Thursday, October 23, 2008

'Pencalonan saya atas sokongan tulen'

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin percaya pencalonan yang diberikan kepadanya dibuat atas sokongan ikhlas yang tulen dan setiakawan, bukannya dipaksa atau dibeli mahupun mengikut sentimen tertentu.

Naib Ketua Pemuda UMNO itu berharap akan melepasi kuota yang ditetapkan pada persidangan perwakilan bahagian pada minggu ini untuk melayakkan beliau bertanding jawatan Ketua Pemuda menentang seorang lagi calon yang telah melepasi kuota, Datuk Mukhriz Mahathir.

''Selepas itu, calon-calon yang layak akan mula bergerak ke arah meyakinkan perwakilan untuk membawa satu definisi perjuangan kepada akar umbi.

''Bukannya mahu menyatakan saya yakin tetapi kita realistik bahawa setiap calon yang layak bertanding nanti semuanya ada peluang untuk meyakinkan perwakilan.

"Perkara selebihnya kita serah kepada perwakilan. Kita boleh buat segala kerja kempen tetapi yang menentukan pada akhirnya adalah perwakilan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Parlimen di sini hari ini.

Mengulas cadangan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim agar semua jawatan tertinggi parti dipertandingkan secara 'tender' dan wang yang digunakan untuk mendapatkan jawatan itu boleh digunakan oleh parti, katanya, ia satu pandangan yang sinis.

Khairy berkata, beliau berasakan bahawa cadangan itu dibuat secara sinis memandangkan budaya sesetengah ahli UMNO yang masih menuntut habuan untuk memberi sokongan kepada calon-calon yang bertanding.

Katanya, beliau berharap calon yang akan dipilih pada Perhimpunan Agung UMNO Mac depan bukan berdasarkan kepada mereka adalah pembida tertinggi atau pemberi habuan paling banyak tetapi berdasarkan merit dan kekuatan mereka sendiri.

''Ini adalah kriteria paling penting dan saya rasa, ia adalah satu-satunya kriteria iaitu merit dan kredibiliti pemimpin itu sendiri dan bukannya duit, habuan dan apa jua pertolongan yang mereka janjikan kepada perwakilan.

''Bagi saya sendiri, prinsip saya begitu mudah. Saya pernah bercakap mengenai perkara ini dan saya mengulangi apa yang saya kata iaitu saya menolak amalan rasuah politik dan saya lebih bersedia untuk kalah secara bermaruah dalam pemilihan UMNO ini daripada menang dengan cara yang tidak betul," katanya.

Khairy bagaimanapun enggan memberi komen apabila ditanya sama ada beliau pernah didatangi oleh perwakilan untuk meminta habuan atau pertolongan.

Beliau memberitahu, ada mendengar cerita daripada akar umbi dan laporan berita berkaitan rasuah politik dan tuntutan habuan.

Katanya, apa yang penting dalam tempoh empat bulan menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada Mac depan ialah memastikan perwakilan berpegang teguh dan mematuhi etika parti.

''Soal rasuah politik adalah perkara dua hala, bukan sehala. Ia mesti ada pemberi dan penerima; penerima itu salah dan pemberi juga salah. Jadi kedua-dua pihak sama ada calon atau perwakilan itu yang mesti berpegang kepada etika parti. Tidak guna ada etika parti jika ahli dan pemimpin tidak patuh kepadanya," ujar beliau.

Ditanya sama ada rasuah politik berlaku tanpa disedari, Khairy berkata, daripada laporan dan aduan yang diterimanya, perbuatan itu bukan sahaja berlaku ''pada masa orang tidur atau tidak sedar'' tetapi ada juga yang berlaku secara terang-terangan, sebelum dan semasa persidangan bahagian berlangsung.

''Saya rasa sedih kerana keputusan politik kita boleh dibeli," katanya.

Mengakui kewujudan rasuah politik, Khairy bagaimanapun menyatakan bahawa keadaannya masih belum mencapai tahap sangat kronik namun ia perlu dibendung khususnya semasa tempoh berkempen iaitu sebelum nama baik UMNO tercemar dan menjadi punca kehilangan keyakinan rakyat kepada parti itu.

Katanya, Perhimpunan Agung UMNO sentiasa menjadi tumpuan rakyat dan bukan sahaja oleh perwakilan yang menghadiri perhimpunan tersebut.

''Kalau kita tidak bendung, dalam tempoh kempen menjelang perhimpunan agung ini, ia boleh menjadi kronik. Apabila ia menjadi kronik, seluruh negara akan tumpu perhatian mereka kepada UMNO.

''Kalau kita tidak dapat membendung dan menghapuskan gejala rasuah politik ini, maka keyakinan rakyat kepada UMNO akan terhakis," katanya.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP