Jangan hukum pengundi Cina tak sokong BN - Khairy
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, dari segi perbandingan, walaupun sokongan orang Melayu dan kaum India adalah lebih baik kepada BN di Hulu Selangor, kebanyakan pengundi Cina sekali lagi memilih untuk mengundi pembangkang.
“Mengetepikan masyarakat Cina adalah tidak sihat terutama apabila pegangan BN terhadap masyarakat utama yang lain tidak akan menjadi mutlak,” katanya.
Khairy berkata demikian ketika memberikan respons kepada beberapa cadangan daripada beberapa pihak tertentu bahawa pengundi Cina perlu diajar dengan menarik balik peruntukan yang dijanjikan kepada mereka semasa kempen pilihan raya.
Beliau berkata, politik bukan hanya setakat undi sebaliknya ia juga mengenai sesuatu yang ideal, prinsip dan melakukan apa yang betul.
“Saya pasti jika kita terus membantu semua masyarakat dengan penuh keadilan dan kesaksamaan, persepsinya akan bertambah baik.
“Saya percaya ramai yang tidak mengundi kita kekal sinis dan mahu kita menunaikan janji sebelum menyokong BN,’’ katanya. - Bernama