Mana Buktinya?
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaludin serah kepada rakyat untuk menilai Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal menyahut cabarannya supaya membuktikan dalam tempoh 48 jam mengenai dakwaannya bahawa anggota Parlimen Bebas diberi imbuhan RM2 juta untuk meninggalkan PKR.
Katanya Ketua Pembangkang itu jelas telah membohongi rakyat bila bercakap di Dewan Rakyat dengan menuduh UMNO dan Barisan Nasional terbabit dalam kes lompat parti itu.
"Pemuda UMNO akan berbincang dengan peguam untuk langkah selanjutnya tetapi kita mahu rakyat membuat penilaian terhadap Anwar yang gagal muncul menjawab cabaran saya itu," katanya di sidang media di lobi Parlimen, petang Selasa.
Ditanya samada satu tindakan laporan polis akan dibuat kerana kegagalan Anwar menyahut cabaran itu, Khairy berkata, "tidak ada apa tindakan tetapi Anwar kena bertanggungjawab terhadap tuduhannya itu, kata ada bukti tetapi tak nak tunjuk bukti."
"Kita belum memikirkan laporan polis terhadap Anwar kerana menyimpan bukti jenayah kerana kalau ianya rasuah merupakan jenayah," jelasnya.
Menurutnya, sekiranya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu gagal tunjuk bukti maka tidak perlulah dibuat laporan polis, dengan sendirinya rakyat tahu Anwar bohong."
Anwar Ibrahim semasa menjawab soalan wartawan di sidang media di lobi Parlimen Khamis lalu berdolak-dalik berhubung dakwaannya bahawa beliau mempunyai bukti beberapa wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibayar RM2 juta.
Katanya beliau tetap akan mendedahkannya kepada umum apabila tiba masanya.
sumber Agendadaily