Wednesday, June 30, 2010

Ulama Umno fokus program 'kukuhkan iman'


Sekumpulan ulama muda yang menyertai Umno baru-baru ini membentangkan beberapa cadangan, antaranya bagi mengukuhkan pegangan agama dan akidah umat Islam kepada pergerakan Pemuda parti itu malam tadi.

Menurut jurucakap kumpulan itu Fathul Bari Mat Jahaya , dalam perbincangan yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, selain mahu memfokuskan kepada program pengukuhan iman dan akidah, ulama muda mahu mengetengahkan konsep "Islam for All" (Islam untuk semua).

"(Hasilnya) Positif. Hasrat kita hendak berdakwa disambut baik oleh Khairy. Kita akan buat mesyuarat susulan.

"Setakat ini cuma bincang dulu cadangan-cadangan yang boleh dibuat," kata Fathul yang juga anak bekas mufti Perlis Mat Jahaya Yussin.

Fathul - Ulama lepasan universiti di Madinah dan Jordan itu - diminta mengulas pertemuan dua jam kumpulannya dengan exco-exco Pemuda Umno di ibu pejabat pergerakan itu di Kuala Lumpur pada jam 8.45 malam tadi.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Fathul bagaimanapun menjelaskan, semua cadangan itu masih di peringkat awal dan akan dibincangkan lagi dengan pertemuan-pertemuan susulan selepas ini, termasuk dengan pelbagai pihak lagi dalam Umno.

"Pertemuan semalam lebih kepada taaruf (berkenalan) dan mengenali struktur Umno sebagai sebuah organisasi," kata penasihat agama di Institut Jantung Negara (IJN) itu.

Ditanya sama ada cadangan Islam for All itu mahu menyaingi pendekatan PAS for All dalam parti lawan, Fathul sambil ketawa menafikannya.

"Kami mahu gambarkan Islam itu untuk semua, bukan semata-mata untuk pihak tertentu, orang tertentu dan bangsa tertentu," katanya ulama dalam bidang hadis itu.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah sebenar ulama yang menyertai mesyuarat malam tadi. Beliau sebaliknya hanya berkata "ramai".

Sementara itu, Fadlan Mohd Osman - yang mengetuai kumpulan 40 ulama menyerahkan borang keahlian Umno kepada presidennya Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu - pula berkata kemungkinan kumpulan itu akan bergerak melalui satu biro khas dalam pergerakan itu.

"Hasrat berdakwah itu disambut baik oleh Khairy, mungkin dengan pembentukan lajnah (biro)," kata pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

"Semua ini masih di peringkat idea. Kita akan drafkan dulu cadangan kepada Pemuda dan Umno."

Read more...

Sunday, June 27, 2010

PEMUDA PERLU BERANI BERSUARA

REMBAU, 27 JUN – “Dalam Parti UMNO kita perlu berani. Apa guna menjadi pemimpin jika takut pada kritikan hingga kita sewenang-wenangnya diperlekehkan oleh pembangkang.”

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau, YB Khairy Jamaluddin berkata demikian sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Rembau 2010 di Dewan Sri Rembau, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Pengerusi Pemuda BN menegaskan pendirian beliau mempertahankan rakan-rakan dalam komponen Barisan Nasional demi menjaga kekuatan kerajaan Barisan Nasional selaras menjadikan matlamat untuk beroleh kemenangan besar pada PRU akan datang.

“Apa guna kita menjadi pemimpin kalau kita tidak dapat menjaga anak-anak buah kita hingga kita biarkan musuh kita mencemuh dan menghina kita?”

Khairy turut berkata, setiap pimpinan Pemuda harus menanam sikap kesedaran dalam diri dan tidak leka dalam perjuangan Pemuda.Beliau juga berharap agar pimpinan-pimpinan Pemuda di setiap cawangan dapat menambah keahlian yang ada.

Sejurus menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat dimulakan oleh pengerusi majlis. Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Rembau di sini, hari.







Read more...

Saturday, June 26, 2010

Khairy anggap Perkasa penghalang 1Malaysia

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa pendekatan yang digunakan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terhadap sesuatu isu merupakan penghalang kepada semangat 1Malaysia.

Beliau berkata, meskipun niat Perkasa untuk memperjuangkan keistimewaan kaum pribumi negara ini adalah murni, namun presiden pertubuhan itu, Datuk Ibrahim Ali mengambil cara yang tidak bertepatan dengan konsep 1Malaysia dalam menyuarakan pandangan.

Katanya, pendekatan Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi laku untuk diguna pakai dalam era globalisasi.

"Ibrahim Ali, Perkasa punya pendekatan adalah penghalang kepada 1Malaysia. Konsep 1Malaysia tidak akan gadaikan orang Melayu tetapi cara yang beliau buat memang tidak memupuk perpaduan seperti yang dituntut 1Malaysia.

"Beliau ahli politik jaguh kampung, dalam zaman globalisasi, mana boleh. Sudah lapuk, tidak laku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini hari ini.

Khairy sebelum itu ditanya mengenai kenyataan Ibrahim yang mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana dikatakan membelakangkan agenda Melayu.

Ia berikutan tindakannya mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kelmarin, Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menafikan bahawa beliau mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, jika Perkasa benar-benar ingin membantu orang Melayu, Ibrahim patut melihat bagaimana perubahan untuk mencapai kemajuan itu perlu dibawa.

"Dia (Ibrahim) gaduh sahaja. Suruh dia ini letak jawatan, cabar orang itu. Ini bukan politik yang baik," katanya sambil menegaskan beliau tidak akan melayan desakan Ibrahim itu.

Katanya, Ibrahim tiada hak untuk memintanya berbuat demikian kerana Ahli Parlimen Pasir Mas itu bukan ahli UMNO dan bukan pengundi di kawasan yang diwakilinya sebagai wakil rakyat.

Menurut beliau, dia bukan mempertahankan kenyataan Ka Siong tetapi menganggap Ketua Pemuda MCA itu tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung isu pemberian biasiswa JPA.

"Bagi saya tidak timbul soal sensitif daripada Ka Siong dan saya menyarankan Ibrahim supaya jangan menimbulkan isu-isu seperti ini nak melagakan kita dalam Barisan Nasional (BN).

"Dia bukan ahli BN, jaga kawasan sendiri cukuplah di Pasir Mas," katanya.

Read more...

PM: Kerajaan tidak akan keluar lesen judi sukan




Kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen judi sukan atas pertimbangan agama dan juga kesan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini, dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.

Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.

Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata:

"Saya percaya mereka akan menerima keputusan tersebut.'

Menjawab soalan, perdana menteri berkata, Ascot Sports Sdn Bhd telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Read more...

Friday, June 25, 2010

Tidak wajar desak Khairy letak jawatan



KUALA LUMPUR 24 Jun - Tindakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendesak Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana dikatakan membelakangkan agenda Melayu sebagai tidak wajar.

Sambil turut menyifatkan desakan berkenaan tidak munasabah sama sekali, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, soal 'menjual bangsa sendiri' tidak timbul.

''Ia kerana Khairy selaku Ketua Pemuda UMNO merupakan antara ahli Parlimen pertama membantah cadangan pengecilan penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar-pelajar Malaysia yang cemerlang melanjutkan pengajian mereka ke luar negara.

''Pengecilan penawaran biasiswa ke luar negara tajaan JPA akan memberikan impak besar terhadap peluang pelajar Melayu dan bumiputera terutamanya mereka yang benar-benar cemerlang bagi mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Reezal Merican mengulas kenyataan Ibrahim yang mendesak Khairy meletakkan jawatan apabila Ketua Pemuda UMNO tersebut mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa JPA.

Semalam Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menafikan bahawa beliau mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kenyataan balas Khairy terhadap Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas semalam adalah dengan niat bagi memperjelaskan keadaan sebenar berkaitan kenyataan oleh Ka Siong dalam konteks yang lebih tepat.

''Ia sekali gus bagi menjernihkan suasana agar ia tidak menjadi salah tanggapan dan polemik yang berpanjangan.

''Selaku Ketua Pemuda UMNO, Khairy tentu sekali mendokong asas perjuangan parti yang tidak pernah menolak, tidak pernah berkompromi dan jauh sekali membelakangkan kepentingan agenda Melayu dan bumiputera,'' katanya.

Read more...

Siapa Ibrahim Ali ?




Presiden Perkasa bukannya satu jawatan yang boleh membuat Ibrahim Ali sewenang wenangnya membuat kenyataan mengarahkan mana mana Ahli Parlimen BN meletakkan jawatan atau berhenti dari menjadi ahli Parlimen. Siapakah Ibrahim Ali , beliau bukanlah ahli UMNO dan beliau Adalah pembangkang yang bertanding di atas tiket Pas dan keluar dari Pas menjadi ahli Bebas.

Setelah melompat dari ahli UMNO menjadi pembangkang menyertai semangat 46 kemudian masuk balik UMNO dan lompat kembali kepada PAS dan kini lompat lagi sehingga tidak ada lagi tempat untuk melompat akhirnya menubuhkan Perkasa untuk menyelamatkan politik beliau yang kini sudah tidak bertapak.

Menuduh Khairy Jamaluddin menjual bangsa Melayu sememangnya satu tuduhan murahan yang sebagaj mahu mempopular kan diri dan adalah merupakan tuduhan yang jahat, Khairy Jamaluddin yang memperjuangakan agar biasiswa JPA tidak di mansuh kan kerana ramai anak Melayu yang mendapat Biasiswa berkenaan diputar belit kan Kenyataan Khairy ini untuk mengelirukan rakyat. Sebenarnya tidak langsung ada isu bahawa Khairy meminta Biasiswa MARA di mansuhkan dan langsung tidak menyentuh mengenai isu itu.

Bantahan Pemuda mengenai lesen judi juga membayangkan Khairy berjiwa Melayu dan sebagai Ketua Pemuda UMNO sikap Khairy memperjuang hak Melayu tidak perlu dipertikaikan, Ibrahim Ali jika mahu meraih populariti carilah cara yang lebih baik dan bukan hanya sekadar membuat andaian sahaja.

Tuduhan Ibrahim Ali bahawa Khairy Jamaluddin berkompromi mengenai kepentingan Melayu dengan ketua Pemuda UMNO sdr Wee Ka Siong sebenarnya sememangnya tidak berasas. Ibrahim Ali tidak perlu mencuba ke populariti beliau dengan cuba melagakan Pemuda MCA dan Pemuda UMNO. Mereka adalah dari gabungan BN dan selaku Pengerusi Pemuda BN , Khairy berhak mempertahankan kebenaran khususnya apabila Kenyataan Ketua Pemuda MCA di salah ertikan oleh Presiden Perkasa.

Read more...

Thursday, June 24, 2010

Lesen Pertaruhan Sukan Bolasepak

Sewaktu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tawau pagi tadi, saya telah mengumumkan pendirian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) berhubung isu lesen pertaruhan atau judi sukan bolasepak.

Walaupun pendirian ini telahpun disampaikan kepada pucuk pimpinan melalui saluran dalaman sebelum ini, kini saya rasa terpanggil untuk menyatakan pendirian Pemuda UMNO secara terbuka kerana masih ada tekanan dari pihak-pihak tertentu untuk menjayakan permohonan Ascot Sports. Syarikat itu juga telah memberi gambaran kononnya mereka telah menerima kelulusan dari Kementerian Kewangan untuk memulakan operasi dengan menawarkan pertaruhan bagi perlawanan bolasepak.

Memandangkan YAB Perdana Menteri masih memberi ruang untuk maklum balas umum mengenai perkara ini, maka Pemuda UMNO mengambil kesempatan ini untuk melahirkan pendirian kami berdasarkan kepada kebimbangan generasi muda.

Pendirian Pemuda UMNO mengambil kira beberapa perkara, antaranya:

1) Lesen pertaruhan ini tidak diterima dengan baik oleh majoriti rakyat Malaysia tidak kira agama. Sudah tentunya umat Islam membantah sebarang cadangan sebegini kerana ia bertentangan dengan ajaran agama disamping tidak yakin dengan jaminan bahawa orang beragama Islam tidak akan terlibat dengan gejala judi ini, walaupun dikendalikan oleh pengusaha berlesen.

Bukan sekadar itu, ramai orang bukan Islam juga tidak bersetuju dengan cadangan pemberian lesen ini, lebih-lebih lagi apabila ada suara yang menyatakan bahawa judi itu adalah sebahagian dari budaya mereka.

2) Hujah bahawa judi sudahpun menjadi perkara yang lazim melalui pasaran pertaruhan haram yang berleluasa juga dapat disanggah apabila kita melihat penguatkuasaan yang berkesan dalam dua minggu yang lepas ini. Isunya bukan sama ada judi itu adalah sebahagian daripada realiti lantas wajar dihalalkan, tetapi yang penting adalah iltizam untuk menguatkuasa undang-undang sedia ada bagi membanteras kegiatan jenayah ini. Mutakhir ini kita membaca laporan mengenai serbuan dan operasi pihak polis membanteras gejala judi habis-habisan. Ini membuktikan bahawa jika ada komitmen dan iltizam, maka masalah judi haram boleh ditangani. Pemuda UMNO di sini juga menggesa agar penguatkuasaan yang kita saksikan akhir-akhir ini bukan bermusim dek kerana isu lesen pertaruhan ini hangat atau musim Piala Dunia, sebaliknya penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berterusan.

3) Persoalan juga timbul mengapa Ascot Sports telah membuat kenyataan mengenai lesen yang kononnya bakal diberi kepadanya tanpa sebarang kelulusan dari Kementerian Kewangan? Bukankah sepatutnya lesen ini ditawarkan secara tender terbuka? Alasan bahawa lesen yang diberi ini kononnya adalah untuk memperbaharui lesen yang pernah diberi dahulu tidak boleh diterima sama sekali kerana lesen tersebut telah pun luput. Maka, Ascot Sports tidak lagi mempunyai hak penafian pertama atau first right of refusal.

Oleh sebab-sebab di atas, Pemuda UMNO membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan pemberian lesen judi atau pertaruhan sukan bolasepak dan berharap bahawa Kerajaan akan mengumumkan keputusan muktamad mengenai perkara ini dalam masa terdekat, setelah mengambilkira sentimen dan maklum balas dari rakyat Malaysia.

Read more...

Khairy Pertahan Kenyataan Wee Berhubung Isu Biasiswa




KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Khairy Jamaludin berkata kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berhubung isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak berunsur perkauman sebaliknya bertujuan mempertahankan pemberian biasiswa itu.

Beliau berkata dakwaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali kononnya Wee mempersoalkan kontrak sosial dan tidak menghormati perlembagaan persekutuan adalah tidak berasas.

Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, beliau mempertahankan kenyataan Wee kerana telah mendengar sendiri rakaman asal kenyataan itu dan daripada penjelasan yang diberikan juga beliau mendapati tiadanya unsur perkauman dalam kenyataan itu.

"Apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Wee, saya rasa tak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan itu adalah kenyataan perkauman yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, hak serta kedudukan bumiputera.

"Wee buat contoh, biasiswa JPA ini adalah satu-satunya peluang untuk pelajar-pelajar bukan bumiputera dapat biasiswa dari kerajaan. Jadi dia kata, apakah perasaan masyarakat bumiputera sekiranya biasiswa dan pinjaman Mara itu ditarik balik," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen yang turut dihadiri Wee.

Khairy berkata Ibrahim mungkin tidak sedar bahawa tindakan Wee mempertahankan biasiswa JPA itu sebenarnya turut mempertahankan biasiswa untuk kaum Melayu kerana majoriti mereka yang memperoleh biasiswa adalah kalangan orang Melayu.

"Jadi saya tak faham mengapa ini dipersoalkan. Mungkin cara kenyataan itu dilaporkan boleh menimbulkan persoalan tapi apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Wee, saya rasa tak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan itu adalah kenyataan berunsurkan perkauman," katanya.

Wee pula berkata kenyataan beliau tidak sekali-kali mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dan beliau tidak pernah menyebut bahawa kerajaan perlu memansuhkan biasiswa Mara.

"Saya kesal kerana pihak berkenaan tidak mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu sebaliknya cuba mencipta isu perkauman bagi menarik perhatian umum dan menjadi juara hak-hak Melayu," katanya.

Ibrahim yang turut mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen, masih berpendirian bahawa kenyataan Wee sememangnya bermaksud mempertikaikan hak bumiputera untuk mendapatkan biasiswa.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, Wee sepatutnya tidak mengheret isu pemberian biasiswa Mara dalam kenyataannya kerana biasiswa Mara adalah hak keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ibrahim juga menafikan bahawa kecaman yang dibuatnya bertujuan mendapatkan publisiti murahan tetapi apa yang dinyatakan adalah berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Unit Penyelidikan Perkasa yang bertanggungjawab memantau semua laporan yang dikeluarkan dalam akhbar termasuk yang berbahasa Mandarin dan Tamil serta blog.

"Sebenarnya, ini bukan kali pertama beliau mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan mempertikaikan aktiviti Perkasa. Sebelum ini beliau juga mendakwa resolusi yang dicapai ketika Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu yang turut dianggotai Perkasa pada 29 Mei lalu sebagai primitif," katanya.-- BERNAMA

Read more...

Wednesday, June 23, 2010

Mana Buktinya?

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaludin serah kepada rakyat untuk menilai Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal menyahut cabarannya supaya membuktikan dalam tempoh 48 jam mengenai dakwaannya bahawa anggota Parlimen Bebas diberi imbuhan RM2 juta untuk meninggalkan PKR.

Katanya Ketua Pembangkang itu jelas telah membohongi rakyat bila bercakap di Dewan Rakyat dengan menuduh UMNO dan Barisan Nasional terbabit dalam kes lompat parti itu.

"Pemuda UMNO akan berbincang dengan peguam untuk langkah selanjutnya tetapi kita mahu rakyat membuat penilaian terhadap Anwar yang gagal muncul menjawab cabaran saya itu," katanya di sidang media di lobi Parlimen, petang Selasa.

Ditanya samada satu tindakan laporan polis akan dibuat kerana kegagalan Anwar menyahut cabaran itu, Khairy berkata, "tidak ada apa tindakan tetapi Anwar kena bertanggungjawab terhadap tuduhannya itu, kata ada bukti tetapi tak nak tunjuk bukti."

"Kita belum memikirkan laporan polis terhadap Anwar kerana menyimpan bukti jenayah kerana kalau ianya rasuah merupakan jenayah," jelasnya.

Menurutnya, sekiranya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu gagal tunjuk bukti maka tidak perlulah dibuat laporan polis, dengan sendirinya rakyat tahu Anwar bohong."

Anwar Ibrahim semasa menjawab soalan wartawan di sidang media di lobi Parlimen Khamis lalu berdolak-dalik berhubung dakwaannya bahawa beliau mempunyai bukti beberapa wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibayar RM2 juta.

Katanya beliau tetap akan mendedahkannya kepada umum apabila tiba masanya.

sumber Agendadaily

Read more...

Dewan Rakyat: Masalah Brain Drain Tidak Akan Selesai Jika Pembangkang Terus Beri Persepsi Buruk

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Masalah "brain drain" (penghijrahan tenaga mahir) di negara ini tidak akan berakhir sekiranya pembangkang berterusan memberikan persepsi buruk terhadap pentadbiran negara, termasuk dakwaan wujudnya diskriminasi dalam sektor pekerjaan.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata dakwaan itu memberikan imej buruk negara di mata pakar-pakar dan golongan profesional Malaysia di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air.

"Bagi saya antara masalahnya ialah pembangkang sendiri tidak ada kepentingan negara sebab tanggapan yang diberi oleh pembangkang kepada anak-anak muda kita yang di luar negara adalah apabila balik ke sini semuanya buruk belaka.

"Diskriminasi, tiada peluang naik pangkat, tiada peluang naik gaji. Persepsi pembangkang sendiri mencemarkan imej negara," katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Selasa.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang sebelum itu mendakwa kerajaan tidak menawarkan insentif menarik untuk membawa pulang tenaga mahir Malaysia di luar negara, bangun mencelah dengan berkata kenyataan Khairy itu tidak bertanggung jawab kerana menyalahkan pembangkang.

Khairy berkata kerajaan tidak pernah lepas tangan dalam menyelesaikan isu "brain drain" ini dengan mewujudkan Talent Corporation bagi menarik dan mengekal modal insan berkemahiran yang diperlukan termasuk rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi.

"Perkara ini ditangani dalam RMK-10 dengan penubuhan Talent Corporation. Ini satu usaha yang sangat baik untuk melihat bagaimana kita dapat membawa pulang bakat-bakat di luar negara," katanya sambil menambah bahawa masalah brain drain turut wujud di negara India dan China.

Persidangan dewan disambung esok.



-- BERNAMA

Read more...

Monday, June 21, 2010

Anwar dicabar dedah bukti dalam 48 jam




Ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mencabar ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan bukti dalam tempoh 48 jam berhubung dakwaan bahawa ahli parlimen Bebas diberi imbuhan RM2 juta untuk berpaling tadah.

Beliau berkata, sekiranya Anwar gagal mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu sehingga Isnin ini, maka ahli parlimen Permatang Pauh itu boleh dianggap melakukan satu pembohongan besar kepada rakyat.

"Kalau ada bukti tunjukkan dengan segera, jangan meracuni pemikiran rakyat dalam ceramah dengan memburukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terbabit dalam kes lompat parti," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Bagan Datoh, malam semalam.


Ahli parlimen Rembau itu berkata, tindakan kelima-lima ahli parlimen Bebas keluar PKR adalah disebabkan krisis dalaman parti itu sendiri, dan bukan didalangi Umno atau BN.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga ketua pemuda BN, berkata sayap berkenaan sudah bersiap-sedia mengemaskini jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

- Bernama

Read more...

Wednesday, June 16, 2010

Khairy: Utamakan biasiswa, saya sedia sidang di Parlimen ‘bocor’

Pergerakan Pemuda Umno hari ini menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk mengurangkan jumlah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diberikan kepada pelajar-pelajar melanjutkan pengajian ijazah di luar negeri.

Justeru, Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata selaku anggota Dewan Rakyat beliau sanggup bersidang di bangunan Parlimen sedia ada yang disebut-sebutkan akan dipindahkan ke Putrajaya atas alasan demi keselesaan dan kerana bocor.

“Saya sedia duduk dalam bangunan Parlimen sedia ada jikapun ada kebocoran siling sekali-sekala daripada melihat sejumlah wang besar dibelanjakan untuk keselesaaan Ahli Parlimen sedangkan ia boleh digunakan untuk menjanjikan masa hadapan lebih cerah untuk negara dan anak-anak kita,” katanya.

Kata Khairy, pihaknya menerima hakikat bahawa kos menampung pengajian luar negeri adalah amat tinggi, tetapi berpandangan bahawa ini merupakan pelaburan yang membawa pulangan jauh lebih tinggi kepada negara Malaysia dalam bentuk modal insan yang berkelulusan tinggi.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan pemberhentian pemberian 1,500 biasiswa JPA bagi pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara mulai tahun depan akan dilakukan secara berperingkat.

“Kita kurangkan secara berperingkat. Ini soal kemampuan kerana perbelanjaan untuk seorang pelajar terlalu mahal. Lebih untung kalau kita belanjakan untuk orang ramai,” katanya.

Namun, mereka yang mendapat tempat di universiti terkemuka seperti Oxford dan Cambridge, masih boleh memohon untuk diberikan biasiswa.

Pengagihan biasiswa JPA yang dianggap tidak adil menjadi isu sekali lagi baru-baru ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional menegaskan, berdasarkan rasional itu Pemuda Umno menggesa Kerajaan menambah jumlah biasiswa luar negeri JPA untuk anak-anak muda Malaysia.

”Dan, bukan mengurangkan jauh lagi menghapuskan peruntukan ini,” kata beliau dalam pandangannya dikeluarkan menerusi blognya. Ahli Parlimen Rembau itu menambah, berdasarkan maklum balas daripada kalangan orang ramai, satu-satunya isu utama berkenaan biasiswa JPA ini adalah kaedah pembahagiannya.

Oleh itu kata Khairy, kriteria pemberian biasiswa perlu jelas, telus dan berlandaskan merit di samping mengambil kira Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk memastikan pulangan maksima kepada negara, Pemuda Umno mencadangkan agar biasiswa ijazah sarjana muda luar negeri diberi dengan kriteria yang adil dan telus serta hanya untuk kursus-kursus kritikal dalam universiti terkemuka seperti institusi-institusi yang tergolong dalam kedudukan 10 tertinggi di dunia,” katanya.

Sehubungan itu beliau juga menegaskan, amat sukar bagi rakyat menerima keputusan mengurangkan jumlah biasiswa JPA tatkala kerajaan sedia membelanjakan RM800 juta untuk bangunan Parlimen baru di samping berita berhubung kait dangan peningkatan kos pembinaan Istana Negara baru yang juga dijangka mencecah RM800 juta.

“Dari perspektif rakyat, jumlah besar untuk membina bangunan Parlimen baru itu lebih sesuai diperuntukkan untuk biasiswa yang menjadi teras pembangunan modal insan.

“Apatah lagi, keputusan mengurangkan jumlah biasiswa ini dibuat hanya beberapa hari selepas YAB Perdana Menteri mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-10 yang menyasarkan negara kita mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

“Jika benar kerajaan serius dengan objektif ini, maka pembiayaan biasiswa perlu ditingkatkan kerana pendidikan berkualiti tinggi adalah asas kepada sebuah negara yang maju,” katanya.

Read more...

Tuesday, June 15, 2010

Video Rally 1Malaysia











Read more...

Sunday, June 13, 2010

Khairy gesa k'jaan segera beri penjelasan




Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyeru kerajaan supaya segera membuat penjelasan berhubung pemberian lesen judi sukan kepada syarikat Berjaya.

Katanya, masyarakat perlu diberi penjelasan mengenai duduk perkara sebenar memandangkan perkembangan isu tersebut mengundang banyak laporan bercanggah.

"Itu sebab kita menyeru dan saya harap penjelasan ini dapat dibuat dalam masa terdekat sebab laporan bercanggah yang kita dapat daripada pihak kerajaan dan juga daripada syarikat berkenaan.

"(Berjaya dilaporkan berkata) persetujuan dah dapat tapi lesen belum dapat lagi.

"Jadi kita juga mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sudah tentu rakyat Malaysia pun nak tahu sekiranya betul (persetujuan diberikan)," kata Khairy yang juga ahli parlimen Rembau.

Tambahnya, pemimpin BN telah memberikan pandangan mereka melalui "saluran dalaman parti" berhubung isu tersebut.

"Jadi kita dah serahkan kepada perdana menteri pandangan daripada pimpinan parti dan terpulang kepada kerajaan untuk buat keputusan muktamad," katanya lagi.

Beliau bercakap demikian dalam sidang media selepas pelancaran program Rally 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil petang ini.

Program berkenaan menarik penyertaan lebih 10,000 golongan muda dan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin parti komponen BN.

Ditanya mengenai rancangan Pakatan Rakyat untuk menganjurkan perhimpunan besar-besaran bagi membantah pemberian lesen judi itu, Khairy berkata golongan berkenaan sekadar mempolitikkan keadaan.

"(Pakatan Rakyat) akan raih sokongan untuk apa saja sekiranya ia memberi kelebihan kepada mereka," katanya.

Beliau seterusnya mencabar kerajaan Pakatan Rakyat supaya menutup semua premis judi sedia ada.

"Jangan kata tidak praktikal (untuk tutup premis). Kalau (Pakatan) kata boleh tarik balik lesen untuk judi sukan, tunjukkan prinsip sehabisnya.

"Kalau tidak, ia hanya memberi keuntungan politik kepada mereka (dengan) hanya mengambil pendirian separuh-separuh," katanya lagi.

Menurut Khairy, beliau ingin melihat Pakatan menunjukkan keterbatasan dalam tindakan mereka, dengan mengemukakan cabaran tersebut.

"Tapi kita hendak tengok juga keterbatasan hasrat pembangkang itu.

"Contohnya mereka bantah lesen judi sukan, apabila kita cabar mereka buat sesuatu, kerajaan bawah Pakatan Rakyat katakan mereka tidak akan benarkan premis tersebut daripada beroperasi dan akan tarik balik lesen mereka.

"Masalahnya bila dicabar lagi, (kita) kata kalau macam itu, kenapa tidak hapuskan semua premis 4D, Magnum, Sports Toto, oh... dia kata tidak praktikal.

"Jadi anda tahulah pembangkang hanya bermain politik," katanya lagi.

Read more...

BN anjur program tarik sokongan orang muda


Kerajaan akan menganjurkan program yang sesuai dengan selera golongan muda masa kini bagi memastikan sokongan mereka tetap memihak kepada BN, kata pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Katanya, program berkenaan telahpun digariskan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) yang dibentangkannya kelmarin.

"Sekarang sudah ada petanda golongan muda dalam negara ini bukan menolak establishment dan tidak menolak BN. Mereka semakin hari semakin dekat dengan BN.

"Kita akan terus berusaha supaya perkara ini akan menjadi lebih kukuh dan mantap lagi. Dalam RMK10 yang telah dibentangkan kelmarin, kita telah huraikan pelbagai program untuk perjuangkan kepentingan golongan muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Rally 1Malaysia yang menghimpunkan lebih 10,000 golongan muda di Stadium Putra, Bukit Jalil petang ini.

Bagaimanapun, beliau berkata golongan muda juga tidak seharusnya mendengar hujah daripada pembangkang yang memperlekehkan kemampuan BN dalam mentadbir negara.

"Jangan sesiapa cuba perlekehkan kemampuan Malaysia. Jangan ketua pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nak memperkecilkan negara Malaysia kita ini. Kita lebih tahu apa yang dia buat," katanya sambil tersenyum.

Bagaimanapun, melihat reaksi yang hambar kepada tindakannya untuk mengaitkan Anwar, Najib kemudiannya berkata prestasi Malaysia yang dimaksudkannya itu adalah berdasarkan indeks kompetitif yang ditunjukkan oleh negara.

"Dalam senarai negara berdasarkan indeks kompetitif global, sebuah (firma) perundingan pengurusan membuat penilaian, dalam masa setahun, Malaysia telah melonjakkan kedudukan daripada kedudukan ke-18 ke tangga ke-10 terbaik di dunia," katanya.

Tambahnya, mengikut penilaian berkenaan, prestasi Malaysia adalah lebih baik daripada negara yang dahulunya menjajah negara ini, malah lebih baik daripada negara Jepun.

"Sekarang kita berada 13 mata lebih baik daripada Jepun. Dalam senarai 10 negara ini, tiada negara OIC lain, tiada negara NAM. Kita berada dalam senarai sepuluh buah negara yang kompetitif di dunia," katanya lagi.

"Jangan takut kerana BN sudah ada di sini. Kita ada di sini untuk membantu belia melangkah ke hadapan.

"Malaysia telah berjaya, orang dunia kata kita berjaya, pembangkang menidakkan kita tapi dunia kata Malaysia telah bangkit daripada kedudukan ke-18 hingga ke-10. Jangan ketua ranting mana, pembangkang mana atau mana kelompok pembangkang mana cuba nak menidakkan kita," katanya disambut tepukan hadirin.

Katanya, kejayaan BN mentadbir negara ini juga dilihat dalam pencapaiannya merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lebih 10 peratus dalam suku pertama tahun ini.

"Dalam suku pertama tahun ini kita pulihkan ekonomi Malaysia.Negara Greece, Spain, Portugal, hatta United Kingdom pun sekarang dalam keadaan tertekan, tapi dalam suku pertama tahun ini ekonomi kita pulih 10.1 peratus pertumbuhan.

"Ini jasa siapa? Peranan siapa? Ini peranan BN yang disokong tuan-tuan sekalian," katanya lagi yang turut disambut tepukan.

Najib kemudiannya turut melancarkan Bas JOM (Jelajah 1Malaysia) yang akan dikenderaani Pemuda BN untuk menerangkan konsep 1Malaysia.

"Bas ini akan bawa harapan untuk untuk satu masa depan lebih baik bawah BN, itu dia maknanya.

"Bukan saja lambang BN, bukan saja simbol 1Malaysia tapi bila kita campur BN dan 1Malaysia, kita dapat masa depan lebih baik untuk negara kita," katanya lagi.

Read more...

Saturday, June 12, 2010

Pergerakan Pemuda UMNO Rembau Buat Laporan Polis Terhadap Ketua AMK Badrul Hisyam



REMBAU, 11 JUN - Pergerakkan Pemuda UMNO Bahagian Rembau telah membuat satu laporan polis terhadap Ketua Angkatan Pemuda Keadilan Rembau, Badrulhisham Shaharin hari ini di atas kenyataan terbuka beliau di dalam blog CheGuBard.blogspot.com. Laporan tersebut telah dibuat Mohd Shafrul Haji Azman, Naib Ketua Pemuda Bahagian Rembau bersama-sama Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian, Mohd Safariladira Bin Abdullah dan AJK Pemuda Rembau di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau, pada jam 3.30 petang.

Laporan polis itu dibuat berikutan kenyataan Ketua AMK Rembau itu yang secara terang telah mengkritik Institusi DiRaja didalam penulisan beliau yang bertajuk ‘Warkah Terbuka kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong “Hepi Besday..Sir!”. Menurut Sharful, artikel tersebut yang bertarikh 10/06/2010 telah menghina Raja-Raja dan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan menganggap ianya adalah satu hasutan dan penghinaan kepada Institusi Diraja serta DYMM Yang DiPertuan Agong.

“Kami memohon pihak polis mengambil tindakan terhadap saudara Basdrulhisham Shaharin, Ketua AMK, parti KeAdilan Rakyat N.Sembilan kerana telah memfitnah dan bersikap biadap terhadap institusi -institusi raja-raja melayu dan DYMM Yang DiPertuan Agong dengan menuduh Raja-Raja Melayu serta DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong menganugerahkan pingat darjah kebesaran dengan mendapat arahan tertentu.” tegas beliau ketika di teruramah oleh pihak media.

Tambahnya lagi, Pemuda Bahagian Rembau membuat laporan polis ini kerana ini adalah satu hasutan kepada pihak lain dan mencemarkan imej Insitusi Raja-Raja Melayu Berpelembagaan dan berharap agar Badrulhisham atau Chegubard dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.

Terima Kasih kepada pengirim E-mail.

Read more...

Wednesday, June 9, 2010

Jemputan ke Rally 1Malaysia


Pemuda Barisan Nasional akan menganjurkan Rally 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil pada 12 Jun bermula jam 12 tengah hari. Program yang akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak dan bakal menghimpunkan seramai 15 ribu orang golongan muda dari pelbagai latar belakang agama dan kaum, termasuk penyertaan pertubuhan-pertubuhan belia dan NGO.

Rally 1Malaysia adalah program yang menonjolkan semangat 1Malaysia di kalangan belia negara yang mampu menerima keunikan dan perbezaan masing-masing demi mencapai satu hasrat bersama sebagai generasi muda Malaysia.

Rally 1Malaysia akan dimeriahkan dengan persembahan artis-artis terkemuka tempatan dari pelbagai kaum dalam satu konsert percuma - Sasi The Don, Yise Loo, Aizat Amdan dan Meet Uncle Hussain bakal menghiburkan para hadirin dengan sajian lagu-lagu popular mereka. Disamping itu, Rally 1Malaysia akan menyaksikan persembahan seni mempertahankan diri oleh lebih 1000 orang belia Melayu, Cina dan India serta persembahan eksklusif lagu “1Malaysia” oleh kumpulan koir dari Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing, Cyberjaya.

Pemuda Barisan Nasional menjemput ANDA untuk hadir pada hari Sabtu ini berbekalkan semangat 1Malaysia. Jemputlah keluarga dan sahabat handai untuk sama-sama menjayakan himpunan raksasa ini.

Read more...

Pemuda BN Turun Padang Program Jelajah 1Malaysia


KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) akan melancarkan Program Jelajah 1Malaysia (JOM), iaitu program turun padang bagi mendekati masyarakat di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pemuda Barisan Nasional Khairy Jamaluddin berkata program itu yang dilancarkan serentak dengan perhimpunan Rally 1Malaysia pada 12 Jun ini di Bukit Jalil akan meliputi kegiatan gotong royong, kesenian dan kebudayaan di kampung-kampung.

"Sebuah bas akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu ini untuk membawa rombongan (pemimpin Pemuda BN) selama setahun ke seluruh pelosok tanah air.

"Bagi Sabah dan Sarawak kami akan gunakan alternatif lain memandangkan keadaan geografi di sana tidak praktikal untuk bergerak menggunakan bas," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir bersama Khairy ialah Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda MIC T. Mohan.

Khairy berkata program itu merupakan usaha Pemuda BN untuk menawan hati generasi muda bagi memastikan mereka menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita perlu turun berjumpa akar umbi bagi mengenali mereka dan mungkin dengan cara ini golongan muda khususnya dapat mengenali Pemuda BN," katanya.

Mengenai Rally 1Malaysia, Khairy berkata program itu bakal dihadiri kira-kira 15,000 belia dengan kehadiran Najib selaku Pengerusi BN serta pemimpin tertinggi BN.

-BERNAMA

Read more...

Saturday, June 5, 2010

KJ: Utamakan Palestin dalam dasar luar [+Video]




Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendesak kerajaan supaya memberi keutamaan kepada rakyat Palestin dalam merangka dasar luar negara kerana sudah lama rakyat negara itu ditindas.

"Saya mendesak kerajaan supaya perkara ini menjadi keutamaan dalam dasar luar dalam jangka masa pendek atau panjang sehingga ada jalan penyelesaian bagi rakyat Palestin.

"Sudah lama kita bersabar. Sudah lama rakyat Palestin ditindas," katanya dengan bersemangat.

Malah, tambahnya, bukan sahaja rakyat Palestin yang menjadi mangsa, tetapi aktivis yang ingin menghulurkan bantuan turut terheret sama.

"Sekiranya perkara ini berterusan dan tiada perubahan, kami pemuda BN, dan semua (pergerakan) Pemuda tidak kira kecenderungan politik, sanggup pergi untuk membantu di Gaza.

"Jika sekarang hanya tujuh hingga lapan kapal sahaja yang dihantar, mungkin kerajaan Malaysia boleh menghantar sehingga 20 kapal untuk pergi (memberi bantuan kepada Palestin) selepas ini.

"Dan kita sanggup pergi bersama," katanya kepada pemberita selepas mengetuai demonstrasi anti-Israel di Masjid Negara petang ini.

Turut hadir pada perhimpunan tersebut beberapa NGO, antaranya AMAN MALAYSIA, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Sementara itu, ditanya kenapa pihaknya tidak menyertai demonstrasi anjuran Pakatan Rakyat di Masjid Kampung Baru, Khairy berkata, mereka tidak menyertainya kerana ia kelihatan seolah-olah demonstrasi Pakatan semata-mata.

"Jadi saya rasa biarlah mereka menjalankan protes mereka. Kita (saling) setuju, dan tidak salah jika tujuan mereka untuk mengutuk Israel. Jadi kita buat kita punya protes. Lebih banyak lagi bagus," jelasnya.

Sementara itu, AMAN MALAYSIA dalam kenyataannya yang diedarkan dalam perhimpunan tadi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Pemuda Umno bagi melancarkan kempen 'SMS Untuk Gaza'.

Menurut kenyataan dua halaman itu, kempen itu bagi memudahkan orang ramai menderma kepada rakyat Palestin melalui SMS.

SMS boleh dihantar dengan taip 'GAZA' dan hantarkan ke 32928. Ia akan dicaj sebanyak 50 sen.

Read more...

KJ: Terima kasih... tapi jangan komen lagi




Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa penyokongnya dalam pergerakan tersebut supaya berhenti mengulas mengenai beliau tidak dilantik menganggotai kabinet dalam rombakan terbaru kelmarin dan sebaliknya meminta mereka memberi tumpuan kepada tugas masing-masing.

"Terima kasih kerana menunjukkan sokongan tetapi jalankan tugas masing-masing dan jangan terpesong dengan hal ini," kata Khairy.

"Saya berharap setiap orang menghormati visi perdana menteri berkaitan dengan perubahan kabinet dan saya tidak mahu mendengar sebarang komen dari pemimpin Pemuda Umno (mengenainya)," tambahnya.

Khairy menegaskan demikian sebagai mengulas komen beberapa pemimpin Pemuda Umno negeri yang menyatakan kecewa apabila pemimpin mereka itu sekali lagi tidak dilantik menganggotai kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib memecah tradisi Barisan Nasional (BN) apabila tidak melantik ketua Pemuda Umno yang juga merupakan pengerusi Pemuda BN, menganggotai kabinet.

Sebaliknya, Najib melantik timbalan Khairy - Datuk Razali Ibrahim - dan Datuk Mukhriz Mahathir, yang tidak mempunyai jawatan dalam pergerakan itu, sebagai timbalan menteri.

KJ tidak kecewa

Khairy berkata, beliau tidak merestui pandangan para penyokongnya itu, sambil menambah bahawa mereka telah tersasar kerana perdana menteri mempunyai hak budibicara untuk memilih anggota kabinetnya.

"Tentu saja satu atau dua daripada (pemimpin negeri) berkenaan membuat komen atas keyakinan mereka sendiri, jadi tiada apa yang boleh saya lakukan," katanya.

Khairy juga menolak pandangan beberapa pemimpin Pemuda Umno negeri bahawa ketiadaannya dalam kabinet menjejaskan moral pergerakan tersebut.

"Ini hanya akan berlaku sekiranya anda membiarkannya berlaku, dengan memperbesar-besarkannya. Rakyat menyokong kita kerana apa yang kita lakukan, bukannya sama ada kita memegang jawatan dalam kerajaan, "katanya.

Oleh itu, katanya, beliau tidak merasa kecewa kerana 'sekali lagi ketinggalan kapal' tetapi akan meneruskan tugas-tugasnya.

"Saya tidak mengharapkan apa-apa, saya cukup jelas tentang apa yang saya perlu lakukan dan bukan tentang mendapatkan jawatan kabinet," katanya.

Read more...

Thursday, June 3, 2010

PEMUDA perlu diberi perhatian...



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diingatkan supaya tidak sentiasa melupakan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam barisan kabinetnya.

Ketua Pemuda Umno Selangor Suhaimi Mohd Ghazali hari ini menyuarakan hasrat itu supaya Najib dapat mengambil berat permintaan itu kerana ia pernah disuarakan sebelum ini.

"Jawapan yang diberikan Najib (adalah) mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa kita (Pemuda Umno sedia) berkhidmat dalam parti dahulu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, tambahnya, akar umbi pergerakan itu tetap akur dengan keputusan rombakan terbaru itu kerana "apa-apa kuasa adalah di tangan Najib".

Selepas rombakan terbaru kabinet Najib kelmarin - yang menyaksikan Khairy sekali lagi tidak terpilih mengganggotai jemaah menteri - terdapat suara bantahan beberapa pemimpin pergerakan itu.

Selepas mengambilalih teraju kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi tahun lalu, nama Khairy tidak tersenarai dalam barisan anggota kabinet barunya.

Dan dalam rombakan terbaru semalam, sekali lagi nama ketua Pemuda Umno itu yang juga ahli parlimen Rembau tidak tersenarai.

Dalam tradisi Umno, ketua Pemudanya sentiasa diberi jawatan dalam kabinet termasuklah Najib sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.


Sementara itu, Naib Pemuda Umno Perak Ali Zainal Abidin pula berpendapat Khairy selaku ketua Pemuda Umno, sepatutnya diberikan jawatan sekurang-kurang sebagai timbalan menteri.

Menurutnya, jika Khairy tidak memegang apa-apa jawatan dalam kabinet, secara tidak langsung semangat anggota pergerakan itu akan menjadi lemah, sekaligus menjejaskan gerak kerja BN untuk pilihan raya umum akan datang.

"Nanti susah hendak tarik orang muda untuk menyokong BN sebab ketua sendiri pun tidak ada jawatan," katanya.

Sehubungan dengan itu, Ali juga menzahirkan perasaan dukacitanya dengan tindakan "pelik" perdana menteri yang melanggar tradisi memperuntukkan kerusi kabinet kepada ketua Pemuda Umno.

"(Peranan) Pemuda (seperti) tidak dihargai oleh mereka," katanya dengan nada kecewa.

Read more...

Pemuda Umno Sabah meminta PM Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mempertimbangkan jawatan kabinet kepada KPUM Khairy Jamaluddin


Pemuda Umno Sabah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mempertimbangkan jawatan kabinet kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Ketuanya, Azman Ruslan berkata jika Khairy yang juga ahli parlimen Rembau tidak memegang apa-apa jawatan dalam kabinet, kemungkinan besar ia akan mempengaruhi sokongan daripada golongan muda.

"(Ketua) Pemuda perlu diberikan pengiktirafan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehubungan itu, Azman kecewa kerana ketuanya ketua Pemuda bahagian Rembau, tidak dipilih menganggotai kabinet yang diketuai Najib yang juga presiden Umno.

Azman mengulas rombakan kabinet yang diumumkan Najib semalam yang menyaksikan lima orang senator dan dua anggota parlimen dilantikan sebagai timbalan menteri yang baru.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian berkata, beliau menghormati dan akur dengan keputusan Najib yang juga presiden Umno melakukan rombakan kabinetnya semalam.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan memberi kepercayaan kepada pergerakan Pemuda untuk menganggotai kabinet selepas ini.

“Pemuda Kelantan berharap pada masa akan datang, kepercayaan akan diberikan kepada Pemuda untuk berada di dalam kabinet.

“Bukan bermaksud pada masa sekarang kami tidak mendapat kepercayaan, cuma pada masa akan datang, Pemuda diberi peluang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Norman Zahalan pula berkata "ia tidak menjadi masalah" jika Khairy tidak dapat memegang apa-apa jawatan dalam kabinet kerana perjuangan Pemuda adalah untuk parti.

Tambahnya, rombakan kabinet yang berlaku hanyalah "satu rombakan kecil" dan tidak melibatnya komponen Umno yang besar.

"Rombakan kecil itu antaranya ekoran pilihan raya yang berlaku di Hulu Selangor baru-baru ini," katanya.

Rakan sejawatannya dari Kedah, Badrul Hisham Hashim turut bersependapat dengan rakan seangkatannya itu dan akur dengan keputusan Najib dalam memilih anggota kabinetnya yang baru.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai Khairy yang tidak termasuk di dalam senarai rombakan kabinet semalam.

Sebelum ini, ketua pergerakan Pemuda Umno sentiasa diberi jawatan dalam kabinet termasuk antaranya, Najib sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Read more...

Tuesday, June 1, 2010

Memo bantahan kekejaman Israel di Wisma UN Kuala Lumpur








1 JUNE 2010

H.E. Ban Ki-Moon
Secretary-General of the United Nations

760 United Nations Plaza,
New York,
NY 10017,
USA



MEMORANDUM OF CONDEMNATION

Barisan Nasional Youth (BN Youth) condemns in the strongest possible manner, the massacre of humanitarian activists on board the vessel Mavi Marmara which led the Freedom Flotilla of ships carrying aid to Gaza, perpetrated by Israeli commandos in the early hours of Monday 31 May 2010.

Contrary to the claims of the Israeli propaganda machinery, video evidence and reports from onboard the Mavi Marmara indicate that there was absolutely no provocation from the unarmed aid workers before Israeli commandos stormed the ship and immediately opened fire, killing at least 9 and leaving dozens more injured. Israel may claim that it acted in self-defense and in the interest of its security, but it is not possible for a flotilla carrying 10 thousand tonnes of humanitarian aid to pose any threat to Israel.

That this unprovoked attack happened in international waters proves yet again that Israel has absolutely no respect for international laws. The State of Israel has repeatedly ignored these laws with impunity, and this latest incident is another example of Israeli state-sponsored terrorism. The massacre on board the Mavi Marmara is just the latest in a history of atrocities which more recently include the collective punishment of the 1.5 million inhabitants of the Gaza Strip for the actions of a relative few; the indiscriminate targeting of civilians including school children and university students during air strikes; and disproportionate military responses which have destroyed police and security offices of Gaza’s elected government – all of which have claimed tens of thousands of lives and brought untold suffering. Still the international community fails to act against a rogue state with little regard for human life. BN Youth demands that the United Nations reverse this pattern immediately, beginning with a United Nations Security Council resolution condemning this latest illegal act of aggression by Israel.

BN Youth also demands the immediate release of the impounded ships and the humanitarian activists that were on board them by Israel. BN Youth calls for an independent inquiry into the whole incident and for the prosecution of the Israeli government soldiers if they are found to be guilty by the inquiry.

BN Youth wishes to stress that this incident is not merely a Muslim issue, but a crime against humanity as a whole. BN Youth is encouraged by the overwhelming outpouring of anger from citizens of nations around the world who stand in solidarity in denouncing this attack.

BN Youth further urges the United Nations to also act to end the Gaza blockade established by the Israeli occupiers, which has caused immense suffering to Palestinians who have been denied the right to self-determination.

Thank you.


On behalf of Barisan Nasional Youth,


Khairy Jamaluddin MP
Chairman of Barisan Nasional Youth

Read more...
Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP