Sunday, October 17, 2010

Bajet 2011 pengiktirafan buat generasi muda




KHAIRY Jamaluddin melekatkan papan tanda rumah seorang penduduk, Norziana Harun di Taman Keramat, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 16 Okt. - Pemuda UMNO menyifatkan Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai satu pengiktirafan kerajaan kepada generasi muda.



Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana bajet itu memenuhi aspirasi golongan muda dalam usaha mereka untuk hidup selesa dalam suasana ekonomi global dan tempatan yang mencabar kini.



"Alhamdulillah, saya tidak sangka begitu banyak hasrat anak muda dipenuhi melalui pengumuman bajet semalam dan saya terima ribuan pesanan ringkas anak muda yang menzahirkan terima kasih mereka di antaranya kerana dasar pinjaman rumah 100 peratus bagi pembelian pertama.



"Ini satu laungan bahawa pada pilihan raya umum akan datang, pilihan untuk generasi muda tidak lain dan tidak bukan adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap melancarkan program 'Jelajah One Malaysia' (JOM) di Rumah Pangsa Taman Keramat, Hulu Kelang, dekat sini hari ini.



Selain itu, Khairy berkata, Bajet 2011 memberi manfaat besar kepada generasi muda melalui pelepasan cukai sehingga RM5,000 untuk perubatan ibu bapa dan pengumuman penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara sebagai platform pengenalan gaji minimum mulai 2011.



Sebagai contoh, kata beliau, majlis konsultasi itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira lima juta pekerja kilang serta ladang di seluruh negara yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda.



Katanya, pengumuman itu antaranya berkaitan dengan permintaan serta harapan golongan muda yang dizahirkan secara terus kepada Perdana Menteri sewaktu beliau hadir pada program Makmal Pemuda BN yang dianjurkan pada 27 Ogos lalu.

"Ini membuktikan Pemuda BN tidak hanya retorik dan kita sentiasa menjadi jurubicara kepada golongan muda supaya kerajaan dapat terus membantu mereka melalui pelbagai program dan dasar," jelasnya.



Dalam pada itu, Khairy memberitahu, Pemuda UMNO dan BN menyasarkan untuk membaik pulih 500 buah rumah di seluruh negara dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang melalui fasa pertama program JOM anjuran pergerakan tersebut.



Katanya, JOM yang dilaksanakan secara bersama dengan GiatMara mengenal pasti rumah-rumah usang di seluruh negara tanpa mengira bangsa dan fahaman politik pemilik untuk dibaik pulih.



Selepas pelancaran itu, Khairy; Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meriyam Abd. Majid dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Omardin bersama-sama melawat ke empat buah rumah di sekitar kawasan Parlimen Gombak yang terlibat dalam program JOM.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP