Wednesday, June 16, 2010

Khairy: Utamakan biasiswa, saya sedia sidang di Parlimen ‘bocor’

Pergerakan Pemuda Umno hari ini menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk mengurangkan jumlah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diberikan kepada pelajar-pelajar melanjutkan pengajian ijazah di luar negeri.

Justeru, Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata selaku anggota Dewan Rakyat beliau sanggup bersidang di bangunan Parlimen sedia ada yang disebut-sebutkan akan dipindahkan ke Putrajaya atas alasan demi keselesaan dan kerana bocor.

“Saya sedia duduk dalam bangunan Parlimen sedia ada jikapun ada kebocoran siling sekali-sekala daripada melihat sejumlah wang besar dibelanjakan untuk keselesaaan Ahli Parlimen sedangkan ia boleh digunakan untuk menjanjikan masa hadapan lebih cerah untuk negara dan anak-anak kita,” katanya.

Kata Khairy, pihaknya menerima hakikat bahawa kos menampung pengajian luar negeri adalah amat tinggi, tetapi berpandangan bahawa ini merupakan pelaburan yang membawa pulangan jauh lebih tinggi kepada negara Malaysia dalam bentuk modal insan yang berkelulusan tinggi.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan pemberhentian pemberian 1,500 biasiswa JPA bagi pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara mulai tahun depan akan dilakukan secara berperingkat.

“Kita kurangkan secara berperingkat. Ini soal kemampuan kerana perbelanjaan untuk seorang pelajar terlalu mahal. Lebih untung kalau kita belanjakan untuk orang ramai,” katanya.

Namun, mereka yang mendapat tempat di universiti terkemuka seperti Oxford dan Cambridge, masih boleh memohon untuk diberikan biasiswa.

Pengagihan biasiswa JPA yang dianggap tidak adil menjadi isu sekali lagi baru-baru ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional menegaskan, berdasarkan rasional itu Pemuda Umno menggesa Kerajaan menambah jumlah biasiswa luar negeri JPA untuk anak-anak muda Malaysia.

”Dan, bukan mengurangkan jauh lagi menghapuskan peruntukan ini,” kata beliau dalam pandangannya dikeluarkan menerusi blognya. Ahli Parlimen Rembau itu menambah, berdasarkan maklum balas daripada kalangan orang ramai, satu-satunya isu utama berkenaan biasiswa JPA ini adalah kaedah pembahagiannya.

Oleh itu kata Khairy, kriteria pemberian biasiswa perlu jelas, telus dan berlandaskan merit di samping mengambil kira Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk memastikan pulangan maksima kepada negara, Pemuda Umno mencadangkan agar biasiswa ijazah sarjana muda luar negeri diberi dengan kriteria yang adil dan telus serta hanya untuk kursus-kursus kritikal dalam universiti terkemuka seperti institusi-institusi yang tergolong dalam kedudukan 10 tertinggi di dunia,” katanya.

Sehubungan itu beliau juga menegaskan, amat sukar bagi rakyat menerima keputusan mengurangkan jumlah biasiswa JPA tatkala kerajaan sedia membelanjakan RM800 juta untuk bangunan Parlimen baru di samping berita berhubung kait dangan peningkatan kos pembinaan Istana Negara baru yang juga dijangka mencecah RM800 juta.

“Dari perspektif rakyat, jumlah besar untuk membina bangunan Parlimen baru itu lebih sesuai diperuntukkan untuk biasiswa yang menjadi teras pembangunan modal insan.

“Apatah lagi, keputusan mengurangkan jumlah biasiswa ini dibuat hanya beberapa hari selepas YAB Perdana Menteri mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-10 yang menyasarkan negara kita mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

“Jika benar kerajaan serius dengan objektif ini, maka pembiayaan biasiswa perlu ditingkatkan kerana pendidikan berkualiti tinggi adalah asas kepada sebuah negara yang maju,” katanya.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP