Wednesday, May 20, 2009

Pemuda UMNO anjur Program Pendidikan Politik


KOTA KINABALU 19 Mei - Pemuda UMNO akan menganjurkan Program Pendidikan Politik untuk ahli-ahlinya bertujuan memantap dan mengukuh pergerakan tersebut.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pengisian utama program itu sedang dirangka yang akan mengikut keperluan dan kesesuaian di sesebuah negeri.

''Program ini menjurus kepada pendidikan dan latihan kepimpinan, kita sedang dalam proses menggubal satu model baru untuk latihan ahli-ahli dan kepimpinan Pemuda UMNO.

''Penekanan kita bukan hanya sejarah parti, tetapi cabaran masa depan, contohnya memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk dijadikan alat politik dalam menyebar maklumat,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda UMNO Sabah yang pertama di Bangunan UMNO negeri di sini hari ini.

Selepas mesyuarat itu, Khairy menyaksikan penyerahan jawatan Ketua Pemuda UMNO negeri daripada pemangku, Nizam Abu Bakar Titingan kepada Azman Ruslan yang juga Ketua Pemuda UMNO Keningau.

Khairy berkata, bagi negeri itu, Azman akan ditugaskan meneliti perkara-perkara yang sesuai diisi dalam program berkenaan.

Selain program itu, katanya, Pemuda UMNO negeri akan melakukan satu lagi program iaitu aktiviti masuk kampung di pedalaman yang bertujuan mendekati rakyat.

Sementara itu, beliau mengumumkan senarai kepimpinan tertinggi Pemuda UMNO negeri bagi sesi 2008 hingga 2011.

Menurutnya, Awang Kadin Tang yang juga Ketua Pemuda Sandakan dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah, manakala Shahelmey Yahya (Putatan) sebagai Penolong Setiausaha dan Yamani Hafez Musa (Sipitang) pula Penolong Bendahari.

Katanya, Baharaul Sawi (Kota Belud) pula dilantik Ketua Penerangan, manakala di peringkat bahagian, Mohd. Gasing Saling menerajui Pemuda UMNO Kalabakan, Jamawi Jaafar (Tenom), Sahar Asing (Kudat) dan Jameso Majalin (Kota Marudu).

Tambahnya, Abdul Kassim Jali (Tuaran), Mohd. Joh Wid (Sepanggar), Bahrul Razha Chuprat (Kota Kinabalu), Mohd. Haffiz Sua Abdullah (Penampang), Armizan Mohd. Ali (Papar) dan Mohamad Alamin (Kimanis).

Katanya lagi, turut dilantik Faez Ainstein Nordin (Ranau), Ishak Ibrahim (Beaufort), Mohd. Shafiq Joseph (Pensiangan), Salim Saliun (Beluran), Suhaimi Nasir (Libaran) dan Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi).

Selain itu, Matmin Etin (Kinabatangan), Halim Sidik Gulam Hassan (Silam), Mohd. Azis Jamman (Semporna) dan Ariffin Kassim (Tawau).

Read more...

Bukan takut tapi protes – Khairy

KOTA KINABALU 19 Mei – Keputusan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam pilihan raya kecil di Penanti pada 31 Mei ini bukan kerana takut kalah, tetapi protes terhadap pembangkang yang memperalatkan sistem demokrasi di negara ini.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, tidak timbul soal gentar kerana jika BN meletak calon di Penanti, tindakan itu menunjukkan BN menyokong pembangkang dalam memperlekeh demokrasi.

“Kita tidak perlu bertanding, ini (pilihan raya) agenda pembangkang, ini protes kita terhadap pembangkang yang hanya memainkan sistem demokrasi dengan cara mengadakan pilihan raya.

“Adalah lebih bermaruah untuk tidak bertanding kerana saya rasa kita mempertahankan maruah kita dengan tidak ambil bahagian dalam pilihan raya kecil yang memperlekeh institusi demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Sabah yang pertama di Bangunan UMNO negeri di sini hari ini.

Khairy mengulas dakwaan pembangkang yang mengandaikan sebab utama BN tidak meletak bertanding di Penanti adalah kerana takut kalah.

Khairy berkata, bukti BN tidak takut boleh dinilai melalui penyertaannya dalam dua pilihan raya di Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak baru-baru ini.

“Macam mana kata kita (BN) penakut sedangkan kita bertanding dalam setiap pilihan raya kecil contohnya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang sebelum ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, pilihan raya kecil di Penanti adalah permainan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), oleh itu BN tidak perlu mengikut rentak mereka.

Menurut beliau, punca utama PKR mahukan pilihan raya ialah berdepan masalah dalaman parti itu selain tidak boleh berhenti daripada berpolitik setiap masa.

Katanya, keputusan BN tidak bertanding adalah tepat kerana kerajaan boleh menumpukan usaha membangunkan negara daripada terus diseret ke kancah politik yang tidak berkesudahan.

Mengenai rasuah dalam Pas, beliau berkata:

“Kita tengok apa berlaku dalam Pas pada pemilihan bulan depan tetapi yang pastinya pergolakan bukan dalam UMNO saja tetapi juga parti lain.”

Read more...

Biasiswa JPA bukan isu perkauman

19 Mei - Isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menjadi rungutan ramai berkait rapat dengan soal ketelusan dan keadilan sistem pengagihannya.

Pemuda Barisan Nasional (BN) malam ini membuat pendirian bersama bahawa isu itu bukannya menyentuh soal perkauman.

Sehubungan itu Pengerusinya, Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan supaya menilai kembali mekanisme pengagihan biasiswa tersebut bagi memastikan ia betul-betul berdasarkan meritokrasi dan garis panduan yang ditetapkan.

''Sistem pengagihan sudah cukup baik berdasarkan pada meritokrasi, cuma Pemuda BN berpendapat ia berkaitan dengan soal ketelusan dan keadilan.

''Kami tidak lihat perkara ini daripada kanta perkauman, sebagai contoh kira-kira 280 pelajar mendapat semua A tetapi tidak mendapat biasiswa, yang layak tidak dapat tetapi pada masa yang sama yang tidak layak pula dapat,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda BN kali pertama selepas menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di sini semalam.

Tambah Khairy, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama JPA jika keadaan memerlukan.

Katanya, mesyuarat pada malam tersebut juga menyokong penuh gagasan Satu Malaysia, rakyat didahulukan, prestasi diutamakan.

Sementara itu, Khairy berkata, Pemuda BN akan membuat ketetapan untuk mengeluarkan kenyataan bersama dalam sesuatu isu penting, bukannya secara sendiri mengikut parti komponen tertentu sahaja.

Tambahnya, mesyuarat malam ini juga telah bersetuju melantik Neil Foo, wakil MCA sebagai Ketua Strategi Pemuda BN.

Katanya, ia bagi mengukuhkan strategi Pemuda untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang secara tetap dan berkala dan bukannya hanya ketika menjelang pilihan raya

Read more...

Sekretariat BN Pemuda dibentuk

18 Mei - Sekretariat Pemuda Barisan Nasional (BN) akan ditubuhkan untuk bertindak sebagai penyelaras kepada semua aktiviti badan itu.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, penubuhan sekretariat itu dipersetujui badan pemuda itu pada mesyuarat khasnya di sini malam ini.

Sekretariat itu wujud tanpa diletakkan di bawah mana-mana parti komponen BN.

“Kita akan memberi kakitangan yang cukup untuk memastikan sekretariat ini dapat memberi penyelarasan kepada setiap komponen Pemuda BN,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Pada mesyuarat itu, Khairy turut mengumumkan pelantikan Datuk Razali Ibrahim sebagai Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Datuk Muzabil Abdul Rahman sebagai Setiausaha dan Bendahari Pemuda BN.

Khairy turut mengumumkan pewujudan Jawatankuasa Strategik Pemuda BN diketuai oleh Neil Foo dari Pemuda MCA. - Bernama

Read more...

Monday, May 18, 2009

Pemuda UMNO laksana program baru dekati generasi muda

MELAKA 17 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO akan memperkenalkan program dan aktiviti baru yang lebih relevan kepada generasi muda dalam usaha mengajak mereka mendekati parti itu.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, beliau melihat perlu ada perubahan baru dalam program-program dan aktiviti-aktiviti yang diadakan sebelum ini yang dilihat tidak lagi relevan untuk digunakan kepada generasi muda pada masa kini.

Katanya, pendekatan Pemuda sebelum ini hanya relevan kepada generasi lama dan tidak sesuai digunakan jika parti berhasrat mendapat sokongan daripada generasi muda yang celik teknologi maklumat (IT).

''Jadi, kita dalam peringkat perancangan di peringkat negeri dan bahagian, apa perubahan dari segi pendekatan yang akan kita lakukan supaya lebih ia relevan kepada generasi muda.

''Tumpuan terutama kita kepada mereka yang akan mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-13, oleh itu, jangan kita ikut rentak kita sendiri, tanya apa yang relevan bagi generasi muda pada masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan logo baru Satu Malaysia bagi Pemuda UMNO Melaka di Ibu Pejabat Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Menurut Khairy, generasi muda hari ini sering mendapatkan maklumat menerusi laman web, blog dan sebagainya.

Sehubungan itu, katanya lagi, pendekatan menerusi sesi penerangan serta buletin dilihat kurang berkesan untuk menarik minat golongan itu mendekati UMNO.

''Pemuda perlu ada pembaharuan dalam cara kita menyampaikan maklumat yang lebih relevan dan diterima mengikut cita rasa generasi muda pada hari ini.

''Sebenarnya, banyak pendekatan kita perlu dikemaskini dan dibuat secara lebih menarik minat mereka," katanya.

Sebagai langkah awal ke arah pembaharuan itu, kata beliau, Pergerakan Pemuda UMNO akan mengadakan kursus pendidikan politik kepada semua kepimpinan dan ahli jawatankuasa Pemuda seluruh negara Jun ini.

Katanya, kursus itu penting kepada semua pemimpin Pemuda di peringkat negeri, bahagian dan cawangan bagi menggunakan modul baru dalam usaha mendedahkan mereka kepada pembaharuan yang akan digunakan mendekati generasi muda.

Menurutnya, modul itu kini hampir siap dan apabila selesai semua mesyuarat peringkat cawangan Pemuda seluruh negara dalam tempoh sebulan ini, barulah kursus itu dapat diadakan.

Read more...

Hentikan sikap kepentingan sendiri




BUKIT MERTAJAM 15 Mei - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas para pemimpin pakatan pembangkang yang sentiasa mengamalkan sikap dwi-standard dan mentafsirkan demokrasi semata-mata untuk memihak kepada kepentingan politik mereka.

Beliau turut menyelar pemimpin pembangkang yang memperlekehkan sistem demokrasi dengan memandang demokrasi seperti hotel iaitu mudah mendaftar masuk dan keluar pada bila-bila masa.

"Saya minta pembangkang hentikan sikap dwi-standard ini. Apa yang mereka lakukan, dibolehkan. Misalnya calon Bebas sokong BN (Barisan Nasional) itu salah, jika ahli mereka lompat parti masuk BN, itu haram tetapi jika melompat kepada mereka, itu tidak salah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khairy meminta pemimpin pakatan pembangkang supaya menghentikan politiking yang keterlaluan.

Katanya, pembangkang harus menamatkan politiking yang mengheret sama rakyat ke dalam masalah dalaman mereka.

Menurut beliau, ini termasuk dalam mencari calon untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang dikosongkan oleh penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin sebelum ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberitahu, rakyat sudah bosan dengan politiking pembangkang.

"Sikap itu mencabuli demokrasi, tidak sepatutnya diadakan pilihan raya kecil (DUN Penanti) kecuali atas sebab wakil rakyat berkenaan meninggal dunia, muflis atau menghadapi tindakan undang-undang," katanya.

Read more...

Gerak usaha penerangan

Pergerakan Pemuda UMNO bahagian di seluruh negara diarah menggerakkan usaha memberi penerangan kepada masyarakat terutama generasi muda tentang situasi semasa yang berlaku di negeri ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, usaha tersebut perlu digerakkan segera bagi mengelakkan parti pembangkang terus memanipulasikan isu berbangkit demi kelangsungan politik mereka.

''Usaha-usaha memberi penerangan tentang kemelut politik Perak ini perlu dilakukan segera supaya masyarakat terutama generasi muda tidak terus mendapat gambaran tidak benar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian di Bangunan UMNO Perak di sini malam tadi.

Menurut Khairy, kelemahan ketara UMNO ketika ini ialah gagal bertindak pantas dalam menangkis setiap dakwaan pihak pembangkang.

''Dan kadang kala penyampaian maklumat kita tidak berkesan menyebabkan generasi muda mudah menerima bulat-bulat propaganda pembangkang. Kita kena proaktif dalam bertindak," ujar beliau.

Read more...

Dakwaan Mahfuz tidak berasas - Khairy

SEREMBAN 14 Mei - Tidak ada 'tangan-tangan ghaib' yang mencampuri urusan Mahkamah Rayuan dalam membuat keputusan terhadap kemelut politik di Perak.

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai reaksi terhadap dakwaan Pas kononnya Barisan Nasional (BN) mempengaruhi keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu pelantikan Menteri Besar Perak.

Sebaliknya beliau berkata, Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar yang membuat dakwaan tidak berasas dalam isu tersebut.

''Dakwaan Mahfuz itu mencerminkan sikap hipokrit pihak pembangkang,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan jawatan Ketua Pemuda UMNO negeri di Wisma UMNO Negeri Sembilan dekat sini hari ini.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Isnin lalu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah.

Menurut Khairy, pembangkang tidak memberikan sebarang ulasan sedemikian apabila keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu memihak kepada Mohammad Nizar.

''Namun apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry pada keesokannya, kedengaran suara-suara sumbang mendakwa keputusan itu memihak kepada BN serta terdapat konspirasi di sebaliknya," ujarnya.

Read more...

Pemuda Perak diarah buat penerangan mengenai kemelut politik

Jentera Pemuda Umno Perak di setiap bahagian diarah turun padang serta-merta bagi membuat penerangan mengenai proses perundangan yang sedang diambil dalam menyelesaikan kemelut politik di negeri ini, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata penerangan itu hendaklah sampai kepada generasi muda walau di mana mereka berada bagi memastikan mereka mendapat gambaran sebenar masalah tersebut serta penyelesaian yang sedang dan akan diambil.

“Keadaan politik di negeri ini masih tidak menentu dan tidak semua mereka (golongan belia) dan akar umbi mengetahui dan memahami kemelut yang melanda negeri ini.

“Kempen penerangan yang jelas hendaklah bermula sekarang supaya gambaran yang jelas diberikan kepada pengundi,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis

perjumpaan bersama Ketua Pemuda Umno Malaysia di Bangunan Umno di sini malam tadi.

Beliau berkata penyampaian maklumat yang tidak tepat dan tidak berkesan
menyebabkan pengundi di peringkat akar umbi tidak memahami apa yang sedang berlaku.

“Keadaan ini menyebabkan mereka menerima bulat-bulat propaganda yang diuar-uarkan pembangkang,” katanya.

Read more...

Tuesday, May 12, 2009

Perlu proaktif bantu golongan miskin




Ahli-ahli Pemuda UMNO Bahagian Rembau disaran supaya sentiasa bersikap proaktif dalam usaha mengenal pasti golongan miskin yang layak menerima bantuan daripada kerajaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin berkata, ahli-ahli Pemuda UMNO bahagian berkenaan perlu bertindak selaku 'mata' dan 'telinga' kepada wakil rakyat bagi menjayakan agenda membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat setempat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau memberitahu, matlamat itu boleh dicapai dengan kerjasama ahli-ahli Puteri UMNO serta UMNO cawangan.

''Selaku sayap politik, Pemuda dan Puteri UMNO tidak mempunyai peruntukan kewangan yang banyak untuk membasmi kemiskinan. Namun, kedua-dua pergerakan terbabit boleh menyalurkan maklumat kepada saya melalui UMNO cawangan bagi memohon peruntukan Parlimen atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan," ujarnya.

Khairy berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga Taufik Atin, 65, yang lumpuh seluruh anggota badan ekoran serangan angin ahmar di rumahnya di kawasan petempatan Program Pembangunan Masyarakat Setempat Kampung Legong Ulu, Kota dekat sini semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Cawangan Kampung Legong Ulu, Zazali Ahmad; Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Legong Ulu, Nazaruddin Mohd. Yusof serta Ketua Puteri UMNO cawangan yang sama, Norazila Ramli.

Taufik merupakan seorang penerima bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Baitulmal setelah hilang keupayaan untuk bekerja.

Dia turut menerima bantuan segera sebanyak RM1,000 melalui peruntukan Parlimen Rembau sumbangan Khairy bagi membaik pulih rumah yang didiami keluarganya.

Dalam pada itu, jelas Khairy, taraf hidup golongan miskin di sekitar Parlimen Rembau akan dipertingkat dengan membabitkan mereka secara langsung dalam aktiviti-aktiviti ekonomi yang berupaya menjana pendapatan.

''Memandangkan golongan tersebut tidak mempunyai modal, mereka perlu diberi bantuan kewangan untuk memulakan perniagaan atau aktiviti pertanian.

''Justeru, saya berharap agensi-agensi yang berkenaan mengurangkan kerenah birokrasi berhubung permohonan pinjaman kewangan kepada golongan miskin yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka," kata beliau.

Menurutnya lagi, usaha menarik kegiatan pelaburan ke daerah ini akan dilaksanakan dengan lebih giat supaya kesan limpahannya turut dinikmati oleh masyarakat setempat khususnya golongan miskin.

10 MEI 2009 - TURUN PADANG PENDEKATAN PALING TEPAT BAGI KHAIRY

Read more...

Khairy Jamaluddin sambut baik saranan Najib

Pemimpin-pemimpin UMNO menyambut baik saranan Perdana Menteri agar ahli UMNO tidak terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti itu pada masa lalu demi mendapatkan sokongan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, dalam usaha membawa perubahan kepada UMNO, Pemuda akan mengubah modul latihan pergerakan itu.

Katanya, Pemuda akan menyuntik semangat baru kepada golongan belia dengan mengubah cara penyampaian yang lebih menjurus kepada kepentingan dan cabaran masa depan.

"Bagaimanapun, Pemuda akan tetap mempertahankan sejarah, hanya cara pimpinan dan bimbingan akan diubah supaya rakyat dapat melihat hala tuju UMNO," katanya.

Read more...

Sunday, May 10, 2009

KJ on NTV7 "Point of View" Talkshow


Catch KJ today , Sunday 10 May 2009 at 6 pm on NTV 7's "Point of View" , sharing his thoughts on the issue of Mat Rempit. There will also be a repeat broadcast of the program airing midnight on Monday.

Read more...

Saturday, May 9, 2009

Pemuda Umno sedia hadapi Penanti




KUALA TERENGGANU: Pergerakan Pemuda Umno bersedia menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti walaupun Barisan Nasional (BN) belum memutuskan untuk bertanding.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata Pemuda Umno Pulau Pinang telah diminta membuat persiapan awal bagi pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 31 Mei ini.

"Dengan kata mudah, kita berada pada tahap bersedia menghadapi pilihan raya kecil itu. Kalau wisel ditiup, jentera kita akan terus bekerja," katanya selepas mengadakan mesyuarat pertama dengan Pemuda Umno Terengganu di sini, hari ini.

Beliau berkata, pergerakan itu berpendapat tidak timbul soal berani atau takut bagi BN menghadapi pilihan raya kecil itu kerana ia diadakan bukan disebabkan perkara yang kukuh seperti wakil rakyat terbabit meninggal dunia, bankrap atau dikenakan tindakan undang-undang.

"Maka apabila Dewan Tertinggi BN bermesyuarat seminggu lagi, kita kena pertimbangkan konteks tersebut di mana seolah-olah pilihan raya itu sebenarnya untuk memperlekehkan institusi demokrasi negara ini," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu, iaitu kira-kira seminggu selepas beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei ini sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai hari pengundian, jika ada pertandingan.

Sementara itu, Khairy berkata Pemuda Umno Terengganu mempunyai semangat kekitaan dan perpaduan yang tinggi serta tidak timbul langsung sebarang masalah.

Beliau berkata, mereka telah berikrar berdiri teguh di belakang Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, dan kepimpinan negeri di bawah Datuk Ahmad Said.

"Saya cukup gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh Pemuda Umno Terengganu yang bersatu menjalankan tugas masing-masing dengan berkesan terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Khairy berkata, beliau juga telah meminta Pemuda Umno Terengganu supaya melipatgandakan usaha untuk turun ke bawah bagi mendekati golongan belia melalui pelbagai teknologi terkini terutama internet.

Pada majlis itu, Khairy turut mengumumkan Saifulbahri Baharuddin sebagai Ketua Pemuda Umno negeri, Khazan Che Mat (Naib Ketua Pemuda), Apli Jusoh (Setiausaha), Rosli Nooral Azhar @ Hassan (Bendahari) dan Hisham Zubir (Ketua Penerangan). - Bernama

Read more...

Pemuda dekati 200,000 belia Kelantan luar negeri

KOTA BHARU 8 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan akan mengambil inisiatif untuk mendekati hampir 200,000 belia Kelantan yang telah berhijrah ke negeri lain sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pendekatan tersebut perlu dilakukan secara bersepadu dan terancang bagi mendekatkan anak Kelantan kepada parti itu.

''Pemuda tidak mahu mengambil sikap untuk mendekati golongan itu pada saat akhir menjelang pilihan raya umum kerana kesannya tidak memberangsangkan.

''Menerusi Sekretariat Pemuda UMNO, pelbagai kaedah akan dilaksanakan untuk mendekati golongan sasar dengan melakukan gerak kerja yang terancang sebelum pilihan raya umum,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan di sini hari ini.

Sempena mesyuarat itu penyerahan tugas secara rasmi kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri bagi sesi 2008-2011 Anuar Safian oleh bekas penyandangnya Dali Husin.

Khairy menambah, usaha itu perlu digerakkan kerana golongan tersebut antara yang akan menentukan kemenangan kepada mana-mana parti politik yang bertanding.

''Kita akan menggunakan mekanisme terbaik sebelum melaksanakannya kerana keberkesanan daripadanya boleh digunakan pula oleh Pemuda UMNO di negeri-negeri lain,'' katanya.

Bagi menjayakannya, beliau turut turun padang ke negeri-negeri lain untuk memantau dan menyampaikan misi pemuda dan memastikan Pemuda UMNO menggerakkan strategi yang dirancang.

''Pembaharuan ini saya yakin tidak akan dilihat hasilnya dalam tempoh singkat, sebaliknya paling minimum dalam tempoh enam bulan," ujar beliau.

Read more...

Pembangkang Bawa Budaya Rimba , halang demokrasi



Penghinaan kepada Sultan Perak dan demokrasi, undang-undang rimba menjadi sandaran.

Pergerakan Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab dan kurang ajar yang ditunjukkan oleh wakil-wakil rakyat pembangkang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin (gambar) menyifatkan perbuatan yang melanggar batas-batas ketimuran itu telah dirancang bagi mensabotaj sidang DUN yang sah dan diperakui oleh peruntukan undang-undang.

Menurut beliau, tindakan itu telah menunjukkan belang sebenar pembangkang yang kononnya sebelum ini mendabik dada sebagai pejuang demokrasi tulen, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.

"Pemuda UMNO amat kesal dengan sikap sebilangan wakil rakyat pembangkang yang benar-benar bertindak secara tidak selari dengan status dan decorum (protokol) mereka sebagai wakil rakyat.

"Apakah iktibar dan teladan baik yang hendak ditunjukkan kepada rakyat dengan siri tindakan yang sedemikian sifatnya. Ke mana hilangnya rasa hormat kepada kehadiran Raja Dr. Nazrin Shah," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini bagi mengulas kekecohan di sidang DUN Perak hari ini.

Jelas Khairy, kegagalan pembangkang mendahulukan politik rasional dan mengutamakan kepentingan rakyat menyebabkan permasalahan penduduk yang sepatutnya didengar dalam Dewan, menjadi terbantut akibat permainan politik tidak matang pembangkang.

"Pemuda amat mengharapkan kematangan politik dapat dijadikan asas kepada usaha meneruskan agenda besar membela rakyat di Perak. Asas demokrasi mesti difahami dalam bentuknya yang paling asas dan mudah.

"Sebarang pertikaian mestilah menggunakan platform yang betul dan tepat. Trend menarik rakyat ke jalanan dan membawa kekacauan ke sidang yang mulia adalah sangat mendukacitakan," katanya.

Tambah Khairy, pembangkang di Perak perlu belajar cara berpolitik matang yang ditunjukkan oleh 'pembangkang' di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan negeri itu sebelum ini.

Read more...

Wednesday, May 6, 2009

Perjuangan Generasi Baru




Simbolik Perjuangan.…Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin Menyematkan Pin Kolar Kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Pada Penutup Khemah Kerja Pemuda UMNO Malaysia Di Institut Memperkasa UMNO, (ILMU), Petang Ahad. Selain Menyematkan Kolar Pin Kepada Setiap Peserta Yang Terdiri Daripada Exco Serta Ketua Pemuda UMNO Negeri, Muhyiddin Turut Menyerahkan Senaskhah Al-Quran, Buku Perjuangan Pemuda Serta Sejarah Perjuangan Negara Dan Bendera Malaysia Termasuk Menyelimutkan Para Peserta Terbabit Dengan Bendera Sang Saka Bangsa Sebagai Simbolik Kepada Teras Perjuangan Pergerakan Itu Dalam Usaha Memperkasa Lagi Parti. Turut Hadir Setiasuaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sumber www.pemuda.com.my

Read more...

Tuesday, May 5, 2009

Perubahan strategik Pemuda



Oleh HERMAN HAMID

MENELITI keputusan pilihan raya umum yang lalu serta siri pilihan raya kecil selepasnya, semua telah maklum UMNO kini berdepan dengan satu cabaran besar untuk menawan kembali sokongan pengundi generasi muda.

Walaupun banyak sebab dan punca digariskan sebagai penyumbang kepada situasi tersebut namun apa yang pasti ia bukanlah sesuatu yang boleh dianggap biasa sebaliknya ia senario yang cukup mendesak bagi UMNO. LAGI

Read more...

Monday, May 4, 2009

Perluaskan skop perjuangan - Khairy


BENTONG 1 Mei - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) diminta memperluaskan skop perjuangan dengan melepasi batasan dan kepentingan kaum masing-masing supaya dapat disesuaikan dengan gagasan Satu Malaysia.

Pengerusinya, Khairy Jamaludin berkata, Pemuda BN perlu membawa pendekatan baru yang bersepadu dan melihat perjuangan parti untuk semua kaum. LAGI

Read more...

Muka baru - Senarai ketua pemuda UMNO



Kesemua Ketua ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri yang dilantik oleh Khairy Jamaluddin terdiri dari muka-muka baru.Pengumuman mengenai perlantikan itu dibuat menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha pergerakan itu, Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid. LAGI

Read more...
Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP