, pada 17 Julai, Tan Sri Khalid tanpa segan silu menafikan sebarang pengetahuan wujudnya kontraktor-kontraktor kecil yang menjadi "orang tengah" dalam kegiatan perlombongan pasir di Selangor. Menjadi satu kekhuatiran yang cukup besar bagi rakyat sekiranya fenomena asas seperti kewujudan kontraktor kecil pun tidak diketahui seorang Menteri Besar. Bayangkan sahaja, apakah lagi yang sedang berlaku tanpa pengetahuan Menteri Besar Selangor?
Barangkali sebab ketidakmampuan pentadiran Kerajaan Negeri, mereka telah memohon bantuan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah pasir ini. Anehnya, dalam isu pembinaan loji rawatan air pula, Kerajaan Negeri enggan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat sungguhpun krisis bekalan air di Selangor agak genting sehingga mampu menyebabkan pencaturan air pada tahun 2014. Di manakah keikhlasan Kerajaan Negeri Selangor sekiranya perkara yang membabitkan kepentingan langsung rakyat seperti bekalan air pun cuba dipolitikkan?
Kalau Menteri Besar Selangor dengan gelagatnya yang tidak kompeten dan tidak tahu apa yang berlaku di negeri sendiri, Ketua Menteri Pulau Pinang pula mempamerkan sikap seorang yang tidak layak digelar pemimpin, jauh lagi seorang negarawan. YAB Lim Guan Eng menyerang habis-habisan Nik Ali Mat Yunus, seorang Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) gara-gara beberapa isu termasuklah kes kecurian pasir di tapak cadangan membina politeknik di Balik Pulau atas tanah milik Kerajaan Pusat, sungguhpun aspek pemantuan adalah di bawah bidangkuasa agensi Kerajaan Negeri. Apapun isu yang menimbulkan konflik antara Lim Guan Eng dan Nik Ali, seorang Ketua Menteri tidak wajar menyerang keperibadian seorang penjawat awam dengan menggunakan ungkapan seperti "tidak berguna", "lidah biawak" dan "pengecut".
Apakah jenis pemimpin sekiranya seorang SDO pun habis dimaki? Lim Guan Eng sepatutnya memfokuskan masa dan usaha kepada isu-isu lain yang membabitkan kepentingan rakyat Pulau Pinang, bukannya menyerang keperibadian kakitangan awam. Kenyataan-kenyataan Lim Guan Eng menggambarkan seorang manusia yang cepat melatah dan mudah membenci. Beliau juga perlu akur bahawa kakitangan awam merupakan nadi pentadbiran sesebuah Kerajaan, dan mereka tidak wajar dipandang serong oleh ahli politik seperti Lim Guan Eng yang menggambarkan mereka ini seolah-olah mendapat bayaran lumayan tetapi tidak mendatangkan apa-apa kebaikan untuk rakyat.
Semua perkembangan ini menggambarkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak kompeten dalam melaksanakan amanah selaku pemimpin. Sikap bongkak, kabur fakta, malahan biadap yang dipamerkan sudah cukup menimbulkan tanda tanya sejauh mana kemampuan pentadbiran Pakatan Rakyat. Jika setakat memimpin beberapa buah negeri pun sudah menimbulkan pelbagai masalah, kita wajar mempersoalkan kesediaan mereka untuk memegang tampuk kepimpinan pusat.
Sumber: rembau.net.my